suria

Rezeki berganda qari... ditawar jadi imam masjid, video alunan 5 azan pula catat tontonan tinggi - "Ada kata melembutkan hati"

Ammar baru sahaja dilantik menjadi imam di Masjid Kayangan Height, Shah Alam, Selangor sejak minggu lalu.

KEHADIRAN lima jejaka yang mengalunkan lima jenis azan ternyata mencuri tumpuan ramai di media sosial.

Dikongsi di Twitter sejak Ahad lalu, ia sehingga kini telah meraih lebih 250,000 tontonan.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, atau lebih mesra disapa Ammar mengakui bersyukur apabila video berkenaan mampu memberi impak positif buat mereka yang menontonnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terpegun dengar laungan azan anak arwah Aziz Desa, terbuka siapa nak bagi teguran!

ARTIKEL BERKAITAN: Niat nak ‘test’ saja, jejaka bersuara merdu ini menggigil diminta laung azan oleh bilal masjid di Mesir... terus dilamar gadis Indonesia

Direkodkan pada minggu lalu, ia merupakan cetusan idea spontan Amir bersama rakan-rakannya yang turut bertugas di Masjid Kayangan Height, Shah Alam, Selangor

"Sebenarnya saya baru seminggu bertugas di masjid ini. Kebetulan masa tu tengah buat preparation sikit-sikit. Idea datang secara spontan.

"Mula-mula rekod pendek je, kemudian digabungkan kesemua video. Kami buat versi tersendiri, lima orang dengan lima alunan azan berbeza," ujarnya.

Lima jejaka yang mengalunkan azan mengikut bacaan tarannum Hijjaz, Bayyati, Jiharkah, Rast, dan Nahawand.

Menurut pemenang tempat kedua Majlis Tilawah Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 2020 itu, dia juga bakal memuat naik versi penuh lima azan berkenaan menerusi laman YouTube miliknya.

Menganggap ia sebagai dakwah alaf baharu, Ammar mengakui turut tersentuh membaca komen individu bukan Islam yang turut tertarik dengan alunan kalimah suci berkenaan.

Ia satu tanggungjawab besar. Bukan mudah nak jaga jemaah.

MUHAMMAD AMMAR MUKHLIS ABDUL MOHSIN

"Saya sangat bersyukur. Alhamdulillah, ramai yang dapat belajar. Pada masa sama ramai yang minta alunan azan penuh, InsyaAllah akan dimuatkan di YouTube nanti.

"Saya pun baru nak aktif dengan YouTube. Yang sudi tonton tu, saya ucap terima kasih banyak-banyak. Ia jadi asbab untuk anda belajar jenis-jenis azan.

"Ada juga yang bukan Islam komen, akui tertarik dengan azan. Ada yang kata alunan azan tu melembutkan hati mereka," ujarnya lagi.

Dari kiri, Hasan Asyuri, Nuri Ali, Fawwaz Hamdi dan Ammar.

Selain Ammar, video alunan azan itu turut disertai rakan imam dan bilal di masjid sama iaitu Nuri Ali, Fawwaz Hamdi, Ridwan Asyuri dan Hasan Asyuri.

Mereka mengalunkan azan mengikut bacaan tarannum Hijjaz, Bayyati, Jiharkah, Rast, dan Nahawand dalam video berkenaan.

Dalam pada itu, Ammar juga sempat berkongsi berita gembira dan menzahirkan rasa syukur apabila diberi peluang menjadi salah seorang imam di masjid berkenaan sejak minggu lalu.

Ammar bersyukur apabila video dia dan rakan-rakannya menerima perhatian ramai sehingga mampu memberi impak baik kepada penonton.

Menganggap perkara itu sebagai satu rezeki buatnya, Ammar secara merendah diri mengakui bertekad akan melakukan yang terbaik atas amanah yang dipikulnya kini,

"Selepas habis pertandingan tilawah yang saya sertai hari tu, pengerusi masjid bagi tawaran kepada saya. Memandangkan saya pun tengah cuti panjang, sebab itu saya tergerak hati untuk terima.

"Ia satu tanggungjawab besar. Bukan mudah nak jaga jemaah, Insyaallah saya akan lakukan yang terbaik," ujarnya.

Menurut Ammar lagi, dia juga merupakan penuntut bidang Quran Qiraat di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di kampus Nilai, Negeri Sembilan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain