suria

Petugas kesihatan antara 2 korban terkini, doktor paling ramai positif Covid-19 dalam kalangan staf KKM

Petugas kesihatan menjalankan rawatan terhadap pesakit Covid-19 yang menggunakan ventilator. Gambar hiasan/Foto AP

PETUGAS kesihatan merupakan antara dua korban terkini Covid-19 di Malaysia, pada Khamis.

Ia merupakan kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat Khamis, seramai 325 anggota KKM dikesan positif Covid-19.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, 77 orang adalah pegawai perubatan, diikuti 66 jururawat.

Dalam pada itu, perkembangan terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Khamis menyaksikan pertambahan 71 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,603 kes.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,966 kes.

Beliau memberitahu, terdapat dua kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

“Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 95 kes,” katanya pada sidang media, petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan itu merupakan kes kematian ke-94 (kes ke-3,871) merupakan wanita berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

"Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-3,662 yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 42 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 90 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Sabtu.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 3,542 kes,” kata Dr Noor Hisham.

BERIKUT adalah butiran kes Covid-19 melibatkan petugas kesihatan setakat Khamis:

Daripada jumlah keseluruhan 325 kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota KKM, sebanyak:

• 185 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj

• 137 kes sedang dirawat di hospital

• 3 kes kematian

Kes-kes ini terdiri daripada:

• 77 orang Pegawai Perubatan;

• 66 orang jururawat;

• 34 orang Pegawai Perubatan Siswazah;

• 23 orang Pakar Perubatan;

• 21 orang Penolong Pegawai Perubatan;

• 104 lain-lain skim perkhidmatan.

Berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota KKM ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes yang telah disahkan positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

Didapati, 70 peratus kes adalah berpunca daripada aktiviti persendirian misalnya menghadiri majlis keraian, ke luar negara dan sebagainya.

BERIKUT adalajh butiran kes kematian Covid-19 pada Khamis:

1. Kes kematian ke-94 (kes ke-3,871) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-3662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).

Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam.

Ini merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan KKM.

2. Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali).

Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 11.48 malam.

Artikel Lain