suria

Video TikTok anak sambut birthday bapa OKU undang sebak, pelajar gembira walau mak ayah guna bahasa isyarat - “Kegembiraan saya apabila lihat mereka senyum”

(gambar kanan) Muhammad Zulhaikal bersama ibu bapanya yang OKU pekak dan bisu. (gambar kiri) Video komunikasi mereka tular di media sosial.

VIDEO tular yang satu ini cukup berbeza, bukan rakaman menari atau cabaran media sosial seperti kebiasaan.

Sesiapa sahaja pastinya sebak sehingga boleh bergenang air mata apabila menonton video tersebut.

Video TikTok yang tular itu menunjukkan seorang pemuda meluangkan masa bersama ibu bapanya yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat - "Ia nasi lemak terbaik saya rasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - "Kami masih dipandang sebelah mata"

Pemuda berkenaan, Muhammad Zulhaikal Zailani berkata, sebenarnya ibu bapanya adalah orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.



Tangkapan skrin video Muhammad Zulhaikal bersama ibunya menggunakan bahasa isyarat.

Remaja berusia 19 tahun itu memberitahu, sebelum ini klip video bersama ibu bapanya dimuatnaik di laman Instagram sebelum ia dikongsi menerusi aplikasi TikTok.

"Walaupun kedua-dua mereka lain daripada yang lain, tapi saya berbangga kerana mempunyai mak ayah yang begitu sayang dan membesarkan saya dengan baik.

"Ini yang saya mahu tonjolkan kepada masyarakat di luar sana supaya menghargai mak ayah kita selagi mereka masih ada," katanya kepada mStar.

Muhammad Zulhaikal berkata, bapanya berusia 50 tahun dan bekerja di sebuah bengkel motosikal manakala ibunya yang berumur 48 tahun pula adalah suri rumah.



Walaupun lain daripada yang lain, Muhammad Zulhaikal berbangga dengan ibu bapanya.

Walaupun OKU, anak sulung daripada tiga beradik itu menjelaskan ibu bapanya tidak pernah bersikap meminta-minta atau cuba mendapatkan wang daripada orang lain.

"Ayah saya bekerja di sebuah bengkel selama enam hari seminggu, dari pukul 9 pagi sehingga 7 petang. Dengan kerja itu ayah membesarkan kami adik-beradik.

"Mak dan ayah begitu mementingkan pendidikan anak-anak dan mereka mahu anak-anak berjaya dalam hidup," ujarnya yang kini mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Nilai di Negeri Sembilan.

Dengan bahasa isyarat mak ayah, saya juga boleh senyum dan ketawa.

MUHAMMAD ZULHAIKAL ZAILANI

Walaupun video tersebut menunjukkan komunikasi dalam bahasa isyarat, Muhammad Zulhaikal menjelaskan keceriaan dan senyuman manis jelas terpampang pada wajah kedua-dua ibu bapanya.

"Ramai yang hanya ingat komunikasi dalam bahasa isyarat ini hanya melakukan pergerakan tangan. Dengan bahasa isyarat mak ayah, saya juga boleh senyum dan ketawa.

"Kegembiraan saya juga apabila melihat mereka senyum," katanya yang menetap di Shah Alam.



Muhammad Zulhaikal mempunyai mesej untuk masyarakat menerusi video bersama ibu bapanya.

Menurut Muhammad Zulhaikal, dia dan adik-beradiknya dianugerahkan dengan fizikal yang sempurna tetapi sentiasa berpegang kepada nasihat ibu dan bapa mereka.

"Mak dan ayah sering berpesan kepada kami, tidak kira sesiapa pun di mana-mana pun, kita kena sentiasa hormat orang. Kalau kita tak hormat orang, macam mana orang nak hormat kita.

"Begitu juga tujuan video yang saya kongsikan. Saya mahu masyarakat juga menghormati ibu bapa mereka yang mungkin kurang bernasib baik seperti orang lain," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain