suria

Suruh pelajar mengajar Prinsip Perakaunan depan kelas, cikgu sporting tak kisah dirinya kena ajuk - “Apa yang diajar itu betul...”

Gelagat salah seorang pelajar Omar Faayiz yang ‘mengambil alih’ tugasnya mengajar subjek Prinsip Perakaunan mencuit hati netizen.

SETIAP guru mempunyai pendekatan masing-masing untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajarnya.

Pelbagai cara kreatif dilakukan ketika sesi pembelajaran dengan matlamat utama agar para pelajar dapat memahami topik yang diajar.

Begitu juga dengan guru kelas tambahan ini yang mempunyai pendekatan tersendiri ketika mengajar subjek Prinsip Perakaunan kepada kepada pelajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan terbantut! Tayar kereta cikgu terbenam ketika jemput calon UPSR ke sekolah... tindakan guru besar tak disangka-sangka!

Menerusi satu video yang dimuatnaik di laman Twitter, guru tersebut meminta salah seorang anak muridnya untuk ‘mengambil alih’ tugas mengajar subjek tersebut di hadapan rakan-rakan lain, untuk menguji tahap kefahamannya.

Video tersebut menjadi tular gara-gara gelagat pelajar berkenaan mengajar sambil mengajuk cara penyampaian guru berkenaan dalam loghat utara, mencuit hati netizen.

Perkongsian Omar Faayiz mengenai gelagat pelajarnya menjadi tular di Twitter.

Sehingga kini, posting tersebut meraih sehingga 6,100 retweet dan 12,900 like, selain turut dibanjiri dengan komen netizen yang terhibur dengan gelagat pelajar ‘comel’ berkenaan.

Malah tidak kurang juga yang memuji pendekatan yang digunakan oleh guru berkenaan ketika menyampaikan ilmu kepada pelajar.

“Ini adalah salah satu cara pengajaran yang berkesan! Biarkan pelajar mengajar pelajar lain. Menguatkan pengetahuan mereka, membina kemahiran mereka dan meningkatkan keyakinan mereka! Good job teacher!” tulis seorang pelayar.

“Bagusnya kaedah macam ni. Anda biar mereka memberi penerangan kepada rakan sekelas,” kata seorang pelayar yang lain pula.

Omar Faayiz menerbitkan buku subjek Prinsip Perakaunan selepas tamat SPM. 

Berkongsi cerita dengan mStar, Omar Faayiz Omar Faarok yang juga sedang mengikuti pengajian ini berkata, pendekatan tersebut sememangnya diamalkan ketika dia mengajar subjek Prinsip Perakaunan bagi menilai kefahaman pelajar dan dalam masa yang sama mencipta suasana santai demi menarik minat pelajar.

“Cara saya mengajar adalah berdasarkan kaedah ‘student to student’. Ini kerana saya sendiri merupakan pelajar di sebuah instistusi pengajian tinggi awam dalam jurusan perakaunan, dan sepanjang cuti semester ini saya diminta untuk menjadi guru kelas tambahan bagi subjek Prinsip Perakaunan di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang.

“Cara saya, saya akan ajar benda asas dahulu kepada pelajar. Kemudian, saya akan tukar sedikit soalan dan minta mereka jawab. Sebagaimana yang dilihat dalam video, saya meminta seorang pelajar untuk mengajar semula.

“Dalam kelas itu, dia yang paling kelakar dan ada potensi untuk mengajar. Malah apa yang diajar itu betul. Ia jadi kelakar sebab dia comel dan siap ajuk cara saya mengajar dalam loghat utara. Saya pun tak sangka ia viral,” kata guru muda berusia 20 tahun ini.

Tambahnya, dia juga sudah mendapat keizinan daripada ibu bapa pelajar berkenaan dan tuan badan sendiri sebelum memuatnaik video berkenaan.

Dalam kelas itu, dia yang paling kelakar dan ada potensi untuk mengajar. Malah apa yang diajar itu betul. Ia jadi kelakar sebab dia comel dan siap ajuk cara saya mengajar dalam loghat utara.

OMAR FAAYIZ OMAR FAROOK

GURU KELAS TAMBAHAN

Bercerita lebih lanjut, Omar Faayiz berkata dia sudah dijemput oleh sekolah-sekolah menengah sekitar Pulau Pinang untuk menjadi guru kelas tambahan bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan sejak tiga tahun lalu.

“Selepas selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017, saya ada menulis dan menerbitkan buku ‘Accounts For SPM’. Sejak itu, kebanyakan sekolah menengah di Pulau Pinang menjemput saya menjadi guru kelas tambahan bagi subjek itu.

“Pada bulan Jun hingga September nanti, insyaAllah saya akan buka bengkel untuk mana-mana pelajar yang nak belajar subjek ini. Namun saya turut memuatnaik nota mahupun tips untuk score subjek ini di media sosial, terutama bagi yang tak dapat hadiri kelas saya.

Antara komen netizen yang kagum dengan pendekatan guru muda berkenaan. 

“Untuk yang mahu mendapatkan buku terbitan saya, mereka boleh hubungi saya menerusi Twitter,” katanya yang merupakan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ditanya mengenai perancangan pada masa hadapan, Omar Faayiz berkata dia berhasrat untuk mendapatkan sijil kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) selepas menamatkan peringkat ijazah sarjana muda kelak.

“Itu impian saya sejak tamat SPM. Saya juga berhasrat mengembangkan penerbitan buku dan sedang dalam perbincangan untuk menerbitkan buku subjek lain seperti Matematik Tambahan kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujarnya mengakhiri bicara

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain