Habis debat di Parlimen, gadis ‘speaking English’ terpaksa jawab hujah netizen pula! “Saya bukan anak VIP, BM dapat A” - Viral | mStar

Habis debat di Parlimen, gadis ‘speaking English’ terpaksa jawab hujah netizen pula! “Saya bukan anak VIP, BM dapat A”

Gelagat Asbillah dan dua pendebat lain menjadi tumpuan netizen.

"TUAN speaker boleh tak saya cakap dalam bahasa Inggeris?" Demikian soal seorang gadis semasa sesi perdebatan di Parlimen pada Sabtu lalu sehingga videonya tular di Twitter.

Gara-gara video itu, gadis berkenaan, Asbillah Faizan dikecam netizen kerana dianggap merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Asbillah ketika dihubungi mStar menegaskan dia enggan mengendahkan cakap-cakap netizen dan menyifatkan isu itu sengaja disensasikan.

"Saya tak pedulikan apa-apa. Bagi saya komen tersebut adalah pendapat rakyat. Jika saya berada di tempat mereka pun saya boleh bercakap apa-apa kerana inikan Malaysia Baharu. Semua rakyat bebas untuk bercakap.

"Saya juga anggap itu hanyalah isu remeh dan sengaja disensasikan individu tertentu. Lagipun bukan saya seorang yang cakap English pada hari tersebut. Tapi saya terkilan kenapa part saya yang tular di Twitter," katanya.

Video gelagat Asbillah yang meminta izin berbicara dalam Bahasa Inggeris tular di Twitter.

Menurut gadis berusia 19 tahun itu, dia tidak berniat untuk memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu sebaliknya mempunyai alasan tersendiri untuk menggunakan bahasa Inggeris semasa sesi perdebatan tersebut.

"Sebenarnya tiada istilah yang mengatakan kalau kita cakap Inggeris, kita ni 'kurang Melayu'... 'kurang Malaysian'. Saya juga tak pandang rendah pada bahasa Melayu malah saya tahu itulah bahasa kebangsaan kita, bahasa yang patut kita banggakan.

"Tapi saya rasa semua orang ada personal preference untuk bahasa. Masa di Parlimen tempoh hari, organisasi yang menganjurkan program itu memaklumkan boleh guna English dan bahasa Melayu tapi kalau nak guna English kena dapatkan izin Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Sebenarnya saya dah bangun banyak kali. Saya rasa rakyat mungkin anggap saya ni tak boleh cakap bahasa Melayu jadi Tuan Speaker tak bagi izin. Sebenarnya kalau tengok video penuh live tu Tuan Speaker dah beri dua chance kepada saya untuk bagi hujah," katanya.

Mengenai kefasihan bahasa Melayunya, Asbillah berkata tahap penguasaannya bagi bahasa ibunda itu sebenarnya berada pada tahap memuaskan.

Reaksi Asbillah selepas permintaannya untuk berbicara dalam Bahasa Inggeris 'ditolak' Tuan Speaker.

"Kalau diberi skala 1 hingga 10, saya fikir fikir penguasaan Bahasa Melayu saya di skala 6. Lagipun BM saya masa SPM dapat A cuma saya kurang fasih bila berbahasa Melayu secara terus.

"Semua orang ada kekurangan masing-masing dan saya anggap itu kelemahan saya. Saya faham terdapat keperluan untuk saya untuk memperbaiki kelemahan saya dalam bahasa tersebut pada masa hadapan.

"Lagipun kalau tengok motion (usul) pada hari tersebut, motion itu sendiri dalam bahasa Inggeris, jadi kami memang akan prepare ikut motion sebab ada terms saya lebih selesa guna Bahasa Inggeris," katanya.

Video yang viral tu adalah bahagian akhir debat ketika soalan dibuka kepada rakyat. Jadi masa speaker baca soalan tu, saya dah set dekat kepala saya, saya boleh jawab. Masa tu saya bangun dan minta izin kepada Tuan Speaker untuk berbicara dalam Bahasa Inggeris.

ASBILLAH FAIZAN

Mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anak sulung daripada empat beradik itu turut mendedahkan dia bukanlah anak VIP sebagaimana didakwa netizen kerana menggunakan bahasa Inggeris.

"Saya bukan anak menteri PH (Pakatan Harapan) atau anak orang kaya. Saya hanyalah orang biasa datang dari keluarga golongan pertengahan. Saya dan keluarga juga sebenarnya banyak berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu di rumah.

"Jadi bila ada yang cakap muka macam Jawa balik makan tempe, sakit hatilah juga. Tapi saya tak ada kuasa nak halang mereka. Itu hak masing-masing untuk bersuara. Saya ok je," katanya.

Namun gadis dari Kajang, Selangor itu mengakui dia lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana sering didedahkan dengan penggunaan bahasa tersebut sejak kecil lagi.

Asbillah lebih yakin bertutur dalam Bahasa Inggeris.

"Saya sebenarnya membesar dengan surrounding banyak guna Bahasa Inggeris. Saya bersekolah di sekolah rendah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan begitu juga di sekolah menengah.

"Bila saya masuk universiti, saya belajar di UIAM, Gombak. Jadi dekat situ banyak budak international. Bila anda dari kecik hingga besar dikelilingi persekitaran seperti itu, kecenderungan untuk guna Bahasa Inggeris itu tinggi," katanya yang turut fasih berbahasa Tamil.

Mengenai video yang tular itu, Asbillah berkata rakaman itu sebenarnya bahagian akhir sesi debat tersebut.

"Video yang viral tu adalah bahagian akhir debat ketika soalan dibuka kepada rakyat. Jadi masa speaker baca soalan tu, saya dah set dekat kepala saya, saya boleh jawab. Masa tu saya bangun dan minta izin kepada Tuan Speaker untuk berbicara dalam Bahasa Inggeris.

"Saya ada jawapan tapi Tuan Spekaer cakap saya buka kepada orang yang boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan. Sebenarnya rakan saya yang jawab tu mereka ada pengalaman bercakap dalam Bahasa Melayu.

"Tapi selepas mereka kemukakan point mereka saya bangun lagi sekali tapi saya rasa point kawan saya tu boleh ditambah lagi. Jadi saya pun minta izin nak tambah sedikit point rakan saya tu tapi dalam Bahasa Inggeris dan Tuan Speaker pun senyum," katanya.

Selain Asbillah, seramai 45 lagi belia terlibat dalam debat yang mengangkat tajuk "Pekerja Prekariat dalam Ekonomi Gig' yang berlangsung di Dewan Persidangan Bangunan Parlimen dan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Artikel Lain