Dah tulis nama penuh tapi ditegur pensyarah, dianggap sengaja letak perkataan 'Keria'... itulah uniknya nama si ayah - “Madam siap minta maaf menerusi voicenote”

Perkongsian Khuzairi mengenai insiden lucu membabitkan pensyarahnya menjadi tular di Twitter.

BAGI individu yang mempunyai nama unik, pastinya mereka tidak terlepas daripada menjadi bahan usikan rakan-rakan.

Begitu juga dengan kisah pemuda ini yang sering menerima reaksi 'aneh' daripada orang sekeliling setiap kali dia memberitahu namanya yang sebenar.

Namun apa yang melucukan, dek kerana nama unik tersebut dia turut menerima 'usikan' daripada pensyarahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu malu, kini nelayan bangga nama unik bawa tuah - “Sebut Merdeka tiga kali, pemilik kedai kopi minta saya order apa saja!”

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai suhu badan pengunjung pasar raya tunjukkan rekod aneh, ada yang kata zombie... doktor kata “mungkin Balan-Balan”

Terdahulu pemuda ini berkongsi tangkapan skrin perbualan Group WhatsApp salah satu subjek yang terdiri rakan-rakan sekelas dan juga pensyarahnya.

Menerusi perbualan tersebut, pensyarah yang dikenali sebagai Madam Lily 'menegur' pemuda berkenaan agar meletakkan nama penuh, gara-gara dia menulis namanya sebagai Khuzairi Keria.

"Nama betul dan penuh. Kang (Nanti) melekat keria tu dengan kamu kang," demikian teguran pensyarah berkenaan yang menyangka pemuda berkenaan sengaja meletakkan sekali perkataan 'keria' sebagai nama panggilan.



Khuzairi (tiga, kanan) merupakan penuntut di UiTM Tapah, Perak.

Perkongsian berkenaan meraih sehingga 19,400 retweet selain dibanjiri ratusan komen netizen yang turut terhibur dengan insiden lucu berkenaan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemilik nama Muhammad Khuzairi Keria berkata, ketika itu mereka sedang memperkenalkan diri kerana kelas untuk semester baru baharu saja bermula.

"Pensyarah Madam Lily baru mengajar subjek Coding (pengekodan) untuk semester ini. Jadi ketika itu kami semua diminta berikan nama penuh. Bila saya tulis Khuzairi Keria, kemudian Madam Lily tegur minta tulis nama sebenar.

"Saya kemudian beritahu itulah nama betul saya. Namun mungkin sebab nama bapa sama seperti nama sejenis kuih, Madam Lily sangka saya letak nama panggilan sekali.

"Tapi selepas menyedari perkara sebenar, Madam Lily segera minta maaf. Siap hantar permohonan maaf menerusi voicenote pula. Katanya 'saya tak tahu nama bapa awak macam tu'. Saya jawab tak mengapa, okay saja," katanya pemuda berusia 20 tahun itu.



Khuzairi (kiri) tidak pernah mengambil hati dengan gurauan atau usikan yang mengaitkan nama unik bapanya.

Penuntut di Univeriti Teknologi Mara (UiTM) Tapah ini berkata, tujuan dia memmuat naik posting berkenaan di laman Twitter pada mulanya hanya sekadar mahu berkongsi momen lucu bersama pengikutnya sahaja.

"Tapi tak sangka pula sampai jadi viral. Madam Lily pun tahu pasal ini malah sewaktu kelas online menerusi Google Meet, dia siap seloroh cakap yang dia pun terkena tempias popular sekali," kata penuntu Diploma Sains Komputer ini.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Khuzairi mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku.

Saya langsung tak ambil hati pun. Malah saya sendiri tak pernah berasa segan kalau kena perkenalkan diri di hadapan rakan-rakan lain.

MUHAMMAD KHUZAIRI KERIA

PELAJAR

"Sebelum ini masa sekolah pun ada cikgu yang tersalah sangka. Cikgu itu ingat saya letak nama bapa tu saja-saja. Kemudian bila tunjuk kad pengenalan, barulah percaya.

"Kalau kena sakat dengan kawan-kawan tu, biasa saja. Ada yang kata nama ayah unik. Tapi saya langsung tak ambil hati pun. Malah saya sendiri tak pernah berasa segan kalau kena perkenalkan diri di hadapan rakan-rakan lain.

"Kalau tanya saya, saya okay saja. Tapi isu nama ini kadang-kadang menjadi sensitif buat sesetengah individu. Jadi sebelum buat anggapan atau usikan, elok bertanya terlebih dahulu bimbang mengguris perasaan mereka," katanya lagi.



Antara komen netizen yang turut terhibur dengan perkongsian Khuzairi.

Sementara itu ketika berkongsi cerita mengenai situasi pembelajaran di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19, Muhammad Khuzairi turut mengakui situasi yang dihadapi ketika ini agak mencabar.

"Kuliah-kuliah dijalankan menerusi dalam talian. Saya memilih untuk tinggal di kolej kerana lebih mudah untuk belajar bersama rakan-rakan. Namun pelajar-pelajar di sini diberi kebebasan sama ada nak duduk di kolej atau kediaman masing-masing sebab semuanya menerusi online.

"Cuma bagi yang tinggal di kolej ni, pilihan makanan tak banyak kerana kafe tak banyak dibuka. Kalau nak keluar ke bandar, leceh juga sebab kena lengkapkan banyak borang dek kerana situasi pandemik sekarang. Jadi kami biasanya akan menyimpan stok makanan sampingan lain," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain