Diri sendiri berpeluh tak apa! Usahawan sanggup guna fail ‘payung’ warga emas beratur ketika cuaca terik... rupa-rupanya dia terbayangkan sesuatu!

Kisah seorang wanita (kiri) memayungkan seorang warga emas ketika beratur untuk masuk ke bank menjadi perhatian. Foto Facebook Privitha Maimaran

NORMA baharu akibat pandemik Covid-19, semua perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuklah penjarakkan fizikal.

Sekiranya mahu berurusan di kaunter bank, setiap pelanggan perlu beratur dari luar premis berikutan sejumlah pelanggan hanya dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa.

Menerusi sekeping gambar yang tular di media sosial, seorang pelanggan wanita warga emas berbangsa India sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam bank.

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut UiTM tak sangka Aunty Jothi 'halang' beli sari di Little India sebenarnya ada niat lebih baik - "Berkali-kali saya tanya sebab tak percaya"

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau, "Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

Turut kelihatan seorang wanita Melayu yang juga beratur di belakangnya, 'memayungkan' warga emas itu daripada panas terik hanya menggunakan fail ditangannya.

Bercakap kepada mStar, cucu warga emas berkenaan, Privitha Maimaran berkata, foto tersebut dirakamkan di luar sebuah bank di Ipoh, Perak pada pagi Rabu.

Berusia 21 tahun, Privitha, berkata, foto tersebut dirakam oleh sepupunya yang menemani nenek mereka, Lachumi Arunasalam yang berusia 78 tahun.

"Sepupu saya menunggu di dalam kereta, bersama seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang dipangkunya serta seorang lagi anak lelakinya berumur dua tahun.

"Nenek pula beratur untuk berurusan berkaitan hal wang pencen dia. Cuaca masa tu memang panas terik, sepupu nampak wanita itu payungkan nenek," katanya kepada mStar.



Perkongsian Privitha mengenai neneknya dan seorang wanita menjadi tular.

Privitha yang merupakan seorang jururawat berkata, tindakan wanita tersebut benar-benar menyentuh perasaan lebih-lebih lagi melihat nenek mereka dilindungi oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Nenek saya kata ada seorang wanita beratur belakang dia sanggup payungkan dia. Masa tu agak lama juga nenek saya beratur dan dia juga menegur nenek.

"Tanpa mengira bangsa, wanita tersebut sudi menghulurkan bantuan dan menghormati nenek kami yang lebih berusia. Kami amat menghargainya," katanya.

Sementara itu, wanita Melayu yang disebut-sebut itu ketika dihubungi mStar tidak menyangka fotonya sedang menggunakan fail untuk memayungkan seorang nenek di luar bank menjadi tular.

Tak sampai hati tengok dia dalam keadaan macam tu. Dengan fail yang ada di tangan, saya payungkan aunty tu.

HASRINA HASSAN

Wanita berkenaan, Hasrina Hassan memberitahu, walaupun foto tersebut tidak memaparkan wajahnya, tetapi identitinya dikenal pasti berdasarkan pakaiannya pada Rabu.

"Saya tahu bila kawan-kawan rapat bertanya sama ada itu adalah saya, kerana secara kebetulan saya ada memuat naik foto dengan baju sama di laman sosial pada hari yang sama.

"Benar, masa tu cuaca agak panas, memang terik. Saya nampak aunty tu dalam keadaan berpeluh-peluh. Dengan cuaca panas dan faktor usia, mungkin dia cepat berpeluh.

"Saya tegur aunty tu, tanya dia datang dengan siapa dan dia tunjuk ke arah kereta yang saya nampak ada seorang wanita bersama anak kecil di dalamnya," katanya yang berusia 40 tahun.



Privitha (kiri) bersama neneknya, Lachumi. Foto ihsan Privitha Maimaran

Hasrina yang merupakan usahawan berkata, dia tidak sampai hati melihat wanita warga emas itu yang terpaksa beratur bersendirian sementara menunggu giliran masuk ke dalam bank.

"Saya sampai untuk beratur pukul 9.40 pagi dan bank dibuka pukul 9.30 pagi. Tapi saya tak pasti berapa lama aunty tu beratur di hadapan saya dan tak ada pula pihak bank datang tengok.

"Saya yang baru sampai pun dah berpeluh sebab cuaca panas. Tak sampai hati tengok dia dalam keadaan macam tu. Dengan fail yang ada di tangan, saya payungkan aunty tu.

"Masa tu terbayang mak ayah kita dalam keadaan begitu. Saya percaya kalau kita berbuat baik pasti Allah akan balas balik dalam pelbagai cara," katanya sambil menambah dia memayungkan warga emas itu selama kira-kira 10 minit sebelum wanita itu masuk ke dalam bank.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain