suria

Tunku Azizah ‘bersuara’ sebab nyahaktif Twitter – “Bukan kerana saya kecewa, sedih atau marah dengan komen mereka”

Kehilangan akaun Twitter baginda ternyata menimbulkan rasa sedih dalam kalangan netizen.

‘KEHILANGAN’ Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam dunia Twitter kerana menyahaktifkan akaun laman sosialnya pada Rabu akhirnya terjawab.

Tunku Azizah yang memiliki akaun Twitter @cheminahsayang bagaimanapun menafikan keputusan baginda itu disebabkan oleh komen negatif segelintir netizen.

Please, saya menyahaktifkan akaun saya bukan kerana saya kecewa, sedih atau marah dengan komen-komen mereka. Saya tidak baca mahupun menyedari perkara itu,” katanya menerusi paparan skrin yang dimuat naik di halaman Facebook House of Pahang, petang Jumaat.

Dipercayai ia merupakan komen baginda bagi mengulas punca penyahaktifan akaun Twitter tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai luah rasa sedih Tunku Azizah nyahaktif Twitter, “Rindu dengan tweet Permaisuri Agong”

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar selfie terbaharu Tunku Azizah jadi pengubat rindu, lelaki tweet biadab buat permohonan maaf

Tanpa mengulas lanjut, Tunku Azizah menulis bahawa keputusannya tersebut dibuat atas sebab-sebab peribadi.

“Ia tiada kaitan dengan posting-posting berkenaan... saya ada sebab-sebab peribadi,” tulis baginda memberi pencerahan mengenai penyahaktifan akaun Twitter baginda sejak Rabu.

Tulisan Tunku Azizah bagi mengulas mengenai penyahaktifan akaun Twitternya.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru semua pihak bertenang berhubung komen-komen negatif tersebut, tanpa perlu membuat sebarang laporan polis.

Netizen pada Khamis melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Tunku Azizah mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya @cheminahsayang.

Ia tiada kaitan dengan posting-posting berkenaan... saya ada sebab-sebab peribadi

TUNKU AZIZAH

Akaun Tunku Azizah ‘hilang’ dari radar Twitter bukan sahaja menggemparkan netizen, malah mengundang hiba khususnya buat pengikut baginda di laman sosial.

Kemunculan Tunku Azizah menerusi laman Twitternya yang mempunyai lebih 235,000 pengikut itu ternyata menjadi fenomena.

Kemunculan Tunku Azizah menerusi laman Twitternya ternyata menjadi fenomena.

Sementara itu, Firdaus Asraf salah seorang pemuda yang mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Tunku Azizah tampil membuat permohonan maaf, pada petang Khamis.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas individu terbabit menerima kecaman warga maya.

“Ampun tuanku beribu-ribu ampun, seandainya Raja Permaisuri Agong membaca warkah ini, patik memohon segala keampunan tuanku dan patik bersedia mengadap tuanku untuk memohon maaf seandainya Raja Permaisuri Agong berkenan menerima patik.

“Sesungguhnya patik tidaklah mengharap apa-apa melainkan pengampunan Raja Permaisuri Agong. Patik yang merendah diri, Firdaus Asraf," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain