Berpantang maut sebelum ajal... budak 4 tahun jatuh dari tingkat 2 tak patah tulang, “Adik kata nak tidur dulu, saya takut dia tutup mata” - Viral | mStar

Berpantang maut sebelum ajal... budak 4 tahun jatuh dari tingkat 2 tak patah tulang, “Adik kata nak tidur dulu, saya takut dia tutup mata”

Kanak-kanak berusia empat tahun dikejarkan ke hospital selepas terjatuh dari tingkat dua pangsapuri 17 tingkat di Johor Bahru, Johor. Foto ihsan Shamil

KECOH di sebuah pangsapuri 17 tingkat di selatan tanah air apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak berusia empat tahun terjatuh dari aras dua bangunan itu.

Berpantang maut sebelum ajal, begitulah yang boleh digambarkan tragedi yang menimpa mangsa yang tidak mengalami kecederaan parah atau patah tulang.

“Budak usia empat tahun jatuh dari tingkat dua, tiada patah. Allahuakbar terima kasih ya Allah. Macam tak percaya sebab Allah tolong permudahkan segalanya,” menurut luahan di Insta Story di laman sosial Instagram milik abang mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto tular jururawat baca Yasin dekat di hati pengarah filem Malaysia di Australia, sanggup tinggalkan Perth demi jaga ibu sakit strok

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian, “Ingat pesan buat sampai habis”

Pemuda berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shamil berkata, insiden yang menimpa adik bongsunya berlaku pada kira-kira pukul 5 petang, Ahad di kediaman keluarganya di sebuah pangsapuri kos rendah di Tampoi di Johor Bahru, Johor.

Lokasi kejadian yang nyaris meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun selepas terjatuh dari tingkat dua.

Pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam bilik di rumah di tingkat dua, manakala adik-beradiknya yang lain di ruang tamu dan di luar rumah, selain itu ibu mereka pula keluar bekerja.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi jeritan adik-adik saya lain yang kata adik bongsu jatuh. Kami duduk di pangsapuri, jadi bila dengar yang adik jatuh, saya hanya ingat dia terjatuh ke tingkat bawah.

“Saya keluar rumah tengok besi penghadang di beranda di luar rumah tak ada, dah ‘berlubang’. Dari tingkat atas, saya tengok ke bawah orang ramai dah kerumun adik saya yang terbaring... termasuk besi tu ada di bawah.

“Saya bergegas turun dan tengok adik saya terbaring kaku dan matanya masih terbuka, tapi dia hanya senyap saja. Masa tu saya rasa macam nak pitam,” katanya kepada mStar.

Mangsa ketika dimasukkan ke hospital.

Shamil berkata, atas bantuan sepasang suami isteri, adiknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dan dimasukkan ke bahagian kecemasan.

Jelasnya, terdapat pendarahan dan benjolan di belakang kepala adiknya, dan doktor membuat pemeriksaan selain melakukan rawatan. Adik dipasang pelindung tengkuk bagi mengelakkan kecederaan lebih serius.

“Masa tu, adik saya ada bagi isyarat mengantuk mungkin sebab ubat dan dia kata ‘adik nak tidur dulu’. Saya takut dia tutup mata nanti dia tak sedarkan diri. Jadi, saya cuba tenangkan adik.

Jiran-jiran kata bunyi adik terjatuh tu kuat. Kalau umur empat tahun jatuh macam tu dah boleh patah tulang. Syukur, Allah SWT panjangkan umur adik nak membesar dan riuh bersama adik-beradik lain.

SHAMIL

“Saya tunggu dari pukul 6 petang dan selepas tengah malam, baru adik dibenarkan keluar hospital. Doktor kata tak ada patah tulang atau pendarahan dalaman. 

“Cuma doktor ada berpesan supaya pantau keadaan adik kalau masih tak aktif dan tidak seperti biasa, kena segera bawa ke hospital untuk pemeriksaan,” tambahnya.

Kepala yang dijahit selepas mengalami kecederaan.

Dia yang merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu berkata, dia difahamkan bahawa adiknya terjatuh di atas sebuah motosikal yang diletakkan di aras bawah sebelum terjatuh ke atas lantai simen.

“Jiran-jiran kata bunyi adik terjatuh tu kuat. Kalau umur empat tahun jatuh macam tu dah boleh patah tulang. Syukur, Allah SWT panjangkan umur adik nak membesar dan riuh bersama adik-beradik lain.

“Mak pula ibu tunggal dan kerja sebagai tukang cuci, jadi kehidupan kami serba sederhana bersama adik-beradik lain,” katanya yang bekerja sendiri dan turut membantu menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Namun, apa yang dikesalkan oleh Shamil apabila pihak pengurusan pangsapuri itu yang tidak menitikberatkan soal penyelenggaraan kawasan perumahan tersebut.

Kawasan beranda yang 'berlubang' ditutup dengan papan oleh pihak pengurusan pangsapuri.

Dia mendakwa insiden yang menimpa adiknya itu disebabkan keadaan besi yang sudah lama dan reput, malah ada besi lain sudah berkarat.

“Adik saya ni memang suka tengok ke bawah dari beranda yang dihadang besi tu. Bila besi tu dah tak kuat dan tercabut, adik pun turut sama terjatuh ke bawah.

“Saya berharap pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya. Insiden adik saya terjatuh tu adalah kejadian pertama, dan jangan tunggu ada penghuni lain yang terjatuh pula baru nak ambil tindakan,” katanya.

pangsapuri , terjatuh

Artikel Lain