suria

Berangan jadi penjual ais krim Turki, sekali ‘pelanggan’ sentap habis kon dicampak - “Langsung tak bercakap, enam jam merajuk”

Gelagat Muhammad Harraz mencuri tumpuan. Syahir (gambar kecil) bergurau seperti penjual ais krim Turki bersama Muhammad Harraz. Foto ihsan Mohd Nursyahir Mohd Awal

RAMAI mengetahui 'helah' penjual ais krim Turki yang cuba memainkan perasaan pelanggan untuk menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di situ.

Namun awas, jika hati tidak kental dan tidak suka dipermainkan, apatah lagi jenis bukan penyabar, gurauan tersebut mungkin dianggap keterlaluan.

Begitulah yang dialami oleh seorang pemuda yang cuba berlagak sebagai penjual ais krim Turki sewaktu mengagihkan ais krim kepada sekumpulan kanak-kanak.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang kering tekak, adik jadi ‘mangsa’ prank... reaksi budak umur 6 tahun ini tetap ‘cool’ walau cuaca panas!

ARTIKEL BERKAITAN: Kena tipu! Kakak teringin makan ais krim malam-malam, tapi frust buka bekas ‘nampak penuh’ – “Mungkin ini serangan balas”

Menerusi video yang tular, seorang kanak-kanak mencampakkan kon ais krim yang kosong ke lantai selepas menjadi mangsa 'helah' berkenaan.

Perkongsian Syahir mengenai gurauan bersama anak-anak saudaranya.

“Buang terus... dapat 100 pelanggan macam tu, bankrap. Nasib baik kat lantai rumah. Kalau kat tanah...” komen seorang netizen secara berseloroh.

Pemuda berkenaan, Mohd Nursyahir Mohd Awal berkata, kejadian berlaku di rumah keluarganya di Labu di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

Lebih mesra disapa Syahir, anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu kumpulan kanak-kanak itu merupakan anak-anak saudaranya.

“Masa tu perjumpaan kami sekeluarga dan saya memang suka menyakat anak-anak buah. Saya nak agihkan ais krim secara spontan nak ‘acah-acah’ macam penjual ais krim Turki.

“Saya minta kakak saya rakam. Tapi tak sangka pula ‘customer’ pertama dah sentap, habis dicampak kon ais krim tu... memang saya terkejut dan pada masa sama lucu,” katanya kepada mStar.

Muhammad Harraz seorang yang ceria dan petah bercakap.

Syahir berkata, dia tidak menyangka anak buahnya, Muhammad Harraz Mohamad Hafiz atau Harraz yang berusia empat tahun sensitif dengan gurauan tersebut kerana kanak-kanak itu seorang yang ceria dan petah bercakap.

“Harraz ni sebenarnya tak sensitif dan saya selalu saja menyakat dia. Setiap kali saya menyakat, Harraz akan jerit tanda geram atau gelak.

“Tapi kali ini, dia macam marah terus dicampaknya kon ais krim tu. Dia diam saja, sampai ke petang merajuk... langsung tak nak bercakap dengan saya. Enam jam dia merajuk,” ujarnya yang merupakan anak kelapan daripada sembilan adik beradik.

Syahir begitu rapat dengan Harraz.

Menurut Syahir, Harraz adalah salah seorang daripada 16 anak saudaranya dan hubungan mereka begitu rapat apatah lagi keluarga si cilik itu tinggal berdekatan.

“Harraz dan ibu dia juga akan tinggal bersama kami apabila bapanya perlu bekerja di luar negara. Pelik juga kenapa dia sentap sangat hari tu.

Selepas dia campak kon ais krim tu, dia tetap ambil ais krim yang lain. Dalam merajuk tu tetap nak ais krim

SYAHIR

“Mungkin sebab ramai yang gelakkan dia terutama sepupu dia yang tengah beratur nak ais krim juga, maka dia pun merajuk tanda protes kat saya.  

“Tapi yang kelakar tu selepas dia campak kon ais krim tu, dia tetap ambil ais krim yang lain. Dalam merajuk tu tetap nak ais krim,” ujarnya secara berseloroh.

Syahir sering meluangkan masa bersama keluarga terutama anak-anak saudaranya.

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu, dia sendiri tidak pernah berpengalaman menjadi mangsa gurauan mana-mana penjual ais krim Turki.

“Kalau saya sendiri yang kena, mungkin cubaan trik pertama dan kedua tu saya OK lagi. Lepas tu, memang boleh rasa menyampah dan terus blah (pergi) saja.

“Apapun, saya memang tak ada bakat jadi buat macam tu sebab cubaan pertama anak buah dah ‘koyak’. Niat nak menceriakan anak-anak buah tak menjadi,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ais krim, Turki, anak buah, merajuk

Artikel Lain