suria

Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut”

Mahfuz berkongsi kisah kedua ibu dan ayahnya yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

ANAK mana yang tidak sedih sekiranya kedua-dua ibu bapanya dijangkiti wabak yang boleh membawa maut?

Sungguhpun pahit, namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh Mahfuz Shaharudin apabila kedua insan tersayangnya disahkan positif Covid-19.

Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang senang disapa sebagai Mahfuz berkata, detik yang paling ditakuti itu bermula selepas bapanya yang merupakan seorang doktor menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

ARTIKEL BERKAITAN: Berlima kebumi jenazah korban Covid-19 jam 2.30 pagi, waris tuntut penjelasan - “Kami tiada kepakaran... kalau bukan kerana Covid-19, tiada masalah”

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman terburuk... mangsa Covid-19 kongsi pengalaman dikuarantin, paling cemas sukar tarik nafas panjang

“Ayah mendapat panggilan daripada PKD pada 4 Mac lalu memberitahu bahawa ada seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di kliniknya disahkan positif Covid-19. Menurut pegawai PKD itu, pesakit tersebut memaklumkan dirinya ada mengunjungi sebuah klinik pada penghujung Februari.

“Pesakit itu merupakan staf di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Pegawai PKD itu meminta ayah membuat ujian saringan Covid-19 dan tengah hari itu juga ayah buat ujian. Namun ayah terus ditahan di hospital kerana merupakan kontak rapat kepada pesakit.

“Pada 7 Mac, akhirnya keputusan keluar dan ayah disahkan positif Covid-19. Selepas itu, doktor meminta semua orang yang ada di rumah iaitu ibu dan dua adik untuk turut sama membuat ujian saringan. Masa itu, ibu dah ada simptom demam dan batuk,” cerita Mahfuz.

Mahfuz memuat naik perkembangan terkini selepas ibunya disahkan pulih daripada Covid-19.

Dia yang tinggal berasingan di Semenyih bersama isteri berkata, tiga hari selepas melakukan ujian saringan, perkara yang paling ditakutinya akhirnya menjadi kenyataan.

“Pada 11 Mac, keputusan ujian saringan ibu dan dua adik keluar, dan ibu sah positif Covid-19. Alhamdulillah, keputusan kedua-dua adik negatif. Ibu dan ayah ditahan di Hospital Sungai Buloh (HSB) namun berlainan tingkat.

“Pada 14 Mac, ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tak boleh bernafas sendiri. Kalau ikutkan, ayah seorang yang aktif, menjaga pemakanan dan tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.

“Bila dimasukkan ke ICU, perasaan bimbang tak boleh nak cakap. Baru-baru ini, doktor beritahu virus sudah mula menyerang paru-paru dan buah pinggangnya pula,” ujar pemuda berusia 30 tahun ini.

Kalau ditakdirkan berlaku perkara tak diingini sekali pun, masih tak dapat jumpa ayah juga. Sekarang ini tak tahu bilakah saat kami akan bertemu. Hanya ubati rindu dengan panggilan telefon dan video sahaja.

MAHFUZ SHAHARUDIN

ANAK

Dalam perasaan gundah dan bimbang memikirkan keadaan kedua ibu bapanya, Mahfuz bersyukur apabila ibunya pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 22 Mac lalu selepas dua minggu ditahan di wad isolasi.

“Lega sedikit bila ibu dah keluar. Walaupun begitu, ibu masih lagi perlu menjalani kuarantin di rumah. Ibu dan dua adik perlu buat social distancing, tak kongsi bilik air, keluar bilik pun ikut waktu-waktu tertentu untuk kurangkan risiko.

“Ayah pula masih dirawat di ICU sehingga kini (artikel ditulis). Doktor akan memaklumkan keadaan ayah, namun sehingga kini masih belum ada improvement. Kini kami hanya menantikan khabar yang baik daripada hospital mengenai ayah,” ujarnya.

Antara komen kenalan dan netizen yang turut sama mendoakan kesihatan ibu dan bapa Mahfuz. 

Tambah anak sulung daripada lima adik beradik ini, perasaan rindu terhadap ibu bapa dan keluarga sememangnya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, apatah lagi mereka berkemungkinan tidak dapat bertemu untuk jangka masa yang lama. 

“Kali terakhir saya bertemu ibu dan ayah adalah pada 23 Februari lalu. Sampai sekarang masih tak dapat jumpa mereka… ada juga stres sebab tak boleh melawat, tak boleh pulang ke rumah jenguk ibu.

“Kalau ditakdirkan berlaku perkara yang tak diingini sekali pun, masih tak dapat jumpa ayah juga. Sekarang ini tak tahu bilakah saat kami akan bertemu. Hanya ubati rindu dengan panggilan telefon dan video sahaja.

“Paling saya kasihan dekat adik bongsu. Dia menuntut di Melaka dan sepatutnya menghabiskan cuti sekolah bersama ibu bapa, tapi dia kena tinggal dengan saya buat sementara waktu ini.

Mahfuz menasihatkan orang ramai agar mematuhi PKP yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19. Gambar sekadar hiasan. Foto: Bernama

“Sekarang ni, setiap kali dapat mesej dan panggilan daripada hospital, hati saya sangat bimbang takut dengan apa yang bakal doktor sampaikan mengenai ayah. Tambahan pula dengan keadaan semasa kes Covid-19 sekarang. Hanya doa dan kata-kata semangat antara satu sama lain sahaja yang menguatkan kami sekeluarga ketika ini,” ujarnya.

Justeru, Mahfuz menasihati orang ramai agar mematuhi saranan pihak kerajaan dalam usaha untuk membendung penularan wabak maut ini.

"Kalau boleh, dengarlah saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tingkatkan amalan kebersihan. Lagi satu, tolonglah jujur jika mendapatkan rawatan. Bagi yang masih selamat, jagalah diri masing-masing," katanya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Covid-19, ICU, ibu, ayah

Artikel Lain