suria

Jalan kaki macam nak pitam sambil pegang biskut, rupa-rupanya kisah hidup makcik ni lebih tragis daripada yang diceritakan kepada pemandu lori!

Aizat berkongsi kisah sedih mengenai seorang wanita tua yang ditemuinya baru-baru ini.

“JANGAN masa nak tuntut harta, baru kamu semua sibuk nak balik rumah tengok mereka.”

Demikian tulis seorang pelayar menceritakan kisah sedih mengenai seorang wanita tua yang ditemuinya baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, pelayar bernama Aizat Azroy berkata, pertemuan itu berlaku secara kebetulan apabila dia terlihat wanita itu berjalan terhuyung hayang sebelum memberhentikan lori yang dipandu untuk bertanyakan keadaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti!

ARTIKEL BERKAITAN: Restoran jadi sasaran pelajar menjelang cuti sekolah, kali ini pemiliknya sebak didatangi remaja miskin - “Jawapannya buat kami tersentuh”

“Dari jauh nampak dia nak pitam. Terhuyung hayang berjalan sambil bawa barang-barang rumah. Dalam plastik tu aku nampak biskut kering dengan teh serbuk. So aku ikut ikut perlahan dari belakang dia, takut jadi apa-apa.

“Dalam otak nak biarkan je makcik ni. Bukan masalah aku kan. Tapi hati ni tak sampai hati nak biar. Jadi aku berhenti, aku tanya makcik nak pergi mana. Dia cakap dia nak balik rumah dekat Kampung Yap Tau Sah. Aku tak cakap banyak, suruh dia naik lori aku,” tulis lelaki berkenaan.

Lelaki bernama Aizat menumpangkan lorinya dan menghantar wanita itu sehingga ke jalan utama memasuki kawasan rumahnya.

Ketika di dalam perjalanan, wanita itu menceritakan bahawa dia baru pulang dari bekerja di sebuah restoran di bandar sebagai seorang tukang cuci pinggan.

“Makcik tu cakap dia tak sihat dah dua hari tapi terpaksa juga kerja. Gaji pun RM20 sehari. Aku nak hantar dia pergi hospital dia cakap tak nak. Jadi dia minta aku belikan minyak cap kapak je. Time nak turun pergi kedai, dia hulur aku duit RM20 sekeping duit gaji dia hari ini.

“Ya Allah sedih…  Aku cakap ‘tak apa lah makcik’. Dia seboleh boleh nak bagi aku duit tu. Lepas beli , aku bagi dia. Dia tak berhenti cakap terima kasih. Dia cakap cukuplah dengan minyak kapak ni makcik berubat. Esok elok la ni," ceritanya.

Aku nak hulur duit dekat makcik ni. Dia tolak. Dia yang nak bagi duit kat aku ada la. Ini pengalaman pertama aku sendiri jumpa orang macam ini.

AIZAT AZROY

PEMANDU LORI

Bimbang dengan keadaan kesihatan wanita tersebut, Aizat berkata dia cuba bertanyakan sama ada wanita itu mempunyai anak.

Menurut Aizat, pada mulanya wanita itu seperti keberatan untuk berkongsi cerita, namun akhirnya dia membuka kisah yang mana cukup membuatkan hati lelakinya sebak.

“Anak perempuan dia ni dah berkahwin. Tapi tak pernah tengok dia kat rumah. Jadi makcik ini hidup sorang. Makcik ini cakap, rumah anak dia dekat Kluang juga. Tapi dia tak nak datang sana sebab tak nak kacau anak dia dengan suami dia. Dia cerita yang bil air rumah dia duduk sekarang baru kena potong.

“… dia tunjuk la jalan rumah dia. Jalan boleh muat satu lori aku je ni haa. Makcik tu cakap ni rumah PPRT. Sampai dekat jambatan je boleh muat lori aku. Aku tak dapat hantar makcik ni sampai rumah dia.

“Makcik tu cakap tak apa. Aku nak hulur duit dekat makcik ni. Dia tolak. Dia yang nak bagi duit kat aku ada laa. Ini pengalaman pertama aku sendiri jumpa orang macam ini. Selalu aku tengok dalam drama tv saja tapi Allah nak tunjuk dekat aku.

“Aku bersyukur sebab walaupun aku dah tak ada mak ayah, dapat bantu makcik tu pun dah lega. Jadi hargailah mak ayah korang ye. Jangan time claim harta baru korang sibuk nak balik rumah tengok mereka,” tulisnya lagi.

Seorang netizen mendakwa wanita berkenaan merupakan seorang asnaf dan perlu menyara anak serta cucunya.

Posting tersebut menjadi tular sehingga meraih 11,600 retweet selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan kisah wanita tua berkenaan.

Malah ada yang mengecam anak perempuan wanita tersebut kerana tidak menjaga ibunya yang sudah berusia.

Bagaimanapun menurut salah satu komen netizen, wanita tua tersebut merupakan seorang asnaf yang dibantu oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Masyarakat Kluang.

Ramai netizen yang menyifatkan tindakan Aizat wajar dicontohi. 

“Makcik ni seorang saja yang bekerja dan dekat rumah kena jaga anak-anak,  jaga cucu. Anak-anak makcik ni sebenarnya bermasalah, pernah hantar bantuan lepas tu anak dia mengamuk,” tulis netizen berkenaan.

“Mungkin dia tak berniat nak menipu tapi malu untuk bercerita,” ujar netizen yang lain terhadap komen tersebut.

“Tapi sedih betul ada anak-anak tapi tak ada yang tolong dia. Bukan tanggungjawab dia lagi nak bagi anak-anak makan... Ya Allah geram kat anak-anak dia,” tulis netizen yang lain pula.

Bagaimanapun, tidak kurang juga ramai yang memuji kemuliaan hati pemuda tersebut yang ikhlas menawarkan bantuan terhadap wanita tua itu. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
wanita, tua, lori, sebatang kara, anak

Artikel Lain