Kongsi foto sentuhan magis jeli 3D di grup masakan tak jadi, wanita Malaysia di Australia popular sekelip mata - “Saya rasa dekat dengan tanah air”

Antara agar-agar 3D yang dihasilkan Heng Boon.

SUDAH berhijrah ke Australia sejak tahun 2001, wanita ini mula meraih nama di sana dengan kreativitinya dalam menghasilkan agar-agar tiga dimensi (3D) atau jeli 3D.

Namun, kisahnya menjadi tular baru-baru ini dalam kalangan rakyat Malaysia setelah dia menyertai laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.

Bercakap kepada mStar, Siew Heng Boon, 37, dari Petaling Jaya, Selangor, mengakui mula mempelajari seni itu pada penghujung tahun 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa tular ketika PKP, FB ‘Masak Apa Tak jadi Hari Ni’ tarik perhatian PM

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sertai grup FB ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’ Kaum isteri jangan tercabar... resipinya bukan calang-calang!

"Pada tahun 2016, saya kembali ke Malaysia untuk bercuti. Ada jiran bagi jelly kepada mak saya. Saya terpegun, sebab tak pernah tengok jelly yang cantik.

"Sebelum pulang ke Australia, saya ambil kelas dan belajar selama dua hari sahaja. Kemudiannya saya meneruskan latihan sendiri sehingga mahir.

Siew Heng mula mempelajari teknik membuat agar-agar 3D pada tahun 2016.

"Saya banyak lakukan eksperimen. Belajar dari kesilapan. Kiranya sudah empat tahun saya buat perniagaan ini," ujarnya.

Setelah mencipta nama di sana, perkongsiannya dalam group Facebook berkenaan membolehkan dia meraih semakin ramai peminat khususnya dalam kalangan warga tempatan.

Siew Heng mula berhijrah ke Australia pada tahun 2011.

Kata Siew Heng, dia sama sekali tidak menyangka akan dihujani reaksi positif sekali gus membuatkan dia berasa dekat dengan tanah air.

"Kawan ada bercerita mengenai Facebook itu. Kemudian baru saya sertai. Pada mulanya orang hanya kongsi gambar makanan tak menjadi. Kemudian saya lihat ada yang kongsi gambar makanan yang menjadi.

Biarpun jauh dari Malaysia, ahli group Facebook itu buat saya rasa dekat dengan tanah air.

SIEW HENG BOON

"Jadi saya cuba kongsi gambar jelly saya. Tak sangka banyak komen positif, saya rasa dialu-alukan.

"Saya dapat rasakan semangat Malaysia menerusi Facebook itu. Biarpun jauh dari Malaysia, ahli group Facebook itu buat saya rasa dekat dengan tanah air," ujar lulusan University of Sydney itu.

Posting Siew Heng yang tular di Facebook sehingga membolehkan dia meraih ramai peminat baharu.

Menurut Siew Heng, tempoh penghasilan agar-agar 3D bergantung kepada kemahiran seseorang serta jenis rekaan yang dihasilkan.

Antara rekaan yang sering dihasilkannya termasuklah corak bungaan, kolam ikan koi, ukiran haiwan seperti merak, kucing, burung dan sebagainya.

Mengusahakan perniagaan di rumahnya sahaja, dia juga bakal mengadakan kelas secara dalam talian buat pengikut group Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official tidak lama lagi.

Siew Heng mengakui terharu dengan sokongan yang diterimanya oleh rakyat Malaysia menerusi Facebook.

Ujarnya, dia akan berkongsi video bagi memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat untuk mempelajari seni penghasilan agar-agar 3D itu.

Salah satu posting Siew Heng dalam Facebook berkenaan misalnya menerima lebih 35,000 tanda suka (likes) dan dihujani hampir 2,000 komen yang rata-ratanya kagum dengan ciptaannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia