suria

Lucu atau padu? Tendangan luar biasa awek futsal ini dapat perhatian Fifa, Hope Solo - “Mulanya nak sepak tapi kaki terkaut bola pula”

Video seorang siswi, Azkiyyah Wahida (kanan, berdiri) yang menjaringkan gol luar biasa sewaktu perlawanan futsal menjadi tular di media sosial sehingga mendapat perhatian bintang sukan antarabangsa.

TUJUAN asal hanya untuk suka-suka, namun siapa sangka perkongsian video yang memaparkan gelagat dua pasukan futsal antara pelajar wanita di sebuah institusi pengajian tinggi awam baru-baru ini mendapat perhatian bintang sukan antarabangsa!

Video yang dikongsikan oleh pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nur Fadilah Darmansah itu memaparkan gelagat seorang pelajarnya yang secara tidak sengaja membuat sepakan luar biasa sewaktu mahu menjaringkan gol.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelagat pensyarah, pengarah kolej lelaki main netball kelakar habis... dah macam NetRugby! - “Tibai je lah, janji gol”

ARTIKEL BERKAITAN: Siap sambut tangan guru nak langkah longkang, telatah pelajar comel ini curi tumpuan – “Dia pernah jadi atlet sekolah acara 4x100 meter!”

Apa yang menariknya, bola tersebut tidak masuk ke dalam gawang, sebaliknya ia melantun dan memasuki jaring bola keranjang.

Berkongsi cerita dengan mStar, pelajar berkenaan, Azkiyyah Wahida Dzulkifli berkata, dia merupakan salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam perlawanan akhir futsal sempena Hari Sukan Fakulti yang diadakan pada 29 November lalu.

Tangkap layar dari Twitter Fifa dan Hope Solo yang turut berkongsi video gelagat siswi UTM bermain futsal yang dimuat naik seorang pensyarah. 

“Ketika perlawanan, kami guna gelanggang bola keranjang. Biasalah, kaum perempuan kalau main memang mahu kejar dan dapatkan bola. Ketika itu, saya berjaya merampas dan bola ada di kaki, dan dalam fikiran semestinya mahu menjaringkan gol.

“Tapi entah bagaimana, mulanya nak sepak tapi kaki terkaut bola pula. Dan bola tersebut terus melantun ke atas, elok pula masuk dalam jaring bola keranjang. Memang semua yang melihat insiden itu ketawa kuat.

“Nak dijadikan cerita, kebetulan ia dirakam dan kemudian dimuatnaik pula oleh pensyarah kami. Tak sangka ia tular. Mungkin sebab ia insiden yang lucu,” ujar pelajar berusia 22 tahun ini.

Azkiyyah (kanan, berdiri) dan rakan-rakannya merangkul tempat kedua dalam perlawanan futsal sempena Hari Sukan Fakulti di UTM, baru-baru ini.  

Tambah Azkiyyah yang juga pelajar tahun empat jurusan Kejuruteraan Bioperubatan ini, permainan terhenti seketika gara-gara insiden melucukan itu, sebelum ia disambung semula kerana mengejar masa.

Video yang dikongsikan di laman Twitter pensyarah berkenaan sehingga kini meraih 26,700 ulang kicau selain dihujani komen netizen yang terhibur dengan gelagat kumpulan siswi berkenaan.

Apa yang tidak disangka, ia bukan sahaja mengundang perhatian netizen, malah turut mencuri perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) Wanita dan penjaga gol bol sepak wanita dari Amerika Syarikat, Hope Solo.

Antara komen netizen yang mengkagumi skil Azkiyyah.

“Terkejut juga bila dapat perhatian pihak luar. Tahu-tahu Fifa dan Hope turut tweet. Mungkin disebabkan video ini melucukan. Dalam masa yang sama, rasa terpegun pun ada juga sebab mereka perasan video tersebut.

“Iyalah, video itu juga dimuatnaik untuk sekadar berkongsi momen lucu pada hari berkenaan,” ujar gadis ini.

Dalam  pada itu Azkiyya berkata, dia berterima kasih kepada netizen yang memberikan komen positif terhadap perkongsian video berkenaan.

“Tapi ada juga yang beri komen yang tidak sedap. Pada saya, tak perlu untuk ambil serius pun. Video itu hanya video lucu dan ia dimuatnaik hanya untuk suka-suka sahaja,” ujarnya lagi.          

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
futsal, bola keranjang, Fifa, Hope Solo

Artikel Lain