Rasa diri tak tampan, badan berisi... jurufoto tak sangka ada sepasang mata ‘usha’ dirinya, “Ingatkan klien nak ambil saya” - Viral | mStar

Rasa diri tak tampan, badan berisi... jurufoto tak sangka ada sepasang mata ‘usha’ dirinya, “Ingatkan klien nak ambil saya”

Fadhil tidak menyangka dipertemukan dengan pasangan hidupnya ketika menjalankan tugas di sebuah majlis perkahwinan.

CANTIKNYA jodoh yang diatur Yang Maha Esa. Begitulah kisah seorang jurufoto yang tidak menyangka dipertemukan dengan pasangan hidupnya ketika menjalankan tugas di sebuah majlis perkahwinan.

Lebih tidak sangka, si gadis yang terlebih dahulu menghulur salam perkenalan selepas terpikat melihat jejaka idamannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar dapat mesej ‘rare’... nak pakej kahwin, tapi baru nak cari calon, “Mustahil kalau orang nak ‘ngorat’ saya” 

ARTIKEL BERKAITAN: Bidik kamera laksana jurugambar profesional, hasilnya 'meletop'! 

Menyingkap kembali detik manis itu, Muhammad Fadhil Roslizan berkata, dia bertugas sebagai jurufoto perkahwinan kepada seorang klien bernama Bella di Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang pada September 2017. 

Ketika sedang ralit membidik gambar mempelai, rupa-rupanya dalam diam ada seorang gadis yang sedang meng'usha' (perhati) dirinya. 

Gadis berselendang merah yang mulanya meminati Fadhil akhirnya menjadi suri hati jurufoto itu. 

"Saya ketika itu macam biasalah, buat kerja secara profesional. Rupa-rupanya ada sepasang mata yang memerhatikan saya, tapi saya tak sedar.

"Selepas habis kerja, saya pulang macam biasa. Tiga bulan selepas itu, tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seseorang di Facebook. Ingatkan klien nak ambil saya sebagai jurufoto. Rupa-rupanya, mesej itu dari gadis yang perhatikan saya sebelum ini," ceritanya kepada mStar.

Cerita Fadhil lagi, gadis itu kemudian memperkenalkan diri dan meluahkan hasrat untuk berkenalan dengannya. 

Dipendekkan cerita, seminggu selepas berhubung melalui Facebook, akhirnya Fadhil dapat bertentang mata dengan gadis berkenaan yang bernama Emira Mamora Iskandar secara kebetulan ketika sama-sama hadir ke sebuah majlis perkahwinan.

Tweet Fadhil menceritakan tentang perkenalannya dengan Emira.

"Masa di majlis itu, saya tercari-cari juga gerangan tuan punya badan. Dan dia yang datang tegur saya," cerita pemuda berusia 27 tahun ini.

Bertitik tolak daripada pertemuan pertama itu, hubungan Fadhil dengan gadis itu berterusan sehingga kedua-duanya sepakat untuk mengikat tali pertunangan selepas setahun menyelami hati budi masing-masing.

"Kami bertunang pada 22 Disember tahun lalu. Namun agak terkilan kerana tidak sempat disaksikan oleh bapa saya yang meninggal dunia pada 18 Jun tahun sama. 

"Namun, arwah tahu saya sedang berkawan dengan seseorang, malah saya pernah tunjukkan gambar bakal isteri kepadanya," ujar Fadhil.

Selepas enam bulan bertunang, Fadhil dan Emira disatukan pada 8 Jun baru-baru ini. 

Fadhil dan Emira disatukan selepas setahun mengenali hati budi masing-masing. 

Bercerita lebih lanjut, Fadhil berkata sepanjang lima tahun bergelar jurufoto perkahwinan, dia tidak pernah terbayang untuk diminati atau ditackle.  

"Saya tidaklah tampan, badan juga agak berisi. Tak sangka ada gadis yang minat. 

"Saya tanya juga isteri saya, kenapa berkenan dengan saya. Akhirnya dia buka cerita, rupa-rupanya dia terpikat melihat senyuman dan sikap saya yang happy-go-lucky," ujarnya sambil ketawa kecil. 

jurufoto , tackle , jodoh

Artikel Lain