suria

Selamat sampai sekolah atau maut dihanyut arus? Tular murid, penduduk pertaruh nyawa lalu titi batang paip - “Tu saja pilihan yang ada”

Sebahagian penduduk Kampung Muhang terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari dengan berjalan di atas 'titi' saluran paip untuk menyeberang Sungai Jambutan. -foto Facebook Evyline Lynz Blacklynz

KITA mungkin dapat hidup senang lenang, tetapi tidak bagi sekumpulan penduduk terutama kanak-kanak ini apabila terpaksa meniti 'titi' saluran paip semata-mata untuk pergi ke sekolah.

Berdasarkan satu posting yang tular, dapat dilihat kumpulan kanak-kanak tersebut ‘berani mati’ berjalan seorang diri sambil memegang batang besi, malah ada yang hanya berpaut pada leher seorang lelaki lebih dewasa yang sedang menyeberang sungai.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dulu saya pun hidup susah, tapi Alvin 10 kali lebih daif" - Pengetua menangis lihat pondok usang pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Baju Basah Calon UPSR

Mereka nyata bertarung nyawa apabila terpaksa berjalan di atas batang paip yang kini sudah senget, akibat dijadikan titi, dengan air deras di bawahnya! Kalau tersilap langkah terjatuhlah jawabnya dan hanyut dibawa arus.

Seorang budak perempuan berpaut pada leher seorang lelaki dewasa yang berjalan di atas titi batang paip untuk menyeberang sungai.

Beberapa gambar yang menyayat hati itu dimuatnaik di laman sosial, dengan kebanyakan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah melintasi ‘laluan maut’ itu.

“Beginilah keadaan jalan di Kampung Muhang kalau hujan lebat. Anak-anak kami yang balik dari sekolah terpaksa jalan di batang paip. Kasihan kan,” menerusi perkongsian Evyline Lynz Blacklynz di halaman Facebooknya pada Jumaat sehingga tular.

Kampung Muhang merupakan kawasan pedalaman di Kota Marudu di Sabah, dan saluran paip di Sungai Jambutan itu menghubungkan Kampung Muhang dengan Kampung Jambutan Laya-Laya.

Sekumpulan murid mula menyeberangi sungai tanpa diiringi orang dewasa.

Bercakap kepada mStar, seorang penduduk kampung Jambutan Laya-Laya berkata, hujan lebat yang sering turun di kawasan itu menyebabkan laluan utama di Kampung Muhang ditenggelami air.

Muruni Wahui, 40, berkata, terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Muhang dan Kampung Jambatan Laya-Laya tetapi keadaannya yang uzur serta arasnya yang rendah menyebabkan ia juga ditenggelami air.

“Bukan sahaja kereta atau motosikal tak boleh lalu, nak jalan kaki seberang jambatan tu pun susah kalau ditenggelami air. Sudahnya penduduk Kampung Muhang terpaksa menyeberangi Sungai Jambutan guna batang paip tu.

“Mereka terpaksa membahayakan nyawa bawa anak-anak untuk ke sekolah yang terletak di Kampung Ontolob sebab itu saja pilihan yang ada,” katanya kepada mStar sambil menambah rumahnya terletak hanya kira-kira 10 minit dari Sungai Jambutan.

Beberapa orang dewasa menunggu kanak-kanak di seberang sungai.

Sehubungan itu, Muruni yang merupakan ibu kepada seorang anak itu berharap pihak berwajib mengambil tindakan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Muhang.

“Jambatan tu dah uzur, kalau tak diperbaiki atau diganti yang barhau bila-bila masa boleh runtuh.

“Begitu juga dengan batang paip tu. Bila dah semakin senget, ramai penduduk kampung yang gunakan laluan bahaya tu akan mengancam nyawa mereka,” tambah suri rumah itu.

Keadaan yang mengancam nyawa penduduk Kampung Muhang terutama kanak-kanak.

Perkongsian tersebut bukan sahaja mengejutkan netizen malah mengundang sebak dan marah dalam kalangan mereka.

“Kalau silap sikit langkah boleh jatuh budak-budak tu. Harap pautan tangan budak saja ni. Kalau terlepas habislah jatuh bawah. Kasihan tengok begini,” tulis seorang netizen.

Bukan sahaja kereta atau motosikal tak boleh lalu, nak jalan kaki seberang jambatan tu pun susah kalau ditenggelami air. Sudahnya penduduk Kampung Muhang terpaksa menyeberangi Sungai Jambutan guna batang paip tu.

MURUNI

“Kalau ada kejadian jatuh baru pihak berkenaan bangun tu,” komen yang lain.

“Bahaya tu takut kilat panah besi tu masa tengok berjalan atas tu,” ujar seorang netizen yang menyuarakan kebimbangan.

Sebahagian komen netizen.

“Sedih melihatnya, terbayang kalau anak sendiri. Betul-betul tak sanggup. Walaupun sukar tapi mereka tabah lalui siap senyum lagi,” kata seorang wanita.

“Kasihannya, walaupun dalam kesulitan, tabah sungguh ayah menghantar anak-anak ke sekolah. Muka pun semua tiada rasa sedih, gembira saja. Semoga pihak berwajib dapat membuka mata. Semoga dipermudahkan semuanya,” menurut luahan seorang wanita dengan nada sebak.

“Semoga anak-anak ini diberi kekuatan untuk terus belajar demi masa depan masing-masing. Kepada ibu bapa, anda dah lakukan yang terbaik untuk anak-anak. Harap pihak berwajib buka mata demi keselamatan anak-anak,” ujar netizen lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain