suria

Bukan sahaja laluan motosikal, ikan puyu, talapia, kap, haruan pun ada... ‘Kolam tepi highway’ memang rare, 4 bulan lagi jom kaki pancing!

Seorang penunggang motosikal melepas sejumlah anak ikan ke kawasan takungan air di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan. Foto Facebook Majalah Kapcai TV

KOLAM ikan di taman rekreasi atau pusat ternakan ikan mungkin biasa-biasa.

Kalau kolam ikan di lebuh raya jarang-jarang (rare) berlaku, kemungkinan yang pertama seumpamanya di dunia!

Begitulah ragam seorang penunggang motosikal yang membuat pelepasan anak-anak ikan di sebuah 'kolam' di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Maaf, saya tak cekap beri isyarat sempurna" - Rider lawan arus bersama Toyota Vios beri penjelasan, niat nak tolong tak sangka terbabas

ARTIKEL BERKAITAN: Berat nak lepas suami masuk pertandingan memancing, isteri teringin ke Paris minta isi borang permohonan dulu - "Alahai... macam buaya darat pula"

Menerusi video yang tular di media sosial, rakaman itu menunjukkan air bertakung di kawasan sekitar terowong bagi laluan motosikal.

Lorong motosikal yang ditenggelami air. Foto Facebook Majalah Kapcai TV

"Hari ini kita nak buat majlis pelepasan anak-anak ikan ke dalam kolam yang kita nak buka nanti. Betul-betul nak melepaskan ikan," kedengaran suara seorang pemuda menerusi klip video kedua berdurasi dua minit dan 36 saat.

Dua klip video yang dikongsi di halaman Facebook Majalah Kapcai TV menunjukkan lokasi dekat Lebuhraya Persekutuan di Subang, Selangor menghala arah ke Kuala Lumpur.

Pemuda itu kemudian mengeluarkan beberapa plastik yang mengandungi pelbagai jenis anak ikan dari dalam ruang simpanan barang motosikal iaitu ikan puyu, ikan kap, ikan haruan dan ikan talapia hitam.

Antara anak ikan yang dilepaskan. Foto Facebook Majalah Kapcai TV

"Membiaklah sebanyak-banyaknya. Selepas ini kita ada port untuk memancing yang bestlah... di tepi highway.

"Mungkin akan menjadi satu tarikan pelancongan di Lembah Klang. Alhamdulillah, kita dah buat majlis pelepasan ni.

"Jadi, kita tunggulah mungkin dalam empat bulan untuk kita datang memancing kat sini," katanya.

Selepas ini kita ada port untuk memancing yang bestlah. Mungkin akan menjadi satu tarikan pelancongan di Lembah Klang

PENUNGGANG MOTOSIKAL

Keadaan takungan air seperti kolam dipercayai berpunca daripada saluran air atau longkang yang tersumbat di lorong motosikal selepas hujan lebat, sejak beberapa hari lalu.

Tindakan pemuda itu bagaimanapun hanya menyindir pihak berkuasa berikutan masalah banjir kilat yang masih tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, tindakan ini menyalahi undang-undang.

Pemuda tersebut turut secara sinis 'mencadangkan' pembukaan kedai-kedai jualan berdekatan 'kolam ikan' itu bagi memeriahkan lagi kawasan sekitar.

"Selepas empat bulan, mari kita beraktiviti kat sini. Mungkin kat tepi-tepi ni boleh dibuka kedai-kedai jualan," ujarnya.

Beberapa plastik yang mengandungi anak ikan dibawa keluar dari tempat simpanan barang motosikal. Foto Facebook Majalah Kapcai TV

Terdahulu, pemuda berkenaan berkongsi video pertama bagi membuat pengumuman khas untuk semua penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut.

"Kepada kaki-kaki pancing, selepas ini kami nak buka kolam memancing tepi Federal Highway (Lebuhraya Persekutuan) je.

"Okay selamat memancing kepada rider-rider semua," katanya.

Setakat ini, kedua-dua video tersebut masing-masing dikongsi lebih 4,000 dan 3,000 kali.

mStar telah menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan reaksi berhubung isu ini dan masih menunggu maklum balas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain