suria

Sibuk mengajar, cikgu menggigil satu badan terima lidi sate pemberian anak murid... permintaannya buat guru ini berjurai air mata dalam kelas!

Guru yang kini berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Puncak Alam, Selangor itu terkejut apabila dihadiahkan lidi oleh seorang murid perempuan.

TUGAS sebagai cikgu praktikum pastinya menjanjikan 1,001 pengalaman. 

Tidak terkecuali Muhammad Azhan Zaffuan Ramli, seorang guru subjek bahasa Inggeris yang berkongsi kisah sedih ketika menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang pada 2011.

Kisah dia dihadiahkan sebatang lidi sate oleh seorang murid tahun 1 yang dikongsinya di Twitter mendapat 13,600 ulang kicau dan 18, 000 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelak bertukar sebak! Hari terakhir mengajar, murid beri beyblade ‘pengajaran’ untuk guru sandaran - “Susah orang dewasa nak buat”

ARTIKEL BERKAITAN: Cuci najis hadiah paling bermakna Hari Guru, “Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi”

Rata-rata netizen sebak membaca kisah tersebut.

Tweet Cikgu Azhan mendapat perhatian ramai.

Mesra disapa Azhan, guru yang kini berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Puncak Alam, Selangor itu terkejut apabila dihadiahkan lidi oleh seorang murid perempuan semasa menjadi guru ganti di kelasnya.

"Masa tu saya cikgu praktikum jadi ada banyak masa terluang. Saya selalu dapat waktu untuk jadi cikgu ganti kelas lain. 

"Dipendekkan cerita masa tu saya masuk kelas tahun 1. Waktu saya nak jalan ke meja guru saya pusing di belakang saya ada budak perempuan.

Saya cuba tahan tapi tak boleh. Tiba-tiba air mata saya meleleh. Budak-budak masa tu tengah buat kerja bising-bising mereka tiba-tiba senyap sebab nampak saya kat depan menangis.

MUHAMMAD AZHAN

"Saya tanya kenapa? Dia terus hulurkan lidi pada saya. Saya tanya ni hadiah untuk cikgu ke, saya tanya dalam nada bergurau. Dia pun angguk je, saya cakap terima kasih.

"Lepas tu saya tanya kenapa tiba-tiba bagi hadiah? Budak tu muka selamba cakap dekat saya, saya tak reti mengaji... cikgu mengajilah untuk mak ayah saya. Mak ayah saya dah tak ada," Azhan menceritakan kisah tersebut.

Cikgu Azhan bersama anak muridnya.

Sebaik sahaja terdengar kata-kata itu, pemuda berusia 32 tahun itu menggigil satu badan.

"Saya sebak sangat sebab saya fikir dalam usia dia baru tujuh tahun dah tak ada mak ayah. Saya yang tak ada mak ayah pada usia belasan tahun pun dah berat rasa apatah lagi dia sekecil tu.

"Saya cuba tahan tapi tak boleh. Tiba-tiba air mata saya meleleh. Budak-budak masa tu tengah buat kerja bising-bising mereka tiba-tiba senyap sebab nampak saya kat depan menangis.

"Mungkin mereka takut ada buat salah ke sebab mereka tak tahu apa yang jadi. Sambil berdiri tu saya tergamam tengok budak perempuan tu.

"Saya ambil lidi tu saya usap kepala dia. Saya tak cakap apa-apa, tak terluah. Dia tak menangis pun tapi saya yang menangis teruk. Dia senyum je. Dalam hati saya kataYa Allah kuatnya hati budak ni," katanya.

Sejurus selepas itu, Azhan bertindak mengajar murid yang hanya dikenalinya sebagai Yaya itu mengaji.

Antara komen netizen di posting Cikgu Azhan.

"Kawan-kawan panggil dia Yaya tapi saya panggil dia kakak. Dia duduk tepi meja guru, sambil budak lain buat kerja saya ajar dia mengaji. 

"Saya dengar dia baca al-Fatihah dan betulkan sebutan dia. Sejak dari tu setiap kali saya jadi cikgu ganti kelas dia saya akan tanya kakak hari ni dah doa untuk mak ayah belum.

"Kalau dah saya cakap OK. Tapi saya selalu pesan dekat dia rajin-rajin doakan mak ayah. Kalau tak boleh baca al-Quran sedekahkanlah al-Fatihah," katanya.

Tambahnya lagi, dia masih lagi menyimpan lidi pemberian bekas anak muridnya itu.

"Lidi tu ada lagi. Saya guna lidi tu buat penunjuk waktu baca Quran sampai sekarang.

"Saya anggap pemberian itu sebagai tanda ingatan kepada arwah mak ayah saya sendiri yang meninggal ketika saya berusia 19 tahun," kata pemuda berasal dari Parit Buntar, Perak itu.

Muhammad Azhan Zaffuan Ramli.

Ditanya mengenai tweet tersebut, Azhan tidak menduga kisah tersebut akan menarik perhatian netizen.

"Saya pun tak sangka viral. Saya kongsi kisah tu sebab mahu orang ramai menghargai mak ayah mereka selagi ada masa, ruang dan peluang.

"Kalau sampai satu masa mereka tak ada, barulah kita nak rasa kehilangan tu dah tiada gunanya. Berbaktilah kepada mereka selagi kita boleh sementara mereka masih ada," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
lidi sate, al-Quran, murid, mengaji

Artikel Lain