suria

Kuasa tular ketika PKP, FB ‘Masak Apa Tak jadi Hari Ni’ tarik perhatian PM

PM menerusi perutusan khas pada Khamis malam.

LAMAN Facebook 'Masak Apa Tak jadi Hari Ni' yang tular sejak kebelakangan ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menerusi perutusan pada Khamis malam sempat berseloroh mengenai laman Facebook itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak boleh beraya di kampung” - PKP dilanjutkan hingga 12 Mei, PM mahu rakyat bersedia kemungkinan berlarutan selepas Aidilfitri

"Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan. Tak makan nasi beriyani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak Covid-19.

'Kita lihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya.

"Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni'," ujarnya.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang berakhir pada 28 April ini disambung sehinga 12 Mei 2020.



Laman Facebook ini turut mendapat perhatian PM.

Malah katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.

"Dalam tempoh ini, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

"Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Jumaat, 24 April 2020 sebagai tarikh permulaan puasa bagi umat Islam seluruh Malaysia.

Perutusan khas Ramadan yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Artikel Lain