suria

Tak berhati perut! Wanita selamba bawa motor selepas langgar kucing, mujur ada peniaga durian... ke depan sikit jumpa 4 lagi bangkai - "Kucing jalanan berhak dapat kasih sayang"

Fatil sempat memberi bantuan pernafasan sebelum kucing itu mati tidak lama kemudian.

ANGGAP kucing seperti anak sendiri.

Demikian kata-kata seorang peniaga durian yang aktif menjadi 'hero' di sekitar negeri Kelantan dalam usaha menyelamatkan kucing-kucing jalanan.

Terbaharu, tular video memaparkan Muhammad Fatil Firdaus Jaafar, yang menyelamatkan seekor anak kucing dalam kejadian langgar lari di Kota Bharu, Kelantan pada 17 Oktober lalu.

ARTIEKL BERKAITAN: Apa saja demi haiwan! Dua gadis bergegas pergi kerja sanggup patah balik alih kucing mati, bangkai anjing pun pernah alihkan - “Kalau geli sekali pun, masih boleh tolong”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiap malam tidur bersama, anak bongsu meraung kucing kesayangan dilanggar depan rumah... “Bila Tuah nak bangun”

Mesra disapa Fatil, dia mengakui sedih tatkala mengenangkan kejadian berkenaan dan memohon orang ramai agar lebih prihatin terhadap haiwan.

Bercakap kepada mStar, lelaki berusia 30 tahun itu berkata dia sempat memperincikan kejadian berkenaan yang disifatkan cukup tragis, khususnya buat pencinta kucing.

"Saya memang dah lama rawat kucing jalanan dan juga bagi makan. Pada hari kejadian, saya bawa seekor kucing ke klinik.

"Sejurus keluar klinik, saya lihat seekor kucing dilanggar. Penunggang motosikal wanita terus melarikan diri.

Fatil aktif memberi makanan dan merawat kucing-kucing jalanan sejak sekian lama, malah ia banyak dikongsi menerusi video di Instagram dan TikTok.

"Saya ambil kucing tu dan cuba bagi bantuan pernafasan. Malangnya ia mati beberapa minit kemudian," ujarnya.

Menurut Fatil, dia yang baru bergerak sekitar satu kilometer (km) dari lokasi kejadian turut melihat seekor lagi kucing yang baru sahaja dilanggar.

"Selepas kucing tu mati, saya ambil untuk bawa balik dan tanam. Pergi depan sikit, tengok ada seekor lagi kucing hitam kena langgar.

"Pada malamnya saya jumpa lagi tiga ekor kucing kena langgar, kiranya lima ekor semuanya pada hari sama," ujarnya lagi.

Saya buat video bukan untuk perhatian. Saya cuma nak sampaikan mesej khususnya mengenai kucing jalanan. Mereka juga berhak dapat kasih sayang.

FATIL

Kata Fatil yang berniaga di Gopeng, Perak, dia sama sekali tidak menyangka video-video yang dikongsi baik menerusi aplikasi TikTok mahupun Instagram akan meraih perhatian ramai.

Bukan menagih perhatian, dia sebaliknya mahu menyebarkan mesej mengenai kasih sayang terhadap haiwan dan mahu mendidik masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

"Saya buat video bukan untuk perhatian. Saya cuma nak sampaikan mesej khususnya mengenai kucing jalanan yang berhak dapat kasih sayang.

Dua ekor kucing yang mati dilanggar pada hari sama sebelum dia menemui tiga lagi bangkai pada waktu malamnya pula.

"Biasanya saya bawa balik anak kucing jalanan, rawat di klinik dan jaga di rumah. Jika ada sesiapa mahu adopt, saya terbuka untuk beri pada mereka.

"Sekarang ada sekitar 15 ekor kucing di rumah saya, lagi 16 ekor di rumah kawan saya. Tak mampu kudrat saya seorang.

"Dari segi makanan, InsyaAllah tiada masalah. Tapi saya sendirian, nak kena tukar pasir dan rawat mereka semua.

Bangkai kucing yang ditemui dibawa pulang untuk ditanam.

"Dengan video yang dikongsi, saya nak tunjukkan bahawa kucing-kucing jalanan ni wujud, Mereka juga mahu belaian kita.

"Kalau terlanggar, sekurang-kurangnya ambil dan tolong kebumikan. Kalau hidup, bawa ke klinik. Saya tengok kucing tu ibarat anak sendiri," jelasnya lagi.

Kata Fatil lagi, dia aktif mencari kucing jalanan termasuklah di sekitar pasar-pasar untuk diberikan makanan dan dibawa ke klinik untuk rawatan jika berpenyakit.

Malah, dia juga terbuka menerima sumbangan orang ramai untuk dia meneruskan usaha-usaha murni itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain