Selepas 37 tahun 'free hair', detik lelaki bukan mahram berpaling muka beri tamparan hebat buat wanita ini... malu, sedih, kesal, takut! - “Anak perempuan saya tutup aurat tanpa disuruh”

Suzy berkongsi kisah penghijrahan dirinya ketika berusia 37 tahun.

SETIAP insan di dunia ini diberikan ruang dan peluang untuk memperbaiki diri sendiri.

Begitu jugalah halnya dengan wanita ini, yang akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah dan menutup aurat sepenuhnya selepas lebih tiga dekad berpenampilan 'free hair'.

Sebagaimana insan lain yang mempunyai kisah hijrah masing-masing, wanita bernama Suzy Sharif ini nekad berhijrah lantaran sifat malu mula menjengah tambahan pula merasakan diri sudah berusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama pendam hasrat peluk Islam, mudahnya urusan ‘hijrah’ wanita ini... lebih terharu keluarga tumpang gembira - “Saya doa mereka sama-sama cium syurga”

ARTIKEL BERKAITAN: Bangun tidur, terus ajak kekasih balik kampung sebab nak peluk Islam... selepas 4 bulan, pemuda ini kejutkan rakan pula!

"Saya malu dengan diri sendiri yang sudah berusia, sedangkan anak perempuan saya ketika itu sudahpun menutup aurat tanpa saya suruh.

"Di samping itu, ia didorong oleh persekitaran saya (keluarga belah suami) yang sangat menitik beratkan perintah agama," katanya kepada mStar mengenai titik mula mengapa dia mengambil keputusan berkenaan.

Terdahulu, Suzy membuat satu perkongsian mengenai perjalanan hijrahnya menerusi satu coretan di Facebook.



Suami Suzy adalah insan yang paling gembira saat dia mengambil keputusan untuk berhijrah.

Menerusi coretan itu, Suzy mendedahkan dia mula bertekad untuk mengenakan hijab ketika berusia 37 tahun, di mana ketika itu dia sudah pun bergelar ibu kepada tiga cahaya mata.

Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih sehingga 1,300 shares selain turut dibanjiri ratusan komen netizen.

Sungguhpun sudah mengenakan hijab ketika itu, wanita ini masih lagi belum menutup aurat dengan sempurna, sehinggalah berlaku satu insiden yang benar-benar membuatkan dirinya benar-benar terpukul.

"Walaupun saya sudah memakai tudung bila keluar rumah, tetapi saya masih free hair di dalam rumah, walaupun kadang-kadang ada adik ipar atau biras laki-laki datang bertandang. Sungguh saya tidak merasa apa-apa yang salah.



Suzy mengambil keputusan untuk berhijrah ketika berusia 37 tahun di mana ketika itu dia sudah bergelar ibu kepada tiga cahaya mata.

"Sehinggalah pada suatu hari seorang lelaki ajnabi memalingkan wajahnya bila ternampak saya yang tidak bertudung. Reaksinya menghenyak hati saya. Sedangkan manusia sudah tidak sudi untuk memandang saya, apatah lagi Allah.

"Malunya bukan kepalang. Saya terfikir, jika kerana sikap saya ini bakal mendatangkan dosa mata kepada orang lain, jadi di waktu bila kehidupan saya mampu memberi manfaat kepada mereka? Malam itu saya tidur dengan perasaan yang berbaur malu, sedih, kecewa dan takut.

"Pada satu hari, saya keluar dari bilik lengkap berseluar panjang dan berkemeja longgar. Bertudung litup dengan sempurna sehingga adik ipar tegur dan bertanya saya mahu ke mana. Lancar kemudiannya lidah saya menjawab yang saya sedang memelihara aurat saya di depannya," katanya.

Saya malu dengan diri sendiri yang sudah berusia, sedangkan anak perempuan saya ketika itu sudahpun menutup aurat tanpa saya suruh.

SUZY SHARIF

Bercerita lebih lanjut, Suzy berkata insan yang paling gembira dengan perubahan dirinya tentu sekali suaminya sendiri.

"Suami sangat gembira dengan perubahan saya kerana dia tidak perlu lagi mengingatkan saya akan kewajipan saya untuk menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah saya sudah berhijrah selama 10 tahun," ujar wanita yang kini berusia 47 tahun itu.

Tidak menyangka coretannya mendapat perhatian, wanita kelahiran Negeri Sembilan yang sudah lapan tahun menetap di Jubail, Arab Saudi itu turut mendoakan agar insan yang ingin berhijrah memanjatkan doa kepada Allah supaya dilembutkan hati untuk menutup aurat.



Suzy kini menetap di Jubail, Arab Saudi sejak lapan tahun lalu.

"Kepada teman-teman yang masih belum mempunyai kekuatan untuk berhijrah ialah paksalah diri. Dengan menutup aurat dengan sempurna, kita akan kelihatan sebagai sosok seorang wanita yang harus disegani dan dihormati. Orang lelaki pasti rasa segan untuk memperlekehkan kita.

"Jika ada kekangan, kembalilah kepada Allah Taala. Berdoalah dengan sesungguhnya. Doa supaya Allah lembutkan hati kita untuk menutup aurat.

"Jangan rasa seperti dikongkong jika kita menutup aurat. Jika seorang wanita yang bergaya sekalipun, sekarang sudah banyak fesyen pakaian muslimah dan tudung yang sopan untuk digayakan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain