suria

Apa khabar mak ayah di kampung ketika PKP? Doktor sayu pesakit datang kaki berulat... gemuk! – “Tergedik-gedik mengorek isi daging, bau toksah cerita”

Dr Ahmad Samhan (gambar kecil) berkongsi kisah mengenai kaki pesakit yang berulat kerana tidak mendapatkan rawatan segera. Gambar hiasan/Foto dietdietsihat.com/ Gambar kecil foto Facebook Ahmad Samhan

KITA sedia maklum semua perlu berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Malah, rakyat juga tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung selagi PKP masih dikuatkuasakan.

Tapi apa khabar ibu bapa kita yang berada di kampung? Adakah mereka sihat berada di rumah sepanjang PKP ini?

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?” - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri, geli tolak tepi! Doktor kongsi kisah jolok hidung, anak tekak buat ujian Covid-19 - “Segala lubang, muntah kami kena hadap”

Seorang doktor berkongsi kisah didatangi seorang penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan dalam keadaan yang cukup menyayat hati.

Menerusi perkongsian Dr Ahmad Samhan di halaman Facebooknya, pesakit yang menghidap kencing manis itu datang dalam keadaan kakinya berulat.

“Dah kenapa sampai berulat begini baru datang?” ujar doktor itu.

“Sekarang kan musim PKP, tak boleh keluar rumah. Ingat luka biasa. Ubat pun habis,” jawab pesakit itu.



Orang awam yang datang berjumpa petugas kesihatan untuk ujian saringan Covid-19 semasa PKP. Gambar hiasan/Foto Bernama

Menurut Dr Ahmad Samhan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), satu persatu ulat jatuh ke lantai sebaik balutan pada kaki pesakit dibuka, malah bau busuk menusuk ke hidung meskipun beliau memakai topeng muka.

“Ya Allah, terus rasa sesak nafas... gemuk-gemuk ulat ini. Kenyang barangkali makan daging kaki. Tergedik-gedik ulat mengorek isi daging.

“Bau toksah (tidak usah) cerita. Dah pakai topeng muka masih kuat bau menusuk. Sampai ke tekak terasa menusuk. Fuh!” katanya yang bersimpati dengan keadaan pesakit.

Beliau berkata, kisah sayu pesakit itu bermula apabila dia tersepak bucu katil dan mengalami luka kecil di bahagian tumit pada awalnya.



Dr Ahmad Samhan berkongsi kisah mengenai seorang pesakit kencing manis. Foto Facebook Ahmad Samhan

Bagaimanapun, lama-kelamaan keadaan kaki pesakit itu semakin parah.

“Lama kelamaan makin melarat. Maklumlah gula dalam badan pun tak terkawal. Lagi susah nak baik.

“Tak rasa sakit ke? Memang tak rasa. Kencing manis menyebabkan hilang deria rasa. Pakai kasut terbalik pun tak perasan. Sungguh!” tegasnya.

Tak rasa sakit ke? Memang tak rasa. Kencing manis menyebabkan hilang deria rasa. Pakai kasut terbalik pun tak perasan. Sungguh!

DR AHMAD SAMHAN

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samhan menasihati masyarakat mengambil berat tentang penjagaan kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit meskipun ketika PKP dan Ramadan yang menyaksikan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Beliau menambah, mereka perlu memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi dan pengambilannya seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

“Sebaiknya ada mesin periksa kandungan gula (glucometer) dan pastikan kandungan gula dalam 4-6mmol/l (berpuasa) dan <8mmol/l (jika makan).

“Jika luka, pastikan jaga kebersihan kaki dan cuci luka setiap hari. Tak perlu ambil ubat kampung, air akar kayu dan suplemen yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.



Nasihat Dr Ahmad Samhan susulan kisah pesakit yang dikongsi beliau.

Malahan, Dr Ahmad Samhan turut menasihatkan anak-anak yang berada di bandar atau tinggal berasingan untuk sentiasa mengambil berat tentang ibu dan bapa masing-masing di kampung.

“Anak-anak tanya kabar mak ayah di kampung. Pesan pada waris terdekat tolong jenguk-jengukkan. Pesan selalu makan ubat.

“Masih ramai yang tak ambil berat tentang makan ubat dan jaga kesihatan. Sama-sama pesan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ulat, kaki, kencing manis, Dr Ahmad Samhan, PKP

Artikel Lain