suria

Lincah! Bukan sahaja di bilik bedah, Dr Amalina tak mahu ketinggalan terlibat ujian vaksin Covid-19… ramai harap usaha cari penawar wabak sukses!

Dr Amalina memaklumkan dirinya terlibat dalam merekrut sukarelawan untuk ujian pembangunan virus di UK.

SIAPA yang tidak kenal dengan nama Dr Amalina Che Bakri?

Sebut sahaja namanya, pasti teringat jasanya yang menjadi salah seorang pegawai perubatan yang bertanggungjawab terhadap kejayaan pembedahan adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, tahun lalu.

Pakar bedah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di London, United Kingdom (UK) ini sememangnya membanggakan rakyat tanah air di atas usaha dan pencapaiannya selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Amalina persoal isteri pendakwah senang-senang guna title doktor

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak takut... sila perketat dan kemaskini!” - Dr Amalina kata tak masuk akal Malaysia guna undang-undang kawal produk kesihatan sama sejak 1956!

Terbaharu, doktor muda berusia 33 tahun itu mengumumkan penglibatannya untuk merekrut sukarelawan dalam ujian percubaan vaksin Covid-19 yang pertama di UK.

“Percubaan vaksin pertama di UK telah bermula di Kemudahan Penyelidikan Klinikal Imperial NIHR di @imperialcollege yang diketuai oleh Dr Katrina Pollock.

“Saya terlibat dalam merekrut sukarelawan yang sihat dan memvaksinasi mereka beberapa minggu akan datang, ” tulisnya pada ciapan di Twitter pada Rabu.



Tweet Dr Amalina mengenai keterlibatannya dalam merekrut sukarelawan dan ujian pembangunan virus di UK.

“Ini adalah salah satu daripada dua vaksin yang akan kami uji di Imperial. Usaha hebat dari pasukan Imperial dan sangat gembira melihat hasilnya!, ” tulisnya lagi sambil menyertakan pautan artikel mengenai kajian pembangunan vaksin berkenaan.

Dalam masa yang sama, Dr Amalina turut menyeru mana-mana individu yang berminat untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada pasukan sukarela dalam kajian tersebut untuk merujuk kepada pautan yang disertakannya.

Kajian pembangunan vaksin yang berpotensi untuk wabak Covid-19 itu dibangunkan secara bersama oleh University of Oxford dan Imperial College.



Dr Amalina membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya di UK.

Ia diketuai oleh Profesor Robin Shattock dari Jabatan Penyakit Berjangkit, Imperial College.

Untuk tujuan tersebut, kerajaan UK menyumbang £20 juta (kira-kira RM110 juta) untuk pasukan berkenaan terus membangunkan vaksin tersebut.

Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya mendoakan agar usaha beliau dan pasukannya beroleh kejayaan dalam mencari penawar bagi wabak berbahaya tersebut.



Antara komen netizen yang berbangga dengan pencapaian Dr Amalina dan mendoakan kejayaan pasukannya dalam mencari penawar virus.

“Tahniah Dr. Harap semuanya berjalan dengan baik, InsyaAllah, ” tulis @cxdee.

“Saya doakan kejayaan Dr dan pasukan, InsyaAllah, ” tulis @anakusazalie.

“Semoga berjaya Dr, ” ucap @hlillaryngadan.

Untuk rekod, Dr Amalina sebelum ini mengharumkan negara apabila dipilih sebagai antara penerima anugerah dari Darzi Academic Clinical Fellowship di Imperial College London.

Dr Amalina yang pernah tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom juga merupakan felo penyelidik payudara PhD di Imperial College London.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain