suria

Topeng muka jemur atas rumput, gantung macam ikan masin entah-entah nak jual ‘second hand’ – “Saya tak rasa mereka nak pakai balik...”

Topeng muka yang dijemur dan digantung di kawasan terbuka di kawasan perumahan.

HAND sanitizer dan topeng muka laris bak pisang goreng panas, berikutan wabak Covid-19 sehingga ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan barang-barang berkenaan.

Namun, apa yang mengejutkan apabila lambakan penutup mulut dan hidung itu dikesan dijemur atas rumput di sebuah taman permainan kawasan perumahan.

Posting seorang wanita di laman sosial turut menunjukkan banyak topeng muka digantung seperti ikan masin di penghadang besi dekat sebuah pangsapuri.

ARTIKEL BERKAITAN: Renjis pengantin guna hand sanitizer, abang juruvideo ada alasan sendiri - “Bagi saya bukanlah melampau...”

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Amalkan tanda hormat tanpa bersentuhan, perdana menteri pun dah mula buat!

Wanita berkenaan, Nur Adyla Wok berkata, gambar-gambar yang dikongsinya itu diperoleh daripada rakannya di sebuah pangsapuri di Cheras, Selangor.

Lambakan topeng muka yang dijemur di taman permainan kawasan perumahan.

Walaupun tidak mengetahui punca sebenar, dia yang lebih dikenali sebagai Dyla berkata tindakan dua lelaki menjemur topeng muka sedemikian meragukan.

“Mungkin nak jual, saya tak rasa mereka nak pakai balik sebab banyak topeng muka yang dijemur. Orang cakap kenapa tak tegur.... kalau tegur, nanti kena marah.

“Lagipun topeng muka macam tu mana boleh diguna semula, apatah lagi dah letak atas rumput. Memang tak bersihlah,” katanya kepada mStar.

Topeng muka digantung pada penghadang besi dekat pangsapuri.

Dyla berkata, topeng-topeng muka yang digantung itu juga tidak dibungkus dengan rapi sebagaimana yang dijual di farmasi atau kedai berdaftar. 

“Sama macam yang saya tengok iklan di media sosial mengenai jualan murah topeng muka ketika dunia dilanda wabak Covid-19 juga membangkitkan persoalan.

“Saya tertanya-tanya mereka jual topeng muka macam tu je ke, tak ada bungkusan? Ada juga yang saya dengar sekarang topeng muka second hand pun ada dijual,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Dua lelaki dikesan dipercayai melakukan aktiviti menjemur topeng muka.

Justeru, Dyla menasihatkan orang ramai agar mendapatkan topeng muka di kedai-kedai yang berdaftar seperti farmasi bagi mengelakkan sebarang kesan buruk di atas penggunaannya.

“Saya faham dalam keadaan sekarang mungkin banyak kedai dah sold out topeng muka. Tapi bersabarlah, tunggulah stok baharu.

“Jangan sebab nak topeng muka cepat atau nak harga lebih murah, anda sanggup gadaikan nyawa untuk daripada sumber yang tak pasti.

Jangan sebab nak topeng muka cepat atau nak harga lebih murah, anda sanggup gadaikan nyawa untuk beli daripada sumber yang tak pasti.

DYLA

“Kita pakai topeng muka untuk cegah daripada jangkitan Covid-19, bukan nak dapat penyakit. Saya berharap pihak berkuasa dapat memantau penjualan topeng muka yang meragukan,” tegas kerani itu.

Menyedari kebimbangan mengenai wabak Covid-19 berikutan kes yang meningkat mendadak di negara ini, Dyla berkata, banyak cara lain yang boleh diamalkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mencegah jangkitan.

Perkongsian Dyla menjadi perhatian netizen.

“Kalau tak ada topeng muka, janganlah panik... amalkan pendekatan lain seperti guna hand sanitizer dan cuci tangan dengan sabun.

“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak bersentuhan dengan orang lain, atau tidak pergi ke tempat yang ramai orang. Yang penting sentiasa amalkan kebersihan dan mematuhi panduan kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. 

Antaranya adalah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain