suria

“Nanti jenazah tak tenang, berat nak pergi” - Cucu terkilan tak dibenar kucup arwah atuk, nenek lama-lama... bukan meratap cuma nak tatap buat kali terakhir

Remaja itu berkongsi semula kisah melibatkan kematian datuk dan neneknya yang berlaku pada tahun 2010. (Gambar Hiasan)

TAHUN 2010 ternyata membadai emosi remaja ini apabila dia terpaksa berhadapan dua peristiwa kematian dalam tempoh singkat.

Menurut Mohamad Faris Hakim Mohd Sofberi, 21, dia pada waktu itu baru berusia 11 tahun, namun sudah mampu mengerti akan apa yang berlaku.

Mesra disapa Faris, pemergian datuk, Yahya Hussain pada 12 April diikuti nenek, Hatijah Bahari pada 23 November pada tahun sama akibat sakit tua masih lagi diingat dengan jelas sehingga ke hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Arwah pernah cakap dia kena sihat sebelum sekolah buka” - Anak tak sangka kerisauan ibu ‘hilang’ tepat masanya, menggigil imbas pengalaman mandikan jenazah

ARTIKEL BERKAITAN: Mula gali kubur sejak umur 12 tahun, pemuda usia 22 tahun tak terfikir cari kerja lain - “Saya minat urus jenazah”

Imbasnya, tambah pilu dan terkilan apabila dia hanya dibenarkan mengucup jenazah dalam tempoh singkat sahaja.

"Sebelum jenazah disempurnakan, kita minta izin untuk cium. Saya nak cium lama sikit, sebab itu kali terakhir bersama mereka.

"Saya dengar, ada pakcik atau makcik di belakang tegur jangan cium lama-lama. Kata mereka, nanti jenazah tak tenang... berat nak pergi.

"Saya terkilan. Jadi saya cium cepat-cepat. Saya rasa ada salah faham, yang dilarang tu kalau kita meratapi, terlampau sedih. Bukannya saya nak cium lama sampai lima minit pun," ujarnya kepada mStar.

Kata Faris, datuk dan neneknya meninggal akibat sakit tua pada tahun 2010. (Gambar Hiasan)

Jelas Faris, teguran itu bukanlah daripada ahli keluarga mahupun sanak saudara, sebaliknya orang kampung yang sama-sama membantu dalam menguruskan jenazah.

Tambah Faris, dia berkongsi semula kisah itu di Twitter kerana mahu menyuarakan rasa terkilan sahaja dan berharap ia tidak berulang lagi kepada mana-mana individu lain.

Saya dengar, ada pakcik atau makcik di belakang tegur jangan cium lama-lama.

MOHAMAD FARIS HAKIMI MOHD SOFBERI

"Saya dibesarkan oleh arwah atuk dan nenek. Kami tinggal bersama dari saya kecil lagi. Bila mereka sakit, saya jaga, basuh berak dan sebagainya.

"Kejadian tak boleh cium lama-lama tu berlaku pada dua-dua, sewaktu kematian atuk dan juga nenek. Pada pendapat saya, kalau sesiapa melalui pengalaman sama, buat tak tahu je.

Walaupun sudah 10 tahun berlalu, peristiwa itu masih lagi jelas terngiang di minda Faris. (Gambar Hiasan)

"Kalau meratapi lebih-lebih tu, memang tak elok. Tapi saya sekadar mahu kucup jenazah buat kali terakhir. Saya masih ingat sampai hari ni walaupun ia dah lama berlaku," jelasnya lagi.

Faris berkongsi kisahnya itu sebagai respon selepas seorang individu di Instagram berkongsi kisah hampir sama.

Malah, posting Faris turut mendapat reaksi netizen sehingga ia meraih lebih 15,200 ulang kicau (Retweet).

Di ruangan komen, netizen turut mengambil peluang berkongsi kisah masing-masing yang berhadapan pengalaman hampir sama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain