suria

"Dulu saya pun hidup susah, tapi Alvin 10 kali lebih daif" - Pengetua menangis lihat pondok usang pelajar

Pengetua SMK Kalabakan, Arbin meninjau pondok usang yang dihuni seorang pelajarnya.

HANYA air mata yang mengalir di saat melihat sebuah pondok usang di Kampung Kalabakan di kawasan pedalaman Tawau, Sabah.

Begitulah yang dirasai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan yang menyaksikan sendiri 'rumah' yang dihuni salah seorang daripada 580 pelajarnya.

Kisah remaja bernama Alvin Sofian mulai tular sejak Khamis selepas kunjungan pengetua ke pondok kecil pelajar Tingkatan Tiga itu dikongsikan di media sosial.

Pengetua sekolah, Arbin Setta, 47, berkata, penemuan pondok kayu usang Alvin disedari selepas mereka dalam proses untuk memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

Arbin (kiri) bersama Alvin di dalam pondok usang.

Beliau bagaimanapun berkata, menerusi semakan butiran pelajar, Alvin disenaraikan di bawah pendapatan isi rumah yang berkemampuan di mana pelajar itu di bawah jagaan bapa saudaranya, selepas diserahkan oleh ibunya yang sakit dan tidak mampu menjaganya.

"Kami mengetahui keadaan Alvin daripada pekerja pembersihan di sekolah di mana anaknya baru berkawan dengan Alvin. Anaknya pernah dibawa ke pondok itu sebelum ini.

"Jadi, kami membuat risikan dan mendapati memang Alvin tinggal di pondok itu, kira-kira 30 meter dari rumah bapa saudaranya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Arbin yang menjadi pengetua SMK Kalabakan sejak empat tahun lalu mengambarkan keadaan pondok yang menjadi rumah Alvin cukup daif, tanpa sebarang kemudahan elektrik dan mandi di perigi buta berdekatan.

Keadaan perigi buta untuk kemudahan Alvin mandi.

Tambah beliau, Alvin yang berpindah ke sekolah itu sejak setahun lalu memaklumkan dia akan pergi ke rumah bapa saudaranya untuk makan dan minum.

"Sayu hati saya lihat pondok tu. Tak ada kemudahan apapun, dan tidur pun hanya beralaskan tikar saja, selain bantal buruk. Bagi saya, ia tidak boleh dianggap sebagai rumah.

"Pertama kali saya melihatnya, saya mengalirkan air mata sambil terbayangkan anak-anak saya. Dulu pun, saya hidup susah dan menumpang rumah orang, tapi tak sangka keadaan Alvin 10 kali lebih susah," ujar bapa lima anak itu, sambil menambah bahawa pondok usang itu terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah.

Menurut Arbin, beliau dimaklumkan bahawa Alvin yang merupakan anak tunggal bekerja sebelah petang di ladang kelapa sawit selepas waktu sekolah bagi menampung perbelanjaan seharian.

Sejak sesi persekolahan dibuka awal bulan ini, katanya, Alvin tinggal di rumah pekerja pembersihan sekolah yang merupakan ibu tunggal dua anak, bersama dua keluarga lain di bawah satu bumbung.

Keadaan perigi buta yang menjadi bilik air Alvin.

Susulan 'terjahan' ke pondok itu dan kisahnya tular, katanya, pihak sekolah dan orang ramai memberikan bantuan wang perbelanjaan dan kelengkapan sekolah.

"Selain itu, saya akan mengadakan mesyuarat bersama pihak sekolah mengenai bentuk bantuan lain bagi meringankan beban Alvin. Kita juga akan meneruskan tabung kutipan mingguan untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar.

"Ini termasuk rancangan untuk mewujudkan asrama di bahagian bawah pejabat guru di SMK Kalabakan bagi menempatkan beberapa pelajar yang kurang bernasib baik seperti Alvin," katanya sambil menambah bahawa orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berhubung terus ke pejabat SMK Kalabakan.

Ditanya mengenai status Alvin, Arbin berkata, pihak sekolah sedang berusaha untuk bertemu dengan penjaga Alvin di Kampung Kalabakan termasuk ibu kandungnya yang tinggal di Kota Marudu, Kudat pada minggu depan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain