Kuih tradisional digubah kuntuman mawar... itulah penangan 'Rose-ti jala', siap jadi pilihan bakal pengantin! - “Sampai tak menang tangan nak menjala!”

Amira tidak menang tangan menyiapkan tempahan rose-ti jala sejak dia memuat naik gambar kuih tradisional itu di laman sosial.

SEBUT sahaja roti jala, pasti terlintas di kepala rupa kuih yang berlubang-lubang dan berwarna kuning yang dicicah bersama kuah kari ataupun serawa durian.

Kebiasannya, ia dinikmati ketika sarapan, minum petang mahupun majlis-majlis keraian.

Namun siapa sangka, kuih ini setanding dengan manisan pencuci mulut lain yang bisa dijadikan sebagai hantaran majlis perkahwinan mahupun pertunangan!

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan tak ada gaji, bisnes sewa dulang merosot dek tempias Covid-19... wanita berjinak jual nugget frozen tak sangka kuasa viral Twitter – “Penat, malas, tak pandai semua kena ketepikan”

ARTIKEL BERKAITAN: PKP punya hal, tiba-tiba muncul ‘sup kaki ayam’ di Sekinchan! Juruteknik muda bikin isteri dan 3 adik tak menang tangan

Nampak seperti janggal namun apabila melihat hasil gubahan dan sentuhan kreatif wanita ini, pasti ramai yang terpegun.

"Cantiknya.... kalau macam ni rasa sayang nak makan!" demikian antara komen netizen terhadap perkongsian seorang pelayar yang memuat naik gambar kuih tradisional berkenaan yang diubah suai penuh kreatif menjadi kuntuman bunga ros.

Perkongsiannya di laman Twitter meraih sehingga 7,800 retweet dan 13,900 likes.



Amira menggubah kuih roti jala penuh kreatif sehingga menjadi kuntuman mawar.

Menurut wanita bernama Nur Amira Syafina Arsad, idea untuk menghasilkan kuih roti jala kuntuman ros itu tercetus selepas melihat gubahan-gubahan menarik kuih-kuih tradisional dan moden di Internet.

"Sebenarnya saya mula buat roti jala suka-suka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu saya banyak masa terluang sebab saya bekerja sepenuh masa sebagai artis henna sejak 2015, memang tak ada majlis perkahwinan sepanjang PKP.

"Masa mula-mula, saya buat roti jala biasa saja. Nak dijadikan cerita, bulan lalu saya saja buat roti jala dengan bentuk kuntuman ros untuk dihadiahkan kepada klien saya sempena majlis perkahwinannya.



Pelanggan boleh memilih di antara roti jala biasa ataupun rose-ti jala.

"Kemudian saya post di media sosial. Tak sangka selepas tu, ramai yang beri maklum balas positif dan mahu buat pesanan Rose-ti Jala. Niat saya saja nak cari kelainan pada kuih tradisional. Alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan," katanya kepada mStar.

Senang disapa sebagai Amira, wanita ini berkata ramai dalam kalangan pelanggannya yang menempah kuih tersebut untuk dijadikan sebagai hantaran, buah tangan dan juga pengganti kek ketika sambutan hari jadi.

Hujung minggu lalu saya terpaksa tolak 10 tempahan sebab tak menang tangan, hanya saya yang buat seorang. Mungkin selepas ini saya akan cuba cari pembantu.

NUR AMIRA SYAFINA ARSAD

ARTIS HENNA/PENIAGA

"Baru-baru ini ada seorang pelanggan dari Johor yang hubungi saya dan mahu menempah Rose-ti Jala sebagai hantaran. Saya beritahu bahawa saya based dekat Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor.

"Susah juga nak hantar makanan ke destinasi jauh. Bagaimanapun ia masih dalam proses perbincangan.

"Baru-baru ini pula, ada seorang pelanggan tempah 60 kuntum sempena hari lahirnya yang ke 60 tahun. Seronok bila tengok mereka gembira dengan apa yang dihasilkan," katanya.



Amira merupakan artis henna sepenuh masa sejak 2015.

Tambah Amira, sejak Rose-ti Jala mendapat perhatian, dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

"Hujung minggu lalu saya terpaksa tolak 10 tempahan sebab tak menang tangan, hanya saya yang buat seorang. Mungkin selepas ini saya akan cuba cari pembantu," katanya.

Ditanya 'rahsia' roti jala yang dihasilkannya, Amira berkata adunannya perlu tepat supaya ia senang dibentuk seperti kuntuman ros.



Amira juga menerima tempahan kacang pool, resepi yang diperolehi daripada bapa mentuanya.

"Ia sama seperti roti jala biasa namun warnanya dipelbagaikan. Lebih dari itu, ia adalah resepi kakak ipar sebab keluarga sebelah suami ada buat katering. Jadi banyak belajar dari mereka," katanya yang turut menerima tempahan kacang pool.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Amira dalam pada itu melahirkan rasa terharu dengan maklum balas yang diterimanya.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada suami, keluarga saya dan keluarga mentua yang selalu beri sokongan. Dan terima kasih sangat-sangat kepada semua yang retweet dan share tweet saya. Sampai tak menang tangan nak menjala," katanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain