suria

Pelajar jurusan dakwah terkejut video TikTok isu LGBT boleh hit, ramai rasa nak berubah... reaksi berjurai air mata paling tak sangka!

dakwah 1

MUNGKIN ramai yang mempunyai tanggapan skeptikal dengan kandungan video dalam aplikasi TikTok.

Namun sebenarnya aplikasi yang kian popular itu kini bukan hanya mengandungi video santai atau tarian semata-mata, malah ia banyak digunakan sebagai medium untuk berkongsi perkara bermanfaat.

Terbaharu, video yang dimuat naik oleh seorang wanita mengundang perhatian ramai lantaran pendekatan dakwahnya terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

ARTIKEL BERKAITAN: Ubah persepsi negatif, bakal arkitek ajar tajwid seminit guna TikTok - “Kalau tinggal al-Quran, masalah simple pun boleh stres”

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki berganda qari... ditawar jadi imam masjid, video alunan 5 azan pula catat tontonan tinggi - "Ada kata melembutkan hati"

Apa yang mengejutkan, video tersebut mencatatkan sehingga 400,000 jumlah tontonan dalam masa dua hari ia dimuat naik di TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Izzati Elya berkata, penghasilan video tersebut adalah hasil cetusan ilham team dakwahnya selepas trending dengan hashtag #tetapbangga di Twitter baru-baru ini.



Selain aktif terlibat dengan aktiviti dakwah, Izzati juga merupakan seorang penulis.

"Saya merupakan pelajar jurusan dakwah di sebuah Institusi Pengajian Tingi (IPTA), dan kami ada team dakwah. Kemudian ada yang tanya, tak nak buat apa-apa ke dengan #tetapbangga ni?

"Ada segelintir golongan cuba mahu normalisasikan budaya LGBT di negara kita. Jadi saya pun sukarela untuk buat video pendek memandangkan pendekatan video lebih mudah untuk orang tonton.

"Walaupun nampak saya saja di depan, sebenarnya ada lima lagi orang di sebalik video ini. Ada yang jaga konten skrip, rakam, props, penyuntingan dan sebagainya," katanya yang senang disapa sebagai Izzati.

Dek kerana video tersebut, saya menerima banyak mesej menerusi Direct Message (DM) di Instagram daripada golongan ini yang mengucapkan terima kasih kerana mesej daripada video itu.

IZZATI ELYA

PELAJAR

Menurut Izzati yang juga penuntut jurusan Dakwah dan Pengurusan Islam, dia memuat naik video tersebut di kesemua platform media sosial, namun penerimaan luar jangka diterima di aplikasi TikTok.

"Saya sendiri pun tak jangka video TikTok ni hit bukan saja di sini tetapi hingga ke Turki, Indonesia dan juga Eropah. Penerimaan di TikTok sangat positif.

"Bahkan ada sebahagian pengguna TikTok yang buat reaction/duet pada video tu dan menitiskan air mata.



Gambar bersama pendakwah popular, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.

"Dek kerana video tersebut, saya menerima banyak mesej menerusi Direct Message (DM) di Instagram daripada golongan ini yang mengucapkan terima kasih kerana mesej daripada video itu.

"Mereka juga meluahkan situasi yang dihadapi dan menyatakan hasrat ingin berubah. Saya cuba bantu dengan menyediakan nombor atau pihak yang boleh bantu mereka," kata gadis berusia 22 tahun ini yang juga seorang penulis buku.

Izzati yang aktif sebagai pendakwah bebas di sekolah dan institusi pengajian tinggi berkata, tiada apa yang diharapkan melainkan video tersebut menyebarkan kesedaran bukan saja kepada golongan LGBT tetapi kepada masyarakat secara amnya.



Paparan skrin antara mesej-mesej yang diterima Izzati menerusi Direct Message (DM) Instagram.

"Cuba pandang mereka dengan pandangan kasih sayang. Syurga neraka itu hanya Allah saja yang berhak ke atas kita.

"Kita perlu open hand, selami jiwa agar dapat membantu mereka. Cara menghentam, mengkritik, menghina itu hakikatnya hanya menjauhkan mereka dengan agama.

"Pendek kata, gunakan cara penuh berhikmah untuk berdakwah dan menyantuni golongan ini," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
LGBT, TikTok, video, dakwah, hikmah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Dulu pengemis, kini bertanding ratu cantik