Banyak kali terlepas jadi mangsa tipu COD, lelaki tak percaya ‘postage’ gigit jari masuk juga perangkap penyangak - “Enam minit lesap RM9,000”

Seorang pemuda kerugian RM9,000 selepas menyerahkan kad kreditnya kepada suspek (kiri) untuk proses pembayaran menerusi COD. Foto Facebook Jin Wai Choo

HANYA enam minit, seorang pemuda ‘gigit jari’ kerugian RM9,000 apabila ditipu oleh seorang penjual telefon pintar ketika mereka bertemu untuk urusan pembelian tunai sewaktu penerimaan (COD).

Taktik 'penjual' itu begitu licik, apabila dalam pertemuan itu dia berjaya membuatkan mangsa bersetuju menyerahkan kad kredit dan memberi kebenaran kepadanya membuat proses pembayaran di lokasi lain, kononnya di pejabatnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Bukan itu sahaja dia juga berjaya mendapatkan nombor pin mangsa dengan mendakwa kata laluan sekali guna (OTP) untuk proses pembayaran tidak berhasil.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gigit jari’ telefon lesap, pemuda dedah bagaimana kena game dengan penipu duit palsu, “Datang lambat... isteri bertudung, nampak macam orang berduit”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa tak sedap hati” - Pelanggan selekeh hulur ‘duit tebal’ beli nasi lemak selepas 3 minit lihat menu... awal pagi penjual dah ‘terbang’ RM45.50

Tanpa diduga sama sekali, penjual yang nampak baik itu sebenarnya menggunakan kad kreditnya untuk pengeluaran wang sebanyak enam kali menggunakan nombor pin yang diberi.

Pemuda berkenaan yang dikenali sebagai Jin Wai berkata, kejadian berlaku di sebuah pusat komersial di Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada 24 September lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek di bangunan di lokasi kejadian.

Tidak menyangka ia merupakan hari terburuk dalam hidupnya, dia menjelaskan segalanya bermula apabila satu iklan telefon pintar yang dijual pada harga lebih murah menerusi sebuah laman web jual beli popular, menarik perhatiannya.

“Ini bukan kali pertama saya terlibat dengan COD. Sudah 10 tahun, banyak transaksi jual dan beli yang saya buat sebelum ini. Saya tidak percaya penghantaran barang menerusi pos.

“Untuk COD, saya juga pernah mengalami pengalaman menerusi pelbagai modus operandi penipuan yang lain, tetapi saya bernasib baik kerana dapat mengesan sesuatu yang dicurigai lebih awal,” katanya kepada mStar.

Jin Wai yang berasal dari Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, kes tersebut menggunakan taktik yang berbeza kerana penipuan dibuat menerusi pengeluaran wang menggunakan kad kredit milik mangsa.

Transaksi pengeluaran wang tunai menggunakan kad kredit milik mangsa.

Malahan, suspek lelaki yang berusia antara lewat 20an dan awal 30an itu bijak ‘memancing’ dengan turut menyerahkan kad kredit yang didakwa miliknya sebagai jaminan, beserta kotak yang belum dibuka, dikatakan mengandungi telefon pintar untuk pelanggan lain.

“Saya mahu mengikutnya (ke pejabat) untuk tujuan pembayaran, tetapi dia beritahu pembelian telefon itu menggunakan diskaun pekerja, maka orang luar tidak dibenarkan masuk.

“Ketika itu pula saya agak tergesa-gesa untuk kembali bekerja dan tidak berfikir panjang, apa yang saya mahu ia diselesaikan dengan segera,” katanya. 

Kotak telefon pintar mengandungi engsel pintu, skru dan paku.

Bersabar menunggu, dunianya tiba-tiba gelap-gelita sebaik menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan bahawa pengeluaran wang berjumlah RM1,500 dilakukan menerusi kad kreditnya, hanya selepas empat minit kad kredit itu berada di tangan penjual berkenaan.

“Dalam tempoh kira-kira enam minit, sebanyak enam kali transaksi pengeluaran berjumlah RM1,500 menggunakan kad kredit saya dilakukannya,” katanya.

Saya buka kotak telefon bimbit itu dan mendapati di dalamnya mengandungi beberapa engsel pintu besi, sepaket skru dan sebungkus paku

JIN WAI

Menyedari mesej yang diterima tidak sepatutnya dimaklumkan sebagai ‘pengeluaran wang’ dan dibuat menerusi mesin pengeluaran wang (ATM), Jin Wai segera menghubungi pihak bank untuk menyekat penggunaan kad kreditnya.

“Masa buat panggilan, saya buka kotak telefon bimbit itu dan mendapati di dalamnya mengandungi beberapa engsel pintu besi, sepaket skru dan sebungkus paku.

“Saya dah boleh agak sebaik mendapat mesej mengenai pengeluaran wang. Dia tidak sepatutnya membuat sebarang pengeluaran wang,” tambahnya.

Suspek dikatakan mempunyai rekod jenayah lampau.

Pegawai strategi dan dagangan dalam teknologi blockchain itu turut menyuarakan kekesalannya kerana tempoh yang lama diambil untuk berhubung dengan pihak bank bagi meminta sekatan kad kreditnya.

“Respons mereka adalah perlahan sehingga saya perlu tekan banyak butang untuk bercakap dengan kakitangan khidmat pelanggan, sekali gus memberi peluang kepada mangsa untuk mengeluarkan banyak wang,” katanya sambil menambah sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di Kuala Lumpur pada hari kejadian.

Jurucakap IPD Brickfields ketika dihubungi mStar mengesahkan laporan yang dibuat mangsa sambil menambah siasatan berhubung kes sedang dijalankan.

“Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya sambil menambah suspek mempunyai rekod jenayah lampau namun enggan mengulas lanjut.

scam, COD, telefon pintar, tipu

Artikel Berkaitan

Klik

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain