suria

“Ayah kata waktu muda untuk struggle” - Baru 2 minggu bisnes dah ada dugaan, anak termenung kata-kata bapa jadi kenyataan

Kafe milik Yazid baru sahaja berusia dua minggu dan terpaksa dihentikan operasi seketika akibat PKP.

KU sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Mungkin itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan nasib seorang pelajar apabila kafe yang baru dua minggu diusahakannya terpaksa dihentikan operasi gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Yazid Rahman, 23, dia yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor memulakan perniagaan itu di kampus pengajiannya pada tanggal 1 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang fikir kami tak buka kedai” - Ada 3 kedai nasi kukus, lama berniaga di bazar... anak selami perasaan ibu bapa Ramadan kali ini

ARTIKEL BERKAITAN: Jual air balang pun 'bergelut', paling sedih laksa sedap ibu langsung tak terusik, “Saya tak tahu apa yang kurang”

"Saya masih belajar, kebetulan nampak ada buka tender kafe. Jadi saya mohon. Mak saya pun memang minat masak, mak ada buat katering sikit-sikit sebelum ni.

"Kebetulan rumah kami di Bandar Baru Bangi, jadi mak bertindak sebagai ketua cef dan dibantu dua staf.

"Rasa sedih tu memang ada. Tapi lagi kesian pada staf yang dibayar gaji hari. Semangat memang down. Lepas PKP termenung juga. Tapi saya kuatkan semangat," ujarnya kepada mStar.

Posting Yazid di laman Twitter.

Menurut penuntut bidang Pembangunan Manusia itu, kafe itu merupakan perniagaan pertama miliknya yang dilakukan secara rasmi dengan kewujudan premis.

Namun, dia sebelum ini terlebih dahulu berjinak-jinak berniaga kasut bola secara dalam talian sejak berusia 15 tahun.

"Keluarga sebelum ini ada buat trading, supply alat tulis. Mak juga ada berniaga buat kuih, makanan.

"Perniagaan keluarga dalam 25 tahun, tetapi kafe ni minat saya sendiri. Dari kecil saya ikut ayah hantar barang sehingga timbul minat.

Rasa sedih tu memang ada. Tapi lagi kesian pada staff yang dibayar gaji hari. Semangat memang down. Lepas PKP termenung juga.

YAZID RAHMAN

PELAJAR/PENGUSAHA KAFE

"Saya juga berniat nak bantu keluarga. Ayah kata kena berkorban ketika masih muda. Waktu muda untuk kita struggle.

"Sepanjang dua minggu buka kafe, balik kelas terus saya uruskan perniagaan. Tak keluar dengan kawan-kawan, malam pula selesaikan tugasan pengajian," katanya lagi.

Menurut Yazid lagi, biarpun perniagaan kafe miliknya diuji dengan PKP sehingga dia mengalami kerugian modal, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya.

Malah, dia suatu hari nanti berhasrat melebarkan perniagaan dengan menjalankan katering serta lebih banyak kafe.

Yazid bersama ibu bapanya.

Dalam pada itu, setelah kafe miliknya di kampus UPM 'bercuti' seketika akibat PKP, Yazid pada Isnin memulakan semula perniagaan itu secara tempahan dalam talian yang akan dihantar ke rumah pelanggan di sekitar Bangi dan Kajang.

Ia diusahakan bersama ibunya yang turut menghasilkan kuih-muih yang dihantar ke beberapa restoran di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.

Tiga menu kafe milik Yazid terdiri daripada ayam penyet, nasi ayam dengan nasi kukus ayam berempah.



Yazid sempat berniaga dua minggu sahaja sebelum PKP.

Susulan situasi semasa yang melanda negara, dia turut menawarkan hidangan nasi ayam kicap khas PKP.

Posting mengenai kisah dugaan Yazid itu dikongsi sendiri olehnya di Twitter sehingga menjadi tular dan menerima lebih 1'300 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Yazid Rahman, UPM, kafe, pelajar, bisnes

Artikel Lain