“PUBG yang dikatakan merosakkan itu beri dia peluang ‘berjalan’ semula” - Doktor buka kisah gelap pengantin viral, kini superwoman! - Viral | mStar

“PUBG yang dikatakan merosakkan itu beri dia peluang ‘berjalan’ semula” - Doktor buka kisah gelap pengantin viral, kini superwoman!

Majlis perkahwinan pasangan itu yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn Batu Pahat, pada Isnin. FOTO: Naluri Realiti.

BERMULA dengan permainan video popular PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), dua pasangan ini akhirnya bersatu di jenjang pelamin.

Kisah perkahwinan itu turut menarik perhatian ramai kerana pengantin perempuannya lumpuh kedua-dua belah kaki sejak beberapa tahun lalu.

Siti Aisyah Zaid, 22, disatukan dengan suaminya, Amirul Syahmi Mohd Yazid, 25, menerusi Majlis Pernikahan Beramai-Ramai anjuran Kelab Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn Batu Pahat, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tanya kenapa buat dia macam ni?” - Komplot berjaya, gadis buat pakwe 'ketagih' PUBG menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki game 'buat duit' dengan PUBG, siap boleh bagi mak ayah!

Di sebalik penularan kisah cinta unik itu, bekas doktor yang pernah merawat Aishah, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan tampil membuka cerita mengenai gadis yang disifatkannya sebagai superwoman itu.

Aishah bersama suaminya, Amirul Syahmi Mohd Yazid.

Mengakui tumpang gembira mendengar perkhabaran itu, Dr Kamarul turut bercerita mengenai detik gelap yang pernah melanda hidup Aishah.

"Dia antara pesakit yang saya sentiasa pandang tinggi. Dia seorang yang berkeyakinan dan berani. Saya bertemu dia ketika dia tiada itu semua.

"Tak silap saya, dia masuk ke wad rehabilitasi pada tahun 2017, setelah jalani pembedahan tulang belakang susulan kecederaan akibat kemalangan.

Bila dia mula main PUBG yang dikatakan merosakkan tu, saya antara orang yang lihat positif perkara itu. Dia sebelum ni aktif dan lasak, kemudian lumpuh dan berkerusi roda. PUBG beri dia peluang 'berjalan' semula. Kalau dia gembira, kami sebagai doktor dia, turut gembira.

DR. KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

"Saya diberitahu bahawa Aishah adalah seorang high achiever sebelum dia lumpuh. Aktif, lasak, dan ceria. Sportwoman! Namun, bila saya jumpa dia, apa yang saya boleh kata adalah, She was a miserable lady at the time," tulis Dr Kamarul.

Imbas Dr Kamarul, Aishah pada waktu itu hanya menangis sepanjang masa.

Malah, setiap soalan yang diajukan juga dijawab oleh ibunya.

"Saya beranggapan dia malu dan kekok diperiksa doktor lelaki. Mungkin malu kerana ketidaksempurnaan dia. Mungkin juga kemurungan," ujarnya lagi.

Pasangan ini disatukan pada Sabtu lalu. (FOTO: Naluri Realiti).

Bagi menangani masalah itu, Dr Kamarul sering berkongsi bahan bacaan kepada Aishah.

Antaranya kisah-kisah lucu, seram, serta pengalamannya dengan pesakit sebelum ini.

"Cerita yang doktor tulis tu, dekat hospital ni ke? Itu antara soalan yang dia tanya bila saya jenguk dia di wad di pagi hari.

"Bila dia tanya begitu, saya tahu saya dah berjaya break the ice, dan hanya selepas itu kami kerjasama penuh daripada dia.

Sekitar majlis perkahwinan mereka.

"Aishah memang kental. Dia redah je apa pun cabaran semasa latihan. Jatuh, rebah, tersungkur, dia bangun semula. Walaupun dia tak boleh berdiri, dia tetap bangkit! Kalau dulu dia sportswoman, kini dia superwoman," jelasnya.

Kata Dr Kamarul, dia juga gembira apabila Aishah meluahkan hasrat untuk menyambung semula pengajiannya pada waktu itu.

Ujarnya, itu menjadi penanda bahawa Aishah sudah melepasi 'fasa mengenang' dan mula beralih ke 'fasa melakar masa hadapan'.

"Kami bantu dia sampai dia boleh sambung belajar. Bila dia mula main PUBG yang dikatakan merosakkan tu, saya antara orang yang lihat positif perkara itu.

"Dia sebelum ni aktif dan lasak, kemudian lumpuh dan berkerusi roda. PUBG beri dia peluang 'berjalan' semula. Kalau dia gembira, kami sebagai doktor dia, turut gembira.

Kisah perkahwinan Aishah menjadi tular di Facebook.

"Namun paling kami gembira, bila kami terima berita, dia telah disatukan dengan insan yang menerima dia apa adanya. Satu kemenangan buat kami," tulis Dr Kamarul lagi.

Perkongsian di Facebook miliknya itu sehingga kini menerima lebih 6,500 tanda suka.

Malah, rata-rata netizen turut menyuarakan rasa gembira mereka di atas kesembuhan Aishah serta kisah pertemuan dia dan suami yang disifatkan cukup unik.

Artikel Lain