suria

Cuci najis hadiah paling bermakna Hari Guru, “Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi”

Cikgu Ahmad Firdauz membantu membersihkan Ali yang tidak sengaja membuang air besar semasa di dalam kelas. Foto ihsan Ahmad Firdauz

MENJADI tradisi setiap kali sambutan Hari Guru, golongan pendidik ini akan dihujani pelbagai hadiah oleh anak didik.

Namun lain pula kisahnya dengan guru ini apabila dia menerima kejutan yang dianggap hadiah paling bermakna sepanjang 14 tahun bergelar pendidik.

Bukan hadiah biasa-biasa, sebaliknya Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, Pontian, Johor membantu mencuci najis seorang murid tahun satu yang dikenali sebagai Ali pada 1 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah cikgu Hayati terus berceloteh ajar 'Add Math' di YouTube

ARTIKEL BERKAITAN: Anak murid punya fasal, cikgu sanggup jadi 'pameran seni bergerak'... nasib baik comel!

Pengalaman manis itu dikongsi guru besar muda itu di Facebooknya dan mendapat perhatian netizen.

Menurut guru besar berusia 36 tahun itu, insiden tersebut berlaku semasa beliau sedang mengajar subjek Sains di kelas Ali.

"Waktu peristiwa itu berlaku sebenarnya Ali baru pulang dari tandas ditemani rakannya tetapi sebaiknya tiba di kelas, dia dah terbuang air besar. Sebelum ini tak pernah berlaku begitu, ke tandas pun tak.

Ahmad Firdauz bersama anak muridnya. Foto ihsan Ahmad Firdauz

"Mungkin selama ini Ali menggunakan lampin pakai buang, maka ia menjadi satu kebiasaan baginya untuk berbuat demikian atau mungkin ada masalah sensori yang menyebabkan ia berlaku," katanya kepada mStar.

Jelas beliau, Ali sebenarnya murid istimewa di dalam kelas tersebut.

"Dia di bawah pemantauan pihak sekolah kerana punya ciri-ciri Murid Berkeperluan Khas, perlu dibimbing di rumah dan juga di sekolah dari segi pengurusan diri dan lain-lain.

"Ali belajar di kelas saya. Dia boleh berkomunikasi tetapi kurang fokus, sebab itu saya sentiasa melakukan aktiviti 'one to one', begitu juga dengan guru-guru lain," katanya.

Waktu nak balik tu, murid-murid bersalam dan dia salam sekali. Kemudian dia berlalu. Tetapi tiba-tiba dia berpaling "Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi", sambil tersengih sengih.

AHMAD FIRDAUZ ABDULLAH TAHRIN

Guru Besar SK Pekan Nanas, Pontian

Menceritakan lebih lanjut insiden yang disifatkan sesuatu yang mencuit hati, kata Ahmad Firdauz, tanpa berfikir panjang dia terus segera membersihkan Ali.

"Nak tergelak... lagi pun waktu akhir sekolah, maka saya tak kisahlah nak membantu. Saya faham, sebab anak saya juga Autisme.

"Mengurus diri bukan perkara mudah, tahun lepas memang guru-guru anak saya pun hadapi perkara yang sama. Bila memikirkan perkara itu saya buat sahaja sambil ajar dia mengurus diri dengan cara yang betul," katanya.

Malah insiden tersebut membuatkan anak kelahiran Hulu Selangor, Selangor itu lebih menghargai kehidupan.

Ahmad Firdauz membantu memakaikan sampin anak muridnya yang terlibat dengan pertandingan nasyid. 

"Ia mengingatkan tentang siapa saya dan mengapa saya di sini hari ini. Saya seorang guru, pangkat bukan segalanya.

"Berhadapan situasi itu mendidik jiwa saya untuk terus rasa rendah diri, untuk terus berbakti dalam apa jua situasi.

"Paling penting saya boleh mendidik anak-anak ini tidak kira apa jua situasi. Dan Allah menganugerahkan saya peluang itu dalam situasi manis itu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Firdauz turut terharu dengan tindakan Ali di akhir sesi persekolahan.

"Waktu nak balik tu, murid-murid bersalam dan dia salam sekali. Kemudian dia berlalu. Tetapi tiba-tiba dia berpaling "Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi", sambil tersengih sengih.

"Ya, senyuman dan ucapan itu saya dapat rasa akan keikhlasannya. Inilah hadiah Hari Guru paling bermakna untuk saya kenang sampai bila-bila," katanya sambil memberitahu beliau dan guru-guru lain di sekolah tersebut akan terus menyokong Ali.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain