suria

Simpati nasib pelajar U terkandas, wanita ini segera buat mesyuarat tergempar adik beradik! - “Dia malu sangat tapi terpaksa...”

Nur Dinie menggerakkan inisiatif untuk membantu pelajar IPT yang terkandas bersama adik beradik dan sepupunya.

PENGUMUMAN terbaharu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus, menimbulkan kekecohan di media sosial.

Jika disorot laman Twitter, rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dengan keputusan berkenaan kerana didakwa dilakukan pada saat-saat terakhir sekaligus menimbulkan kemarahan pelajar.

Ini kerana hampir sebahagian daripada mereka sudah pun tiba di kampus masing-masing namun tidak dibenarkan untuk mendaftar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa diberi makanan taraf orang gaji, gelandangan... ini jawab USM!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar PhD dibawa pulang rupa-rupanya tinggal di khemah! Adun beri penjelasan di FB... Ustaz Ebit tiba lepas sahur, tak jadi carikan rumah sementara

Golongan tersebut begitu terkesan kerana perkara berkenaan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian kerana telah membelanjakan kos yang bukan sedikit sebagai persediaan untuk mendaftar di kampus.

Namun begitu, di tengah-tengah kekecohan berkenaan, dapat disaksikan sikap prihatin dan pemurah rakyat Malaysia apabila ramai orang awam yang tampil sebagai sukarelawan untuk menawarkan bantuan kepada pelajar yang mempunyai masalah, termasuk wanita ini.

Nur Dinie Mohd Fadil turut mengwar-warkan perkara tersebut di Twitter dan ia menjadi tular di laman tersebut di mana ramai yang memuji usaha murninya.



Nur Dinie membuat hebahan mengenai inisiatifnya di Twitter.

"For all students yang berada di Negeri Sembilan yang affected sebab pengumuman hari ini, dan terkandas. Boleh DM saya, saya cuba bantu apa yang boleh. #RakyatJagaRakyat," tulisnya.

Bercerita kepada mStar, Nur Dinie Mohd Fadil berkata idea untuk melakukan inisiatif berkenaan terbit secara spontan selepas kerajaan mengumumkan penangguhan pendaftaran pelajar pada Jumaat.

"Bila tahu pasal pengumuman tu, terus terfikir adik-adik yang dah buat persediaan. Mesti ramai yang terkesan, ada yang datang dengan keluarga dan booked homestay, ada yang datang dari jauh, yang dah beli barang-barang.... kemudian terpaksa pulang semula.

"Dari situ terfikir untuk buat sesuatu bagi membantu mereka. Pada mulanya, saya ingat nak bantu kawan-kawan atau kenalan sekitar Negeri Sembilan sahaja. Tapi tak sangka, ada juga pelajar dari institusi di negeri lain yang hubungi saya," katanya.

Ada seorang pelajar lelaki hubungi saya minta bantuan. Katanya, dia malu sangat tapi terpaksa juga sebab tak ada wang tambang untuk pulang ke Cameron Highland. Selepas dibantu, dia berkali-kali ucap terima kasih.

NUR DINIE MOHD FADIL

SUKARELAWAN

Menurut Nur Dinie yang juga Ketua Strategi dan Komunikasi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), GAP.My, dia bersama adik-adik dan sepupunya terus mengadakan 'mesyuarat tergempar' malam berkenaan untuk membahagikan tugas masing-masing.

"Kami cuba bantu dari segi wang tambang, wang saku, penginapan dan makanan. Dana ni daripada keluarga kami sendiri yang cuba bantu mana yang mampu, dan ramai juga yang salurkan dana dengan menghubungi saya menerusi Direct Message (DM) selepas tweet itu viral.

"Saya juga berkolaborasi dengan seorang lagi pelayar yang juga buat inisiatif yang sama," kata wanita berusia 23 tahun ini.



Inisiatif Nur Dinie merangkumi bantuan penginapan, wang saku, wang tambang dan makanan.

Sehingga Sabtu, Nur Dinie berkata pihaknya berjaya membantu enam pelajar untuk pulang semula ke kampung masing-masing.

"Mereka ini ada antaranya dari Sabah, Pahang, Perak dan Kelantan. Sebelum kami bantu beri wang tambang, semestinya kami verify terlebih dahulu bimbang bantuan diberi kepada orang yang salah.

"Yang paling saya terkesan, ada seorang pelajar lelaki hubungi saya minta bantuan. Katanya, dia malu sangat tapi terpaksa juga sebab tak ada wang tambang untuk pulang ke Cameron Highland. Selepas dibantu, dia berkali-kali ucap terima kasih.



Mesej yang diterima Nur Dinie daripada seorang pelajar IPT yang dibantunya.

"Ada seorang lagi pula dari Sarawak, tiba di KLIA pada tengah malam untuk mendaftar awal pagi Sabtu. Dia minta hantarkan makanan dan memandangkan sudah tengah malam, kami bank-in saja wang saku.

"Semua mereka ni hanya minta bantuan yang perlu saja, dan kita tahu, mereka sebenarnya tak mahu susahkan ibu bapa yang pastinya bukan orang senang. Bila dapat bantu, rasa puas sangat," ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Dinie turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang ingin sama membantu, selain mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan bermurah hati menyumbangkan dana untuk inisiatif tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain