Selepas hadiah kereta, lagi kejutan buat ibu mentua... kali ini menantu umpan tudung! - Viral | mStar

Selepas hadiah kereta, lagi kejutan buat ibu mentua... kali ini menantu umpan tudung!

(kiri) Haliza menerima tudung yang dijahit menantunya. (kanan) Kisah tular Haliza yang menerima kejutan hadiah kereta daripada anak-anaknya. Foto ihsan Muhaszlina Sanip

KEJUTAN demi kejutan khas buat seorang ibu, daripada sebuah kereta Proton hadiah hari jadi sehingga ke majlis untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-64.

Bermula kisah tular mengenai kejutan hadiah yang tidak disangka-sangka itu, anak syarikat milik penuh Proton, Proton Edar Sdn Bhd (Proton Edar) tampil membuat kejutan buat ibu kepada lima anak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan awal tak menjadi, kereta ibu mentua buat hal lagi, “Mak jangan panggil pomen ya, tunggu kami datang”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua mastermind buat kejutan untuk menantu... ini memang ‘rare’! “Kena tunggu berdiri di sebalik langsir... separuh kek juga dia habiskan”

Namun, bukan mudah kerana pada awalnya si ibu agak keberatan untuk ke Melaka meskipun mempunyai urusan di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Keluarga Lina bersama wakil Proton Edar yang membuat kejutan sambutan majlis ulang tahun ibu mentuanya.

Salah seorang menantunya, Muhaszlina Sanip, 40, berkata, ekoran kejutan hadiah kereta Proton menjadi tular, mereka menerima panggilan daripada syarikat itu untuk mengaturkan majlis ulang tahun buat ibu mentuanya.

“Pada mulanya, kami bersama pengedar Proton Edar cawangan Bachang, Melaka merancang untuk membuat kejutan di rumah mak di Temerloh, Pahang... tapi kebetulan mak ke Kuala Lumpur (KL) pada hujung minggu kerana ada temujanji pemeriksaan mata.

“Kami ada minta mak dan adik ipar untuk datang ke rumah selepas selesai urusan di KL, tapi mak kata nak balik ke Temerloh. Puas kami pujuk, malah suami pujuk pun tak berjaya,” katanya kepada mStar.


Haliza  (tengah) bersama anak-anak dan cucu-cucu pada majlis sambutan hari jadinya ke-64.

Lebih mesra dengan panggilan Lina, perunding kewangan itu bagaimanapun cuba ‘mengumpan’ ibu mentuanya, Haliza Ahmad dengan hadiah tudung yang dijahitnya sendiri.

“Saya ‘umpan’ mak dengan beritahu yang saya nak hadiahkan tudung saya jahit sendiri. Mak sejak dulu memang sukakan tudung-tudung yang saya jahit.

“Saya kata kalau mak nak tudung tu, mak kena datang ke Melaka. Mak terus ubah fikiran dan setuju untuk datang. Nampaknya pujukan saya menjadi.

“Kelam kabut juga nak pergi beli kain untuk tudung mak, lepas tu nak jahit. Risau juga tak sempat, tapi mujur mak kata tak apa, dia masak dan saya jahit tudung,” katanya sambil menambah mereka berpakat dengan Proton Bachang untuk mengaturkan majlis kejutan hari jadi buat ibu mentuanya itu.

Mesej di Whatsapp mengenai umpan berjaya.

Pengurus Jualan Proton Edar Sdn Bhd cawangan Bachang, Mohd Nadzeri Kassim berkata, syarikat itu menawarkan majlis penyerahan kepada mana-mana pelanggan yang mahu menghadiahkan atau membuat kejutan bagi model yang dibeli mereka.

“Di Proton, kita bukan setakat jual dan beli, tetapi kita sentiasa komited untuk mengekalkan hubungan dan kesetiaan bersama pelanggan.

Kelam kabut juga nak pergi beli kain untuk tudung mak, lepas tu nak jahit. Risau juga tak sempat, tapi mujur mak kata tak apa, dia masak dan saya jahit tudung

LINA

“Kami amat berbesar hati dapat berkongsi pengalaman Puan Haliza yang menerima kejutan hadiah kereta Proton Saga model terbaharu iaitu Saga 2019,” katanya.

Mohd Nadzeri berkata, Proton Bachang membuat kejutan itu di rumah salah seorang anak Haliza di Cheng, Melaka pada Ahad lalu, dengan kek dan kad hari jadi, termasuk hamper, makanan dan cenderahati daripada Proton Edar.

Lina (kanan) bersama ibu mentuanya.

Pengurus Proton Edar Negeri untuk Melaka dan Johor Utara, Mohd Rasyidin Nawi dan penolong pengurusnya, Rendy Lee Aik Thye; Eksekutif Jualan dan Pemasaran Proton Edar Bachang, Mohammad Shafiq Danial Mohd Anuar turut hadir pada majlis kejutan itu.

Sementara itu, Haliza berkata, dia tidak menyangka anak-anak dan menantu-menantunya membuat kejutan sempena hari ulang tahunnya yang ke-64.

“Saya tidak bekerja, kereta tu dibuat untuk pergi mengaji, aktiviti harian seperti bersama kelab warga emas, ke pasar dan menjemput cucu balik dari sekolah.

“Semua anak-anak ambil berat pada saya, tak sangka sangat anak-anak saya ni sepakat. Saya juga suka hadiah tudung yang dijahit menantu. Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada semua,” katanya.

hadiah , Proton Edar , Proton Saga

Artikel Lain