suria

‘Gigit jari’ telefon lesap, pemuda dedah bagaimana kena game dengan penipu duit palsu, “Datang lambat... isteri bertudung, nampak macam orang berduit”

Aliff mengalami kerugian bernilai RM2,000 selepas menerima wang palsu hasil jualan telefon bimbitnya. Foto DPA/Aliff

SEORANG pemuda yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini gajet menjadi mangsa penipuan gara-gara mahu menjual telefon bimbitnya.

“Kisah sedih ringkas. Aku jual telefon RM2,000, yang aku dapat duit palsu. Hati-hati guys duit palsu zaman now tak macam dulu-dulu dah,” menurut perkongsiannya yang tular di media sosial. 

Bercakap kepada mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Aliff itu berkata, episod hitam tersebut bermula selepas dia membuat iklan untuk menjual telefon tersebut menerusi aplikasi Mudah, pada 14 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa tak sedap hati” - Pelanggan selekeh hulur ‘duit tebal’ beli nasi lemak selepas 3 minit lihat menu... awal pagi penjual dah ‘terbang’ RM45.50

Hanya melakukan rundingan menerusi aplikasi, dia dan bakal pembeli tersebut bersetuju untuk berjumpa di stesen MRT Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur, 15 Julai lalu.

“Set jumpa antara pukul 9 dan 10 malam. Tapi bila saya dah sampai stesen MRT, dia beritahu nak ke hospital kejap sebelum datang jumpa saya sebab anak dia demam.

“Sampai pukul 11.40 malam baru muncul. Pembeli tu lelaki dan perempuan, katanya suami isteri,” kata Aliff yang enggan dikenali identitinya.

Aliff berkata, pertemuan mereka berlaku dengan singkat kira-kira 10 minit kerana pasangan itu memberi alasan terpaksa beredar berikutan kesihatan anak mereka.

“Tapi saya rasa dia saja lewatkan masa sampai pukul 11.40 malam dan masa tu saya pun nak cepat sebab nak kejar tren terakhir pukul 12 tengah malam.

“Jumpa di tangga stesen MRT, lepas tengok dia periksa telefon depan belakang... dia kata telefon cantik kemudian terus bayar dengan duitnya diletakkan dalam sampul,” ujarnya.

Wang kertas yang didakwa palsu diterima mangsa.

Keesokannya, dia ke bank untuk memasukkan hasil jualan telefon, namun menjadi tanda-tanya apabila wang tersebut tidak diterima mesin deposit tunai.

“Saya pergi periksa dengan pengawai bank, dia kata ni duit palsu. Masa tu saya rasa nak rebah sebab RM2,000 dan telefon lebur,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Kuala Lumpur.

Jurucakap IPD Brickfields ketika dihubungi mStar mengesahkan laporan dibuat oleh mangsa pada petang 16 Julai lalu.

Tambah jurucakap itu kes masih disiasat di bawah Seksyen 489b Kanun Keseksaan iaitu menggunakan sebagai tulen mata wang kertas yang telah dibuat dengan jalan pemalsuan.

Saya pergi periksa dengan pengawai bank, dia kata ni duit palsu. Masa tu saya rasa nak rebah sebab RM2,000 dan telefon lebur

ALIFF

Menurut Aliff, pembeli tersebut meletakkan sejumlah wang kertas RM100 di dalam sebuah sampul.

“Masa kejadian tu, saya ambil wang kertas di bahagian depan tengok original ke tak, kemudian saya kira selebihnya dalam sampul. Lepas bagi duit terus pergi.

“Saya jual sebab nak upgrade telefon kepada yang baharu. Tapi memang selalu pakai jual pakai jual sebab ikut perkembangan teknologi telefon,” katanya.

Sebelum insiden malang yang menimpanya, dia mengakui tidak pernah mengambil perhatian mengenai isu wang palsu sehingga dia sendiri menjadi mangsa penipuan.

“Pernah dengar pasal kes duit palsu cuma macam tak ambil kisah sangat. Itu yang bila terkena rasa sangat terkilan, kalau sikit-sikit tak apa... ni banyak.

“Memang tak terfikir kena tipu sebab tak nampak muka dia jenis suka tipu orang sebab isterinya pakai tudung dan dia pun nampak macam orang berduit,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. Foto P.Nathan 

Walaupun pahit, Aliff menganggap pengalaman itu memberi banyak pengajaran kepadanya dan luahannya di media sosial untuk dikongsi kepada orang ramai.

“Saya yakin ada yang kena  tipu lebih banyak daripada saya sampai beribu-ribu kalau nak dibandingkan dengan saya. Tapi itulah kena sentiasa berjaga-jaga lah kan. 

“Saya berharap orang ramai sentiasa peka dan berjaga-jaga. Apa pun saya percaya, Allah menurunkan rezeki dan Allah juga berkuasa untuk tarik balik rezeki. 

“Maka kena kuatkan diri and sentiasa positif. Saya masih akan menjual selepas ini tetapi dengan lebih berhati-hati,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gajet, telefon bimbit, duit palsu

Artikel Lain