suria

Nak kurus sambut Aidilfitri, jejaka 'comel' cabar diri 30 hari menari K-Pop, “Tangan saya menggeletar takut kena kecam”

Wawan nekad melakukan senaman tarian K-pop untuk misi menurunkan berat badannya.

TUBUH langsing sudah tentu menjadi keinginan sesiapa pun tidak kira lelaki atau wanita.

Malah, ada antara kita yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan keinginan untuk mendapatkan berat badan yang diidamkan tercapai.

Sempena Syawal yang akan tiba tidak lama lagi, Muhammad Shahrizuan Hamzan, 22, atau mesra disapa Wawan berhasrat untuk menurunkan berat badannya dengan mencabar dirinya sendiri melakukan 30 hari senaman tarian lagu-lagu K-pop kegemarannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam Blackpink! Viral pelajar comel buat 'show' eksklusif di sekolah, "Saya hanya berlatih 2 jam"

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia main redah je” - Ibu terkejut anak 'ah yeah ah yeah' atas pelamin, berangan Blackpink

"Saya memang rancang nak kurangkan berat badan untuk raya tak lama lagi... sebenarnya sejak Oktober lalu saya dah mula menari untuk kuruskan badan tapi saya buat tiga kali seminggu sahaja.

"Ramai kawan yang cadangkan kepada saya untuk menari sebagai salah satu cara bersenam dan untuk bulan Ramadan saya melakukannya sekurang-kurangnya lima lagu untuk satu sesi menari," katanya kepada mStar.

Wawan bersama seorang rakan ketika berat badannya mencecah 154kg.

Antara penyanyi Korea yang menjadi kegemaran Wawan termasuk Blackpink, Jihyo dan Twice, justeru lagu-lagu artis inilah yang akan dimainkan serta menjadi pembakar semangat ketika Wawan melakukan senamannya.

Wawan yang bekerja sebagai kerani penempahan di salah sebuah hotel di Johor Bahru, Johor berkata dia akan menari selama 30 minit setiap pagi.

Berdasarkan postingnya yang viral di Twitter, dia dilihat menari di bilik dan di ruang tamu kediamannya.

"Saya hanya belajar pergerakan melalui tutorial dan Youtube... disebabkan minat tak adalah rasa susah sangat atau sampai jadi bebanan," katanya.

Bagaimanapun Wawan berkata, dia tidak hanya melakukan senaman tarian K-pop sebagai salah satu usaha untuk menguruskan badan, sebaliknya turut mengamalkan diet pemakanan sihat sepanjang hari.

Saya dah beli baju raya saiz 3XL mengikut berat badan saya sekarang, tapi saya tetap target untuk kurangkan beberapa inci ukuran pinggang menjelang hari raya, harap-harap cabaran 30 hari ini berhasil.

MUHAMMAD SHARIZUAN

Peminat K-Pop

Hasilnya, berat badan asalnya 154kg berkurangan kepada 115kg dan saiz bajunya bertukar dari saiz 5XL kepada 3XL.

"Saya tergerak hati nak amalkan diet secara sihat selain menari sebab teruja nak mencuba beberapa tip kurus di media sosial. Caranya pun tak susah, hanya kurangkan minum minuman bergula dan lebihkan minum air kosong.

Penampilan terbaharu Wawan selepas mengamalkan diet dan senaman tarian K-Pop.

"Saya akan makan nasi satu per empat pinggan sahaja dan lebihkan protein. Alhamdulillah sejak amalkan diet dan senaman tarian K-pop dari tahun lepas saya dah berjaya turunkan 40kg," ujarnya yang masih belum berpuas hati dengan berat badannya sekarang.

Menurut Wawan, walaupun berusaha untuk kurus dia tidak mensasarkan penurunan drastik menjelang Aidilfitri.

"Saya dah beli baju raya saiz 3XL mengikut saiz dan berat badan saya sekarang, tapi saya tetap target untuk kurangkan beberapa inci ukuran pinggang menjelang hari raya, harap-harap cabaran 30 hari ini dapat membantu," katanya sambil menambah berat badan idamannya adalah 70kg.

Dalam pada itu, video yang dimuat naik Wawan menerusi akaun twitter @wawanxz_ telah mendapat kira- kira 466,000 tontonan serta 29,000 ulang kicau dan 30,500 tanda suka sejak dimuat naik 14 Mei lalu.

"Saya sangat terkejut tweet saya viral sebab tak sangka pun benda ini akan jadi. Semalam masa berbuka tangan saya menggeletar sebab nervous dan takut kena kecam.

"Tetapi Alhamdulillah, banyak komen yang positif dan tak banyak yang kecam sangat pun," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
berat badan, Syawal, obesiti, K-Pop, kurus

Artikel Lain