SUNGGUHPUN hubungan antara suami isteri tidak berpanjangan, namun bagi pasangan Muslim, agama Islam sudah menetapkan bahawa tanggungjawab si lelaki sebagai seorang bapa tetap perlu ditunaikan. Tanggungjawab sebagai pemberi nafkah tetap terpikul di bahu bapa walau apa jua yang berlaku dalam perkahwinannya. Bagaimanapun, masih ramai daripada golongan ini culas untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagaimana yang telah pun diperintahkan oleh mahkamah. ARTIKEL BERKAITAN: Peguam syarie kongsi kisah pelik tapi benar, isteri tetap ditinggalkan walau diri cantik jelita – “Permata akan cari permata, bangkai tetap cari bangkai” ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi kes tunggakan nafkah 10 tahun, sampaikan mesej anak tak dibalas... tak sangka ramai dedah alami nasib sama - "Happy birthday ayah..." Terpanggil untuk mengulas isu nafkah, seorang peguam syarie, Nurul Izzah Zainol berkongsi pengalamannya menerusi satu catatan di Facebook. "Hampir mustahil saya jumpa kes yang si ayah mahu memberi lebih daripada jumlah tuntutan yang dituntut si ibu. Kalau boleh nak dikurangkan tinggal satu sen sahaja hak nafkah untuk anak. "Ada tu anak ada empat orang, si ayah tak setuju dengan tuntutan nafkah anak RM2,500 untuk empat orang anak yang dah bersekolah. (Lebih kurang RM600 sebulan seorang)," tulisnya pada perkongsian tersebut. Sungguhpun ikatan perkahwinan tidak panjang, namun si lelaki tetap memikul tanggungjawab iaitu memberi nafkah kepada anak-anaknya. Gambar hiasan. Apa yang lebih mengejutkan ujar peguam wanita ini, alasan yang diberikan juga sangat tidak dapat diterima kerana ternyata si lelaki berkenaan yang sengaja 'cari penyakit' apabila berkahwin lain. "Kau tahu si ayah nak bagi berapa? RM400 untuk empat orang. Kau tahu apa alasannya? Si ayah dah kahwin lain dan ada tanggungan baharu. Kalau dah tahu tak mampu nak tanggung, kenapa tambah tanggungan. Anak-anak kau wujud sebelum bini baharu kau wujud. "Anak-anak tu bukan anak kucing atau anak anjing. Anak orang yang ada hak makan minum, pakaian, pendidikan dan perubatan dia. Yang mana konon rasa mampu nak tambah anak, sekali skala duduk sekejap buat table calculation keperluan bulanan anak. "Bandingkan dengan pendapatan sendiri. Alih-alih kau tak mampu pun sebenarnya. Apatah lagi nak tambah bini kononnya sunnah. Yang akhirnya kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan," tulisnya. Melalui pengalamannya, peguam syarie ini berkata kebanyakan lelaki culas untuk memberi nafkah kepada anak dengan memberi alasan tidak mampu. Gambar hiasan. Justeru peguam ini berkata, maka bukan sesuatu yang menghairankan apabila anak-anak yang pernah diabaikan nafkah ini suatu ketika dahulu 'melupakan' bapa mereka apabila sudah dewasa. "Sazali sekarang bukan lagi Sazali di zaman P.Ramlee yang ayahnya telah memberikan segalanya tetapi dia tetap derhaka. "Sazali sekarang terbuang kerana ayahnya tidak mempedulikan dirinya sejak dari kecil. Nanti jika Sazali sudah besar dengan kehidupan yang membanggakan jangan kau hairan kenapa Sazali begitu 'derhaka' dengan kau. Kau tahu si ayah nak bagi berapa? RM400 untuk empat orang. Kau tahu apa alasannya? Si ayah dah kahwin lain dan ada tanggungan baharu. NURUL IZZAH ZAINOL PEGUAM SYARIE "Tiada memori yang indah dengan ayahnya. Tiada apa yang mengikat Sazali dan si ayah kecuali bin pada kad pengenalannya. "Yang dia tahu, dia hanya punya ibu. Tiada susuk seorang ayah yang bersama jatuh bangunnya. Ingat sekali lagi, anak-anak tidak membuang ayahnya, tetapi mereka sendiri telah terbuang tanpa nafkah dan kepedulian seorang ayah," tulisnya lagi. Sehingga kini posting tersebut meraih 1,100 shares dengan dihujani beratus komen netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan peguam berkenaan. Malah ada yang turut berkongsi pengalaman yang hampir serupa. Peguam syarie, Nurul Izzah Zainol banyak membuat perkongsian mengenai kes berkaitan keluarga dan perkahwinan di dalam Facebook. Foto: FB Nurul Izzah Zainol "Mak ayah saya bercerai. Kena halau sehelai sepinggang. Ayah? Tak ada sesen pun nafkah. Eh, anak masuk 'U' pandai pula cari," tulis seorang netizen. "Apa yang dibuat, sudah tentu anak-anak akan ingat," komen netizen lain pula. "Si ibu tak pernah sesekali hasut anak, tapi satu perasaan tu terbit sendiri dari diri anak-anak apabila mereka menyaksikan segala perbuatan ayah mereka," komen seorang netizen lain. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!