Akmal akhirnya bersuara, luah 2 tahun lalui igauan ngeri, “Andai Zulfarhan masih hidup, saya nak minta maaf sebab tak dapat selamatkan dia” - Viral | mStar

Akmal akhirnya bersuara, luah 2 tahun lalui igauan ngeri, “Andai Zulfarhan masih hidup, saya nak minta maaf sebab tak dapat selamatkan dia”

Akmal mengakui banyak menerima komen negatif di Instagram dan Facebook. Gambar kecil, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

EKSKLUSIF

TEMPOH dua tahun yang dilalui Muhammad Akmal Akif Alias dalam berdepan kes bunuh melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ternyata menjadi igauan ngeri dalam hidupnya.

Ujar pemuda berusia 23 tahun itu, dia masih diselubungi perasaan takut akibat tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya biarpun sudah dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan berkenaan.

“Bagi saya tempoh dua tahun ni memang sukar walaupun saya tidak bersalah, tetapi selagi ada title ‘OKT' (orang kena tuduh) ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apa yang terjadi memberi kesan kepada saya dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik! Siapa gadis dihubungi Zulfarhan untuk mengadu? “Kami hanya kenal seorang girlfriend abang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sampai dalam mahkamah mak pegang” - Lega dengar keputusan, anak dedah barang Zulfarhan setia bersama ibu, ada bau arwah

"Pelbagai kecaman dilemparkan, malahan segelintir masyarakat memandang serong serta mempertikaikan keputusan saya dibebaskan secara mutlak hingga menyebabkan saya masih takut-takut untuk berjumpa dengan orang luar.

Akmal Akif bersama keluarganya ketika pertemuan dengan ibu bapa Zulfarhan.

“Buat masa sekarang saya hanya berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja. Apa-apa pun, saya bersyukur dikelilingi mereka yang menyayangi saya dan sentiasa positif,” katanya kepada mStar.

Muhammad Akmal atau lebih mesra disapa Akmal mendedahkan dia terpaksa berbohong mengenai universitinya dan memadam gambar-gambar di media sosial gara-gara komen negatif netizen.

Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia. Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia kat sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, Insya-Allah.

MUHAMMAD AKMAL AKIF ALIAS

 

“Netizen sering mengecam saya terutama di awal kes (perbicaraan) pada 2017. Saya juga menerima terlalu banyak komen negatif di Facebook dan Instagram (IG) sehingga terpaksa buang gambar-gambar yang mereka komen.

“Kalau jumpa sesiapa yang tidak mengenali saya, saya akan berbohong yang saya belajar di tempat lain. Kalau saya sebut je belajar di UPNM, mesti mereka akan tanya pasal kes tu. Jadi saya malu sangat-sangat.

“Tapi yang mana kenal, mereka tahu saya macam mana dan mereka tetap beri sokongan moral. Mereka juga minta saya supaya banyak-banyak bersabar,” katanya.

Jelas Akmal, dia sedih kerana keluarganya turut dikecam dan terpaksa menanggung malu kesan peristiwa itu.

Sebahagian daripada 19 penuntut UPNM dihadapkan di Mahkamah Majistret atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lepas.

 

“Lebih-lebih lagi abah saya. Dia merupakan bekas anggota polis. Jadi ada sesetengah yang pandang serong terhadap keluarga saya.

“Tapi saya bangga dengan mak dan abah sebab mereka sentiasa tenang depan saya walaupun hakikatnya hati mereka sangat sedih,” katanya.

Susulan itu, Akmal berkata netizen sepatutnya membaca perjalanan kes dari awal hingga akhir sebelum membuat sebarang penilaian.

“Tapi rata-rata netizen menilai sesuatu itu dari tajuk sahaja. Lagi bagus kalau mereka pergi sendiri ke mahkamah dan dengar sendiri bukannya dengar dari orang lain dan terus kecam.

“Saya pernah berada di tempat ‘OKT’ dan saya tahu perasaan mereka. Berita yang disiarkan kadang-kadang hanya dari sebelah pihak sahaja. Jadi komen pedas netizen memang beri kesan tapi saya sentiasa sabar,” katanya.

Bapa Zulfarhan melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan 18 penuntut UPNM untuk membela diri.

 

Ditanya mengenai apa yang dilakukannya sepanjang tempoh dua tahun itu, Akmal berkata dia aktif dalam aktiviti persatuan, selain bekerja di kedai makan dan juga berniaga.

“Saya diberi kepercayaan menjadi setiausaha Persatuan Neo Genesis. Daripada saya digantung universiti dan buang masa baik saya berbakti kepada masyarakat menerusi program di Sekolah Tunas Bakti.

“Selain itu saya ada juga buat bisnes sikit-sikit sekadar tampung duit poket. Kadang-kadang tu saya jual perfume. Saya juga pernah kerja dekat kedai makan sekejap, sambil tu berniaga sikit-sikit,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain, Akmal berkata hubungan mereka amat baik.

“Dia tiada apa-apa masalah dengan saya. Bagi saya arwah memang baik. Walaupun kami lain-lain pengajian tapi bila subjek kami satu kelas dia banyak tolong saya.

Gambar percutian terakhir Zulfarhan bersama keluarganya semasa berkunjung ke A Famosa, Melaka.

 

"Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia. Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia kat sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, Insya-Allah,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah melepas dan membebaskan Muhammad Akmal daripada tuduhan mencederakan Zulfarhan.

Hakim sebelum itu memerintahkan 18 tertuduh yang juga pelajar UPNM membela diri dalam kes mencederakan dan bunuh yang menggemparkan negara dua tahun lalu.

Enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Akmal Akif mengakui masih takut-takut untuk berjumpa masyarakat selepas kes berkenaan.

 

Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Seramai 12 pelajar lain yang semuanya berumur 23 tahun dan diperintah membela diri ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Daripada 12 orang itu, mahkamah melepas dan membebaskan tiga tertuduh yang didakwa mencederakan mangsa dalam kejadian pada 21 Mei 2017, tetapi mereka diperintahkan membela diri bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan dalam kejadian pada 22 Mei 2017.

Seorang lagi tertuduh dibebaskan daripada tuduhan mencederakan mangsa pada kejadian 22 Mei 2017 tetapi diperintahkan membela diri bagi tuduhan sama dalam kejadian 21 Mei 2017.

Artikel Lain