suria

Anak sedih imbas kisah bapa terpaksa dibawa ke bank walau hanya ‘tunggu ajal’ - “Parking OKU tak ada, banyak kereta hon pandang semacam”

Allahyarham Mohd Amran Decosta Abdullah terpaksa hadir ke sebuah bank di Ampang, Selangor untuk membuat urusan perbankan pada Februari 2017.

"SEDIH dan terkilan, namun apakan daya semua itu sudah berlaku beberapa tahun lalu."

Demikian kata seorang wanita berhubung kisah bapanya yang sedang sakit namun terpaksa terpaksa dibawa ke sebuah bank untuk membuat urusan penukaran kad, beberapa bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Aisyah Adliana Mohd Amran Decosta, 31, membuat perkongsian kisah duka itu selepas tularnya kes seorang penghidap kanser yang terpaksa diusung ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Johor Bahru, Johor untuk proses pengeluaran caruman, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser diusung ke pejabat keluarkan wang caruman, KWSP mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Nak segera siapkan urusan kahwin anak satu petanda, ayah pergi 4 hari sebelum jadi wali nikah - “Masih ada lagi bau ayah pada jam tangannya”

Mesra disapa Aisyah, dia berdepan detik sukar itu sekitar Februari 2017 apabila bapanya yang juga penghidap kanser multiple myeloma tulang perlu dibawa ke sebuah bank di Ampang, Selangor.

"Masa tu doktor dah maklumkan arwah papa ada enam bulan lagi untuk hidup. Arwah dah sakit sekitar empat ke lima tahun sebelum itu.

"Sebenarnya arwah papa merupakan penjawat awam dan dapat pencen bulanan. Pada masa tu, kebanyakan bank tengah aktif buat penukaran kad. Arwah papa pakai kad lama, jadi kena hadir ke bank untuk buat penukaran.

Perkongsian Aisyah di laman Twitter.

"Emak dah tanya beberapa cawangan bank itu, mereka kata tak boleh datang ke rumah sebab isu keselamatan dan memerlukan saksi. Jadi kami bawa arwah papa ke bank berkenaan," kata Aisyah.

Mengimbas situasi itu, ia ternyata mengundang kepayahan buat mereka memandangkan bahagian hadapan premis bank berkenaan tidak menyediakan tempat letak kereta untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tindakan keluarga Aisyah yang terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan turut menyebkan mereka dihon oleh pengguna jalan raya pada waktu itu.

"Hari tu kena pergi hospital. Lepas balik dari hospital kami bawa arwah papa ke bank. Jalan sempit dan kami terpaksa double park.

Namun mujurlah arwah papa tak perlu diusung ke dalam bank. Pengurus bank itu keluar dan buat urusan dalam kereta kami sahaja. Tapi saya cuma terkilan sebab kena lalui detik itu.

AISYAH ADLIANA MOHD AMRAN DECOSTA

ANAK ARWAH

"Banyak kereta lalu dan tekan hon. Tapi nak buat macam mana sebab terpaksa. Kami perlukan duit pencen arwah papa masa tu untuk teruskan kehidupan.

"Kami menetap di Semenyih, Negeri Sembilan tapi terpaksa menyewa di Ampang, Selangor agar lebih dekat dengan hospital tempat dia dirawat.

"Namun mujurlah arwah papa tak perlu diusung ke dalam bank. Pengurus bank itu keluar dan buat urusan dalam kereta kami sahaja. Tapi saya cuma terkilan sebab kena lalui detik itu," katanya lagi.

Tidak berniat menunding jari atau membuka aib mana-mana pihak, Aisyah bagaimanapun membuat perkongsian itu agar ia mendapat perhatian sewajarnya dan tiada lagi peristiwa sama berulang selepas ini.

Baru-baru ini tular kes penghidap kanser yang perlu diusung ke pejabat KWSP.

Malah, dia berharap agensi bank mahupun pihak-pihak berkaitan agar menambah mutu perkhidmatan khususnya kepada golongan OKU dan pesakit-pesakit kritikal untuk memudahkan urusan mereka.

"Kalau boleh sediakan perkhidmatan di hospital atau ke rumah untuk mereka yang betul-betul sakit. Saya ni nasib baik ada suami, ada kereta dah ahli keluarga.

"Macam mana mereka yang jauh di kampung atau bergantung kepada pengangkutan awam dan terpaksa melalui hal itu?

"Rasa sedih bila ingat balik kisah lama tu. Mungkin ramai lagi yang dah lalui benda sama, tapi ia tak viral sahaja," katanya lagi.

Menurut Aisyah, bapanya, Mohd Amran Decosta Abdullah menghembuskan nafas terakhir Mei 2017.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain