Selepas lukis wajah PM, pelajar akui pernah anggap lukisan potret harga RM5 ‘mahal’... terpaksa ikat monopod di kerusi sebab tak ada tripod

Handrius berdiri di sebelah potret perdana menteri yang dihasilkannya dalam tempoh tujuh hari.

KEGIGIHAN seorang pelajar dari Pitas, Sabah yang menjual potret untuk mengumpul wang seharusnya diberikan pujian.

Bermula dengan harga serendah RM5 sewaktu di sekolah menengah, Hadrius Charles, 22, meneruskan usaha itu apabila dia melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Kewangan dan Perbankan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Saya memang minat melukis dari kecil. Kemudiannya saya berhenti melukis sebab tiada galakan dan kurang sokongan. Sewaktu tingkatan lima saya mula melukis balik sebab saya bosan.

ARTIKEL BERKIATAN: Pelukis tahan sabar pelanggan mahu bayar RM10 upah lukis potret, siap ‘siasat’ harga peralatan - “Pensel arang tu berapa?”

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif”

"Saya belajar sendiri, saya tak pasti bakat dari mana sebab mak ayah saya tak boleh melukis. Masa tingkatan enam, saya jual potret pada harga RM5.

"Pada waktu itu, jual RM5 pun segan sebab rasa mahal. Mungkin juga perasaan malu, takut pembeli tak puas hati. Sekarang di UMS saya masih jual potrert dengan harga yang lebih standard," ujar pelajar dari etnik Dusun Kimaragang itu.

Video di sebalik tabir yang dikongsi di YouTube miliknya.

Terbaharu, dia yang mesra disapa Handrius turut mencuri tumpuan apabila menghasilkan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi cabaran tujuh hari.

Dalam penghasilan potret itu, dia sempat berkongsi kisahnya yang tidak memiliki tripod untuk merakam video 'timelapse' di sebalik tabir proses berkenaan.

Saya belajar sendiri, saya tak pasti bakat dari mana sebab mak ayah saya tak boleh melukis.

HANDRIUS CHARLES

"Saya pilih PM sebab satu Malaysia kenal beliau, lukisan ini juga sempena Hari Malaysia pada 16 September. Saya ambil masa seminggu untuk siapkan, setiap hari saya ambil masa dalam dua ke tiga jam.

"Namun, saya tiada stand (tripod), jadi terpaksa ikat monopod pada kerusi untuk rakam proses keseluruhan.

Antara potret yang dihasilkan pelajar itu.

"Video itu saya ada kongsi menerusi YouTube," ujarnya yang berhasrat menyerahkan sendiri potret itu kepada Muhyiddin jika diberi peluang suatu hari nanti.

Dalam perkembangan lain, anak kelima daripada enam beradik itu juga berhasrat menghasilkan potret Veveonah Mosibin, pelajar jurusan Asasi Sains dari UMS yang menjadi perhatian susulan videonya memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet tular di media sosial sebelum ini.

Handrius menjadikan penjualan potret sebagai satu sumber rezeki buatnya.

Dedah Handrius, potret Veveonah sudah mula dilakar pada Jumaat namun ia masih belum disiapkan lagi.

Sebelum ini, Handrius juga pernah menghasilkan potret Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Allahyarham Ashraf Sinclair, arwah Abam Bocey dan ramai lagi.

Selain YouTube, karya-karya lukisan Handrius juga banyak dikongsi menerusi Twitter miliknya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain