Pelajar tak sangka rasa gian nak main bola dalam bangunan menghasilkan tendangan padu – “Penutup diploma yang paling manis”

Video sekumpulan remaja yang bermain bola sepak di kolej kediaman mereka menjadi tular di media sosial gara-gara sepakan tepat yang dilayangkan.

BOLA sepak merupakan sukan yang sangat sinonim dengan golongan lelaki.

Sukan ini terdiri daripada 11 pemain yang menganggotai satu pasukan, yang mana setiap pemain mempunyai tugas pada posisi tertentu di atas padang.

Namun berlainan pula dengan sekumpulan pelajar lelaki ini! Kerana terlalu ingin melepaskan ‘gian’ bermain bola sepak, mereka sanggup bermain bola sepak walaupun hanya dianggotai empat pemain.

ARTIKEL BERKAITAN: Lucu atau padu? Tendangan luar biasa awek futsal ini dapat perhatian Fifa, Hope Solo - “Mulanya nak sepak tapi kaki terkaut bola pula”

ARTIKEL BERKAITAN: Gelagat pensyarah, pengarah kolej lelaki main netball kelakar habis... dah macam NetRugby! - “Tibai je lah, janji gol”

Lebih menarik, mereka bukan bermain di padang, sebaliknya di tingkat tiga bangunan kolej kediaman.

Gelagat dua daripada pelajar itu yang menyepak bola ‘menyeberangi’ blok bangunan dengan tepat tanpa melencong ke arah lain atau merosakkan harta benda kolej yang dikongsi di laman sosial membuatkan netizen kagum.

“Macam Van Dijk dengan Ozil,” demikian antara komen yang dilontarkan netizen terhadap video berkenaan.

Video Amer dan rakannya yang bermain bola di kolej kediaman tular di media sosial.

Video berdurasi 28 saat itu sehingga kini berjaya meraih sehingga 12,300 retweet dan 14,800 like.

Penuntut Universiti Tekonolgi Mara (UiTM) Arau, Perlis, Amer Roslan yang merupakan salah seorang pemain dalam video tersebut berkata, pada mulanya dia dan tiga rakannya ingin bermain bola sepak di padang.

“Pada asalnya kami nak main di padang, tapi rakan-rakan dan penghuni lain semua dah pulang ke rumah masing-masing memandangkan cuti semester sudah bermula.

“Ketika itu di kolej memang tinggal kami berempat sahaja, kebetulan kami baru saja pulang dari bercuti dari Langkawi. Itu yang lambat pulang ke kampung. Tiba-tiba terfikir nak main bola macam tu sebab suka-suka saja. Kalau ada penghuni lain takut mengganggu pula.

“Pada mulanya tak terfikir pun nak buat video tapi salah seorang rakan sukarela nak rakam. Kebetulan, sepakan kami masing-masing tepat ketika dirakam. Tapi memang ‘behave’ habis la. Ada beberapa sepakan hampir nak kena cermin tapi mujur tak kena. Kalau kena, habislah,” kata Amer.

Amer (dua, kanan) bersama lima rakannya sempat bercuti bersama-sama di Pulau Langkawi ketika cuti semester, baru-baru ini. 

Menurut Amer, dia dan tiga rakannya yang merupakan penuntut jurusan Sains Sukan, sememangnya meminati sukan bola sepak dan futsal, malah sering menghabiskan masa bersama-sama bermain sukan berkenaan.

“Kebetulan kami sudah berada di tahun akhir. Jadi sebelum masing-masing pulang bercuti semester ke kampung masing-masing, ada juga kenangan. Kiranya ini penutup diploma yang manis.

“Tak sangka langsung video ni nak viral sebab rasanya ramai yang lebih hebat. Alhamdulillah, tak ada komen negatif. Setakat ini banyak yang komen supportive,” kata remaja berusia 20 tahun ini.

Kebetulan, sepakan kami masing-masing tepat ketika dirakam. Tapi memang ‘behave’ habis la. Ada beberapa sepakan hampir nak kena cermin tapi mujur tak kena. Kalau kena, habislah.

AMER ROSLAN

PELAJAR

Bercerita lebih lanjut, kata Amer, dia dan tiga rakannya yang lain memang 'sekepala' dan sering menghabiskan masa bersama-sama apatah lagi sejak ditempatkan di dalam bilik yang sama bermula semester tiga.

“Kami pun baru saja bercuti bersama-sama di Langkawi sebelum masing-masing pulang ke kampung. Sepatutnya ada lagi dua orang tetapi mereka sudah pulang selepas bercuti di Langkawi.

“Mengenai persahabatan kami, kami berenam rapat sejak dari semester satu, dan masing-masing menuntut di jurusan yang sama. Boleh serasi dan sekepala memandangkan semuanya suka bermain bola dan futsal. Ikatan persahabatan lebih rapat sejak semua sebilik sejak semester tiga.

Amer dan lima rakannya bersahabat sejak tiga tahun lalu dan berkongsi minat terhadap bola sepak dan futsal.

“Sepanjang sebilik bersama, memang 'masak' dengan perangai masing-masing. Ada yang jenis susah bangun pagi, ada yang mengigau sorang-sorang. Tapi memang kami sentiasa tolong menolong.

“Kalau bergaduh tu, memang pernah. Tapi tak pernah atas sebab yang serius, selalunya bergaduh ketika main bola atau futsal sebab berlainan pasukan,” ujarnya sambal menambah, mereka berenam sepakat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam urusan yang sama kelak.

Remaja yang berasal dari Kulim, Kedah itu dalam masa yang sama berharap agar persahabatan mereka tetap utuh seperti biasa walaupun ditempatkan di kampus berlainan.

“Hargailah kawan seperti ahli keluarga sendiri. Kawan yang bersuka ria memang banyak dalam kehidupan kita, tapi kawan yang boleh tolong kita waktu susah tu, memang susah nak dicari,” ujarnya lagi.  

Artikel Berkaitan

Artikel Lain