suria

Kecoh video tular lelaki tumbuk, tampar wanita di tengah jalan

Imej tangkap layar daripada rakaman video yang tular menunjukkan seorang lelaki menumbuk dan menampak seorang wanita.

POLIS kini mencari seorang lelaki yang dirakamkan menerusi sebuah video menunjukkan dia menampar dan menumbuk seorang wanita dalam satu insiden jalan raya.

Video kejadian itu yang kini tular, berlaku pada kira-kira pukul 4 petang Rabu di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Rakaman tersebut menunjukkan lelaki berkenaan turun dari motosikalnya dan bersemuka dengan seorang wanita.

Dalam pertengkaran itu, dia kemudian menumbuk dan menampar wanita tersebut sebelum dihalang oleh beberapa orang awam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Noor Azmi Yusoff berkata, lelaki itu menuduh wanita berkenaan menukar lorong tanpa memberi isyarat dan mengetuk bumbung kereta wanita itu menggunakan topi keledarnya.

"Bila dia keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan pada keretanya, lelaki itu kemudian memukulnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis dan menerima rawatan di Hospital Ampang.

"Lelaki itu mempunyai rekod jenayah dengan lima pertuduhan berkaitan dengan dadah dan salah laku.

"Kita sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan menyebabkan kerosakan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta segera menghubungi polis. - The Star

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tumbuk, tampar

Artikel Lain