suria

Kecoh individu offer buah pinggang nak bayar hutang... rupa-rupanya wanita hamil! – “Realiti yang terpaksa kita hadapi”

Seorang wanita hamil berhasrat untuk menjual buah pinggangnya bagi membayar hutang. -gambar hiasan

DEK kerana desakan hidup apatah lagi kesan akibat pandemik Covid-19, ada yang sanggup menjual buah pinggang sendiri untuk membayar hutang.

"Assalamualaikum, sekiranya ada kenalan atau pesakit yang memerlukan buah pinggang. Atas desakan hidup dan hutang, saya nak jual buah pinggang saya sendiri sekiranya memerlukan."

Demikian mesej seorang individu yang dikongsi oleh personaliti TV dan pengacara, Ahmad Fedtri Yahya menerusi laman Twitternya, baru-baru ini sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan,"Tak kisah bayar berapa asalkan..."

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Rupa-rupanya ramai setuju derma organ untuk adik beradik walau tak pasti risiko - "Buah pinggang aku bagi, pinjam baju aku tak bagi"

"Ya Allah sedihnya. Keterdesakan...," tulis Ahmad Fedtri dengan ciapannya diulang kicau lebih 3,000 kali dan rata-rata netizen menyuarakan rasa simpati serta mahu menghulurkan bantuan kepada individu berkenaan.



Posting Ahmad Fedtri menjadi tular.

Namun, tidak dinyatakan apakah hutang dan berapa jumlah yang perlu dilangsaikannya.

"Jual organ nak bayar hutang," komen netizen berserta emoji sedih.

Kisah yang tular itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu (31 Oktober 2020).

Turut berkongsi mesej yang tular itu, Zulkifli mendedahkan bahawa individu tersebut merupakan seorang wanita yang sedang hamil.

"Realiti yang terpaksa kita hadapi walaupun sukar untuk dipercayai. Saya dimaklumkan, beliau juga sedang hamil. Moga Allah SWT keluarkan beliau dan keluarga daripada kesempitan hidup," kata Zulkifli di halaman Facebook beliau pada Sabtu.



Respons daripada Lembaga Zakat Selangor.

Susulan tular kes berkenaan, Zulkifli berkata, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-Maiwp) telah menghubungi individu tersebut.

"PPZ-Maiwp telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada beliau. Memandangkan beliau tinggal di Selangor, saya juga dimaklumkan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang mengusahakan bantuan untuk beliau," katanya.

Realiti yang terpaksa kita hadapi walaupun sukar untuk dipercayai. Moga Allah SWT keluarkan beliau dan keluarga daripada kesempitan hidup

DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Sementara itu, LZS menerusi halaman Facebook rasminya pada Sabtu turut memaklumkan bahawa wanita berkenaan yang dikenali sebagai Noraini dan keluarganya telah menerima bantuan daripada lembaga itu, sejak Jun tahun ini.

"Alhamdulillah, selain bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zakat Selangor juga mula menyalurkan bantuan kepada Puan Noraini sekeluarga melalui suami beliau sejak Jun 2020.

"Antara bantuan yang disalurkan berupa bantuan kecemasan, keperluan hidup dan kewangan bulanan. Moga dengan bantuan ini dapat meringankan ujian yang ditanggung oleh keluarga Puan Noraini.

"Terima kasih kepada pembayar zakat. Sebanyak 2.5 peratus daripada zakat yang anda keluarkan telah dapat meringankan bebanan mereka," menurut keterangan itu.



Mesej wanita berkenaan setelah menerima bantuan daripada PPZ-Maiwp.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Maiwp, Ahmad Shukri Yusoff menerusi akaun Twitter beliau turut mengesahkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada Noraini.

Beliau turut memuat naik tangkapan skrin mesej yang dihantar Noraini setelah menerima bantuan berkenaan.

"Assalamualaikum. Untuk makluman, saya telah terima duit bantuan ihsan. InsyaAllah, saya akan manfaatkan sebaiknya untuk selesaikan hutang yang ada.

"Jutaan terima kasih kepada tuan dan pihak PPZ atas bantuan kepada saya," ujar Noraini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain