suria

Macam mana kereta Tun M boleh ada di UK? Proton Perdana VK 5231 ditemui berhabuk dalam bangunan terbengkalai - “Terlalu panjang akal Tun”

Kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran VK 5231 yang ditemui bersama kereta mewah lain dalam sebuah bangunan terbengkalai di United Kingdom oleh sekumpulan pengembara Lost Adventures.

KECOH di media sosial baru-baru ini mengenai penemuan sebuah kereta Proton Perdana di bangunan terbengkalai di Surrey, United Kingdom (UK).

Ia gara-gara sekumpulan pengembara dari UK yang memuat naik salah satu kisah pengembaraan mereka dalam saluran YouTube, Lost Adventures, mengenai penemuan kereta-kereta mewah di dalam bangunan berkenaan.

Lost Adventures adalah sebuah saluran YouTube yang sering menjelajah ke banggunan terbengkalai bagi merungkai misteri yang terdapat di lokasi yang diterokai mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sokong produk Malaysia, bekas wartawan bergelar peguam teruja lihat Perodua Kelisa dipandu mat salih di UK - “Apa yang saya buat, saya ingat asal usul”

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta total loss, kawan yang pinjam pun ‘lesap’ - “Dia hubungi keluarga saya berjanji akan tanggung segala kos”

Menerusi video tersebut, mereka menemui prototaip kereta-kereta mewah, kereta klasik dan kereta lain yang bernilai jutaan ringgit.

Apa yang mengejutkan, di antara kereta-kereta mewah tersebut, terdapat sebuah kereta Proton Perdana yang kelihatan masih baharu dengan plastik tempat duduknya belum dibuka.



Seorang pelayar 'merungkai' misteri kereta Proton Perdana VK 5231 menerusi satu posting di Facebook.

Ia berhabuk, tanda ia sudah terbiar lama di bangunan berkenaan.

Kelihatan jelas, nombor pendaftaran kereta berkenaan iaitu VK 5231 iaitu kod pendaftaran dari Kuala Lumpur, Malaysia.

Seorang pelayar laman Facebook menerusi satu perkongsiannya mendedahkan kereta berkenaan didaftarkan atas nama bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Untuk pengetahuan, bangunan tersebut milik Bristol Cars, pemilik dia Kamal Siddiqi, seorang usahawan warganegara Britain berdarah Pakistan. Macam mana pulak kereta Tun M boleh ada di UK ni?

"Cerita dia bermula pada akhir tahun 2016 bila Tun M pergi ke UK dan ada berbincang dengan Kamal Siddiqi untuk convert kereta biasa kepada kereta hibrid melalui syarikat R&D (penyelidikan dan pembangunan) milik Kamal iaitu Frazer Nash Research Limited yang berpengkalan kat UK.



Antara kereta mewah lain yang ditemui bersama sebuah Proton Perdana sebagaimana video yang dipaparkan menerusi saluran YouTube Lost Adventures.

"Oleh sebab Tun M ni jenis yang sukakan teknologi baharu dan mahu kita tak ketinggalan, atas inisiatif dia sendiri, dia hantar kereta Proton Perdana miliknya sendiri ke sana untuk tujuan R&D," tulis pelayar berkenaan, dipercayai salah seorang pegawai khas kepada Tun M.

Tulis pelayar ini lagi, sekiranya usaha R&D itu berjaya, Proton akan berupaya untuk menghasilkan kereta hybridnya sendiri dan bersaing dengan jenama terkemuka dunia yang sudah pun mempunyai model hybrid masing-masing.

"Sekarang tidak pasti sama ada kereta tersebut telah melalui proses R&D atau pun tidak dan kereta ini sepatutnya telah dibawa pulang. Difahamkan juga ada masalah approval.

"Kereta ini juga ada declare pengisytiharan harta masa Tun M jadi PM ke-7. Tapi bangga jugalah kereta Perdana ada dekat gudang lama bersama kereta-kereta mewah," tulisnya lagi.



Antara komen netizen yang memberi maklum balas terhadap perkongsian berkenaan.

Perkongsian tersebut mengundang komen daripada netizen yang rata-ratanya terkejut dengan penemuan berkenaan, namun turut teruja dalam masa yang sama.

"Elok juga siapa yang buat spekulasi macam-macam tu. Ia menjadi satu peluang untuk ketengahkan usaha Tun yang orang tak tahu," komen seorang netizen.

"Terlalu panjang akal fikiran Tun yang kita sendiri selalu tak terfikir. Tun sayangkan Proton," komen seorang netizen lain pula.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain