suria

Kereta total loss, kawan yang pinjam pun ‘lesap’ - “Dia hubungi keluarga saya berjanji akan tanggung segala kos”

Keadaan kereta Yaya yang remuk teruk akibat kemalangan sewaktu dipinjam oleh rakan lelakinya (gambar kiri).

“BILA jadi macam ni, serik nak bagi orang pinjam barang dah”.

Demikian kata seorang gadis, berkongsi cerita mengenai kesengsaraan yang ditanggung beberapa tahun lamanya gara-gara sikap seorang rakan yang menghilangkan diri selepas kereta yang dipinjam mengalami kerosakan akibat kemalangan jalan raya.

Hanya mahu dikenali sebagai Yaya, wanita berusia 23 tahun ini berkata segala-galanya bermula apabila dia meminjamkan keretanya kepada seorang rakan lelaki, hampir tiga tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah pernah nampak, tapi saya tak percaya” - Jurutera terkejut, pelik kereta ‘total loss’ tahun 2014 muncul atas jalan raya

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali motor kena rembat, pemuda ini siap bersemuka dengan pencuri - “Ingat kedai angkut, tapi tak ada tunggakan”

“Kereta itu sebenarnya milik abang, tapi saya yang pakai dan sambung bayar memandangkan abang sudah ada kereta lain. Hendak dijadikan cerita, bulan Ramadan 2018, rakan lelaki datang ke tempat kerja saya di bandar Temerloh dan beritahu nak pinjam kereta kerana mahu pulang ke kampungnya yang terletak di Desa Murni, juga dalam daerah Temerloh.

“Niat nak bantu, jadi saya pun bersetuju pinjamkan kereta kepadanya. Tetapi tidak lama kemudian dia telefon beritahu kereta rosak sebab kemalangan. Saya datang ke tempat kejadian bersama rakan.

“Memang gelabah dan panik juga tengok keadaan kereta ketika tu. Macam mana saya nak beritahu abang dan keluarga,” ceritanya kepada mStar.


Posting Yaya yang tular di Twitter baru-baru ini.

Yaya berkata rakan lelakinya itu memberitahu bahawa prosedur untuk membuat tuntutan insurans terhadap kerosakan kereta akan menjadi sukar kerana dia tidak mempunyai lesen memandu.

“Ketika itu baru saya tahu dia tak ada lesen. Memang silap saya bagi dia pinjam. Tapi benda dah jadi. Dia kata, saya yang kena buat laporan polis kerana nanti susah nak claim insurans sebab dia tak ada lesen.

“Jadi saya pun buat report polis… memang sedang panik masa itu jadi saya ikut saranan tersebut sebab dia kata dia akan tanggung 100 peratus, cuma laporan saja dibuat atas nama saya.

“Dia pun selepas itu hubungi keluarga saya dan ceritakan perkara yang berlaku sambil berjanji akan tanggung segala kos,” ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Ini soal tanggungjawab. Sebelum ini berjanji nak tanggung kerosakan, tapi tengoklah sekarang. Serik betul nak bagi orang pinjam barang dah.

YAYA

PEMILIK KERETA

Bagaimanapun kata Yaya, janji yang ditabur hanya tinggal janji. Rakan lelakinya itu secara perlahan-lahan mula menghilangkan diri kerana enggan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

“Kereta itu pula kemudian diisytiharkan total lost. Kalau nak baiki, memang kosnya menelan sehingga belasan ribu ringgit, melebihi apa yang insurans boleh cover.

“Dalam masa yang sama, saya juga perlu membayar pinjaman bank untuk kereta itu sebanyak RM380 sebulan. Memang ‘sakit’ juga sebab kena bayar untuk benda yang tak ada depan mata,” ujar Yaya yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Perkongsian Yaya mengenai kisahnya diceritakan menerusi satu bebenang di Twitter.

Bercerita lebih lanjut, Yaya berkata abang serta ibu bapanya sudah banyak kali menghubungi lelaki tersebut dan keluarganya, namun mereka enggan memberikan kerjasama.

“Saya pernah membuat satu laporan polis mengenai perkara ini pada Ogos tahun lalu. Pelbagai cara dilakukan untuk berhubung dengan dia namun masih tidak dapat menjejakinya.

“Baru-baru ini saya dimaklumkan surat daripada mahkamah akan sampai sebab bayaran bulanan kereta tertunggak sehingga RM3,000. Pelbagai cara sudah dibuat untuk menjejakinya tapi tak berjaya hingga akhirnya saya ambil keputusan untuk viralkan mengenai perkara ini,” ujar Yaya sambil menambah bapanya kini sedang berhubung dengan peguam bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara yang membelenggu mereka.

Tangkap layar perbualan antara Yaya dengan teman wanita dan individu yang mengenali lelaki berkenaan. 

Tambah Yaya, dia dan keluarganya hanya mahu lelaki itu tidak lepas tangan berhubung apa yang telah dilakukannya.

“Ini soal tanggungjawab. Sebelum ini berjanji nak tanggung kerosakan, tapi tengoklah sekarang. Serik betul nak bagi orang pinjam barang dah.

“Betul apa ayah cakap, orang kalau pinjam barang kita, dia bukan fikir nak jaga elok-elok sebab itu bukan harta dia. Apa yang berlaku ini benar-benar memberi pengajaran kepada saya,” ujarnya.   

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain