suria

Guru besar ‘bangga’ tak menangis hari terakhir di sekolah, namun berderai air mata berdepan seorang murid nakal - “Anak-anak macam Ali bukannya jahat”

Ahmad Firdauz (kiri) semasa kunjungannya ke kelas-kelas pada hari terakhir sebagi Guru Besar SK Pekan Nanas, Johor. Foto ihsan Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin

SETIAP pertemuan pasti ada perpisahan dan momen itu tentunya mengharukan.

Sekental mana pun jiwa seseorang itu, situasi sedih tersebut akan membuatkan air mata mengalir.

Begitulah yang dialami oleh seorang guru besar pada hari terakhirnya berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya mahu hidupkan suasana menyeronokkan" - Pulas minyak motor terhad di tingkat bawah saja, terbaharu cikgu usung speaker sampai tingkat 3 kejut pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat 'sisi' lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maka tiada perhimpunan secara besar-besaran diadakan bersama anak-anak didiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nanas di Pontian.



Ahmad Firdauz menanggalkan tanda nama sebagai Guru Besar SK Pekan Nanas.

"Jadi, aku pun pergilah dari satu kelas ke satu kelas. Biasalah, jiwa kental macam aku ni mana mudah menangis.

"Tetapi aku nyata salah. Sebaik tiba di kelas 2 Harapan, berderai juga air mata aku bila berhadapan dengan anak murid aku yang seorang ni.

"Ali... awak jaga diri tau, jaga hati ibu dan cikgu awak. Belajar rajin-rajin biar boleh bantu ibu awak nanti. Ingat tau. Tanpa sedar, bercucuran air mata turun," tulisnya di halaman Facebook Firdauz Abdullah.



Ahmad Firdauz (kiri) pergi dari kelas ke kelas sempena hari terakhirnya di SK Pekan Nanas.

Guru besar berkenaan, Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 37, berkata, Ali yang berusia lapan tahun merupakan antara murid 'bertuah' dan dikenali kerana kenakalannya di sekolah.

Beliau yang berkhidmat sebagai Guru Besar di SK Pekan Nanas selama tiga tahun dan tujuh bulan memberitahu, keadaan ketika semasa hari terakhir di sekolah pada 28 Julai begitu menghibakan.

"Ada 22 kelas saya masuk dan sampai ke kelas Ali, saya menangis depan murid-murid kelas tu. Ada beberapa guru ketika itu, termasuk yang mengiringi saya. Sayu sangat.

"Ali pelajar nakal, tapi anak-anak macam Ali ni bukannya jahat. Dia ada masalah keluarga sebenarnya," katanya kepada mStar.



Ahmad Firdauz berharap para pelajarnya berjaya di dunia dan akhirat.

Menurut Ahmad Firdauz, walaupun nakal, Ali merupakan seorang murid yang bijak di sekolah tetapi kurang perhatian dan kasih sayang selain keluarganya kurang berkemampuan.

Beliau juga menjadi tempat Ali mengadu ketika kelaparan, justeru membuatkan beliau memahami faktor keluarga murid itu yang kurang berkemampuan.

Saya tak mampu buat apa-apa selain menjadi abah yang terbaik untuk murid-murid SK Pekan Nanas sepanjang berkhidmat di sana. Hanya doa dan memori yang indah akan saya sentiasa titip dan ulang setiap hari hingga ke akhir nanti.

AHMAD FIRDAUS ABDULLAH TAHRIN

"Ali yang paling selalu menyapa saya. Nampak dari jauh mesti dia lambai dan jerit.

"Saya anggap dia macam anak. Saya sebagai bapa dia," katanya.



Kehadiran Ahmad Firdauz (kanan) begitu disenangi warga sekolah terutama murid-murid.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 15 tahun berharap agar Ali dan semua murid SK Pekan Nanas berjaya di dunia dan akhirat.

"Kejayaan itu bukan hanya diukur dalam bilangan A, tetapi sejauh mana mereka boleh memberikan yang terbaik dalam kehidupan," katanya yang kini menggalas tanggujawab baharu sebagai Ketua Program II, Genius Kurnia, Bahagian Genius Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Genius Kurnia di Sentul, Kuala Lumpur.

Genius Kurnia merupakan pusat intervensi awal untuk kanak-kanak yang mengalami autisme dan keluarga masing-masing.

Mengimbas kenangan mengenai Ali, Ahmad Firdauz berkata, dek kenakalannya, murid berkenaan selalu menghadapnya di sekolah.



Tinggal kenangan... selamat tinggal SK Pekan Nanas.

"Cikgu, saya tak bawa duit," kata Ali.

"Tak apa, nah RM2, pergi beli makan. Kau beli benda lain, cikgu sebat kau," ujar Ahmad Firdauz.

"Yeay! Terima kasih Gubeso (guru besar)!” jawab Ali dengan nada riang yang pastinya menjadi antara kenangan terindah yang terpahat dalam memori pendidik itu.

"Saya tak mampu buat apa-apa selain menjadi abah yang terbaik untuk 625 murid SK Pekan Nanas sepanjang berkhidmat di sana.

"Hanya doa dan memori yang indah akan saya sentiasa titip dan ulang setiap hari hingga ke akhir nanti," kata Ahmad Firdauz.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain