suria

“Berapa kali dia nak kena marah?” - Vellfire remuk dihentam, pemiliknya ada alasan sendiri ajak pemandu lori lepak mamak

Kereta Toyota Vellfire milik Kok How yang dilanggar dari arah belakang. (gambar kecil) Kok How (kanan) makan bersama Mohd Zairi, individu yang melanggar keretanya dekat persimpangan lampu isyarat. Foto ihsan Ng Kok How

BAYANGKAN kerana kemalangan macam-macam boleh berlaku! Ada yang bergaduh hingga mengakibatkan kecederaan dan paling teruk hingga meragut nyawa atau setidak-tidaknya kenderaan jadi mangsa. 

Sebagai mangsa yang tidak bersalah, siapa tak naik angin kalau terdapat kesan kemek di bahagian belakang kereta, dan hanya Tuhan saja yang tahu perasaan apabila cermin belakang turut pecah. 

Bagaimanapun, lain pula dengan perkongsian yang tular di media sosial mengenai dua lelaki yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, tetapi mengambil pendekatan yang lebih tenang dan rasional untuk menyelesaikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu, “Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak mau ada yang mati” - Uncle Cina gigih angkut tar, disangka buang tabiat cangkung tengah jalan

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

Salah seorang daripada mereka, Ng Kok How berkata, kejadian berlaku pada minggu lalu di Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang dekat persimpangan lampu isyarat.

Kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta jenis Toyota Vellfire.

Kok How yang berusia 42 tahun itu memberitahu, ketika kejadian kira-kira pukul 5.40 petang, dia yang memandu kereta jenis Toyota Vellfire dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke pejabatnya.

“Dekat lampu isyarat, tiba-tiba ada kereta di hadapan brek kecemasan dan tiba-tiba ada bunyi kuat dari arah belakang, dan saya dah dapat agak kereta saya kena langgar.

“Masa tu memang saya terkejut tapi saya tarik nafas dalam-dalam sebelum keluar dari kereta. Saya kemudian periksa belakang kereta dan nampak ada kemek dan cermin pecah tapi cuba untuk bertenang,” katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang kepada mStar.

Kereta milik Kok How mengalami kerosakan.

Perunding kewangan itu mengambil pendekatan untuk bertenang kerana tuntutan insurans adalah jalan yang terbaik, dan bergaduh bukan dapat menyelesaikan masalah.

“Dia pemandu lori dan saya tahu itu kenderaan syarikatnya. Kalau saya marah, nanti dia akan kena marah dengan majikan dia juga sebab rosakkan kereta syarikat.

“Berapa kali dia nak kena marah? Saya letakkan diri saya dalam diri dia. Jadi, saya kata lebih baik buat laporan polis untuk tuntutan insurans,” tambahnya.

Kok How dan Mohd Zairi mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan.

Bagaimanapun katanya, lori terbabit mengalami masalah dan tidak boleh dipandu jauh menyebabkan pemandunya terpaksa menunggu rakannya datang untuk membaiki, sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk membuat laporan.

“Rakannya datang dari Seberang Perai dan ketika itu waktu puncak, jadi antara 45 minit ke sejam untuk sampai ke pulau. Jadi saya beritahu dia jom makan dulu!

“Saya belanja dia dan rakannya makan. Saya fikir sebagai pemandu lori mungkin gajinya agak terhad, dan apa salahnya saya belanja mereka,” katanya.

Kok How mencari penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pergaduhan.

Menurut bapa kepada empat anak itu, pergaduhan dan tangisan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah, bukan sahaja kemalangan tapi apa juga keadaan.

“Ketepikan emosi apabila mahu menyelesaikan masalah, kalau tidak ia hanya membawa kepada pergaduhan. Negara kita juga berbilang kaum, jangan jadikan ia sebagai isu perkauman. Negara pasti aman,” ujar Kok How.

Ketepikan emosi apabila mahu menyelesaikan masalah, kalau tidak ia hanya membawa kepada pergaduhan. Negara kita juga berbilang kaum, jadi jangan jadikan ia sebagai isu perkauman.

KOK HOW

Sementara itu, pemandu lori berkenaan, Mohd Zairi Abdullah, 44, amat terharu dengan reaksi pemandu kereta yang dilanggarnya secara tidak sengaja.

“Walaupun kejadian berlaku di tempat awam, tapi sebarang kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi apabila kereta dia dilanggar. Saya risau dia akan bising, dahlah saya langgar kereta mewah.

Kok How (kanan) dan Mohd Zairi kini berkawan selepas terlibat dalam kemalangan.

“Tapi saya terkejut sebaba dia ‘cool’ nampak tenang. Nak gaduh pun nak buat apa, bukannya kereta tu boleh baik balik,” katanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Malah, sepanjang makan dengan pemandu Vellfire itu, tiada perbualan mengenai kemalangan yang melibatkan mereka, sebaliknya menjurus kepada hal keluarga dan kerja.

“Pertama kali saya terbabit dalam kemalangan. Selalunya, mesti ada gaduh atau bising bila kereta kena langgar. Tapi dia bukan sahaja tenang, tapi peramah.

“Percaya atau tidak, selepas insiden kemalangan itu kami berkawan baik dan masih lagi berhubung,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Vellfire, kemalangan, insurans, mamak

Artikel Lain