suria

Pengalaman terburuk... mangsa Covid-19 kongsi pengalaman dikuarantin, paling cemas sukar tarik nafas panjang

Hamdan menyifatkan pengalaman menjadi mangsa Covid-19 sebagai sangat teruk, tetapi berterima kasih kepada pasukan perubatan yang menjaganya dengan baik. -Gambar hiasan

PENULARAN wabak Covid-19 dan kes yang semakin meningkat membuatkan ramai yang panik.

Apatah lagi Malaysia kini menjadi negara tertinggi yang mencatatkan kes positif koronavirus di rantau Asia Tenggara.

mStar berpeluang untuk menemubual seorang pemuda yang disahkan positif Covid-19 pada 4 Mac lalu tetapi kini sudah semakin pulih.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Wanita bogel pakai topeng muka selepas keluarga dikena perintah berkurung

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 428 kes, kerajaan adakan mesyuarat khas esok

Pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Hamdan itu memberitahu walaupun masih dikuarantin, dia dapat merasakan perbezaan dirinya yang beransur sihat berbanding ketika mula-mula dijangkiti wabak itu.

"Alhamdulillah saya semakin sihat berbanding minggu lalu. Saya baru sahaja menjalani saringan pertama pada Ahad dan menunjukkan keputusan negatif.

"Petang ini (Selasa) pula saya akan dapat tahu keputusan saringan kedua, sekiranya negatif, saya akan dibenarkan pulang ke rumah," ujar pemuda berusia 31 tahun itu.

Menceritakan pengalaman ketika disahkan positif Covid-19, dia memberitahu ia merupakan pengalaman terburuk yang pernah dilaluinya.

Pada awalnya, Hamdan yang tinggal di rumah hanya makan Panadol kerana mengandaikan ia hanya sakit biasa namun tidak lama selepas itu dia bergegas ke hospital setelah keadaan dirinya menjadi semakin teruk.

Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19. Gambar sekadar hiasan. Foto: BERNAMA

"Saya mengalami demam dengan suhu yang agak tinggi iaitu 38.2 darjah Celsius dan kesukaran untuk bernafas terutamanya ketika saya menarik nafas panjang.

"Saya juga mengalami batuk yang sangat teruk dan tidak berhenti tetapi hanya batuk kering yang tidak berkahak.

"Semasa tiba di hospital, saya menjalani ujian swab hidung (nasal swab) dan doktor mendapati saya positif wabak tersebut," ujarnya yang sudah sembilan hari dikuarantin di hospital.

Hamdan memberitahu dia pada awalnya dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan kemudian dipindahkan ke Hospital Rembau pada dua hari lalu selepas menunjukkan pengurangan simptom Covid-19.

Mengulas lebih lanjut bagaimana dia boleh dijangkiti wabak Covid-19, Hamdan memberitahu dia berjangkit daripadanya bapanya.

"Baru-baru ini, ayah saya menghadiri sebuah mesyuarat bersama kakitangan GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan menyebabkan dia dan ibu saya positif Covid-19.

Saya mengalami demam dengan suhu yang agak tinggi iaitu 38.2 darjah Celsius dan kesukaran untuk bernafas terutamanya ketika saya menarik nafas panjang.

HAMDAN

"Namun, mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sakit malah sihat seperti biasa. Mereka kini bersama saya dikuarantin di Hospital Rembau, bezanya mereka sudah 15 hari dikuarantin manakala saya pula sembilan hari," jelas Hamdan yang memberitahu mereka tidak pernah berjumpa selepas duduk di bilik berasingan.

Dalam pada itu, Hamdan ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat di kedua-dua hospital yang bekerja keras dalam menjaga kesihatan pesakit.

"Layanan yang diberikan oleh mereka sangat bagus terutamanya ketika permulaan saya dijangkiti Covid-19.

"Mujur saya dibenarkan untuk menggunakan telefon, kalau tak memang tak tahu nak buat apa semasa kuarantin tu.

"Setiap hari saya diberikan nasi, sayur dan ayam. Pada malam pula jururawat akan beri saya makan buah-buahan bagi menguatkan antibodi badan. Ubat-ubatan pula saya diberikan ubat batuk, antibiotik dan ubat HIV," ujar Hamdan yang memberitahu rawatan Covid-19 yang diterimanya adalah sama seperti digunapakai untuk wabak SARS.

Orang awam dinasihati untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19. Gambar sekadar hiasan.

Sementara itu, Hamdan menasihatkan orang ramai agar mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

"Saya tengok di media sosial semalam ramai yang buat panic buying, mereka tak tahu risiko pergi ke tempat yang ada orang ramai boleh berisiko tinggi untuk berjangkit.

"Wabak ni kita tak tahu siapa yang sihat atau siapa yang tidak sihat, sebab tidak ada label untuk tahu orang itu sihat atau tidak," katanya.

Hamdan menasihati orang awam supaya mencegah daripada dijangkiti wabak tersebut dan menyifatkan pengalaman sebagai mangsa Covid-19 adalah sangat teruk.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain