suria

Anak murid punya fasal, cikgu sanggup jadi 'pameran seni bergerak'... nasib baik comel!

Muhammad Fazri menyarung kemeja yang dipenuhi dengan hasil seni lukisan anak-anak muridnya. -foto ihsan Muhamad Fazri

JASAMU wahai guru sentiasa dikenang... Itulah ungkapan yang sesuai menggambarkan pengorbanan seorang guru yang bertanggungjawab mendidik anak murid tanpa penat lelah.

Muhamad Fazri Hassan, pendidik di Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah menjadi 'pameran seni bergerak' dengan berjalan mengelilingi sekolah dalam menghargai hasil seni lukisan anak-anak murid Program Pendidikan Khas Integrasi Bahasa Melayu (pendidikan khas) yang diajarnya.

"Kemeja yang dipenuhi lukisan itu merupakan salah satu hasil projek untuk subjek Pendidikan Seni dan melibatkan 10 orang pelajar pendidikan khas di sekolah saya.

"Baju yang dipenuhi gambar pelbagai warna itu telah siap pada Jumaat lepas dan anak-anak murid saya meminta saya sendiri memakai kemeja itu.

Muhammad Fazri bersama beberapa anak murid pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah.

"Jadi, pada pagi Isnin baru-baru ini saya terus memakai kemeja yang dipenuhi lukisan berkenaan dari pagi sehingga selesai mengajar pada hari tersebut," katanya kepada mStar.

Muhammad Fazri yang berasal dari Sandakan ini juga memberitahu kemeja hasil kerja anak muridnya yang berusia sekitar lapan hingga 10 tahun itu terus menjadi perhatian di sekolahnya selepas dia menyarung kemeja berkenaan.

"Beberapa orang guru tegur lukisan pada kemeja tersebut comel dan cantik, mana tidaknya ia dipenuhi dengan gambar pelangi, hati, matahari serta beberapa corak yang comel.

"Rakan sekerja dan pekerja kantin sekolah pun ada yang berminat nak tangkap gambar dengan saya kerana keunikan seni lukisan pada kemeja yang saya pakai itu.

Muhammad Fazri bersama rakan-rakan sekerjanya.

Tertarik dengan hasil seni lukisan anak didik Muhammad Fazri, guru ini memberitahu salah seorang pengguna Twitter berhasrat untuk mendapatkan kemeja berkenaan atas tujuan untuk sesi bergambar bagi kempen kesedaran.

"Ada seorang pengguna Twitter berminat dengan hasil seni lukisan oleh anak murid saya, dia mahu gunakan untuk kempen kesedaran selepas sambutan Aidilfitri.

"Pada mulanya saya ragu-ragu tetapi selepas mula berbincang, InsyaAllah saya dan anak-anak murid bersedia membantu," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fazri juga mengajar secara sambilan pada petang Jumaat dan Sabtu untuk mengisi masa lapangnya.

Posting milik Fazri di laman Twitter mendapat banyak komen positif.

Beberapa netizen turut memberi komen positif terhadap posting di akaun Muhammad Fazri.

"Hasil seni anak-anak, comel-comel belaka," komen salah seorang pengguna Twitter @citgulitabross.

"Comot dan saya suka, comellah!," tulis @Hescyam_AR.

"Good job cikgu!," tulis @ifatinnn.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain