suria

Gadis kejar pencuri motosikal, rakan lelaki pilih rakam, bukan tolong! “Dia cakap tak berani...”

INSIDEN kecurian motosikal Yamaha 125 yang berlaku di depan mata kira-kira pukul 3.20 pagi Jumaat lalu di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang masih terbayang-bayang di ingatan Nurhazwani Mohd Noh.

Rakaman berdurasi sembilan saat yang tular di media sosial menunjukkan Nurhazwani atau lebih mesra disapa Wanie cuba mengejar dua lelaki yang melarikan motosikalnya.

Namun usaha untuk menghalang motosikalnya daripada dilarikan gagal kerana gadis berusia 29 tahun itu dilihat mengejar dua suspek itu bersendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Plan' tak menjadi! Suami tertinggal motosikal isteri selepas meragut, 'takut bini marah' tebal muka serah diri

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup angkut motor naik motor dari PD ke Melaka... Memang penat, sakit badan tapi rela demi BFF

Malah tindakan individu yang merakam kejadian itu tanpa membantu mangsa menyebabkan dia dikecam hebat netizen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa geram dan mempertikaikan tindakan perakam yang disifatkan agak keterlaluan.

Antara komen netizen mengenai perbuatan perakam.

Bukan sahaja netizen tetapi Wanie turut meluahkan rasa terkilan dengan tindakan salah seorang rakan sekerjanya yang memilih untuk merakam insiden itu daripada membantunya mengejar suspek.

"Waktu kejadian saya jerit minta tolong dengan rakan kerja saya sebelum berlari keluar. Tapi saya tengok dia hanya berdiri dan lihat saja dari dalam kedai tanpa memberikan apa-apa reaksi.

"Paling saya terkilan dia keluarkan handphone dan rakam kejadian tu. Patutnya dia tolong kejar, tak pun teman saya buat sesuatu dekat suspek," katanya kepada mStar.

Ditanya mengenai reaksi rakan sekerjanya itu selepas insiden tersebut, Wanie berkata dia hanya beritahu ‘tidak berani’.

"Dia tak ada minta maaf cuma cakap dia tak berani sebab suspek berdua. Dia takut kalau-kalau suspek ada senjata lain.

"Tapi saya memang tak sangka dia tak buat apa-apa sebab dia lelaki. Dia pun ada motosikal juga dan sudah tentu dia tahu apa yang saya rasa," katanya.

Nurhazwani Mohd Noh.

Wanie berkata dia memberanikan diri untuk mengejar suspek kerana amat menyayangi motosikal tersebut.

"Masa tu tak fikir apa dah cuma nak selamatkan moto tu je. Itulah satu-satunya moto cari rezeki kerja siang malam.

"Moto tu baru je beli tahun 2017 dan bulan 1 tahun depan baru habis bayar. Sedih terkilan semua ada sebab tak sempat nak dapat geran di tangan," katanya.

Paling saya terkilan dia keluarkan handphone dan rakam kejadian tu. Patutnya dia tolong kejar, tak pun teman saya buat sesuatu dekat suspek.

NURHAZWANI MOHD NOH.

Tambah Wanie lagi, selepas kejadian tersebut dia panik dan tidak tahu apa yang patut dilakukan.

"Saya terus minta video yang rakan sekerja saya rakam dan forward pada family saya. Saya minta tolong adik dan kakak buat apa yang patut.

"Tapi saya tak sangka video tu akan jadi viral. Apa pun saya minta moto tu segera ditemui. Sesiapa yang ada maklumat boleh maklumkan kepada saya dengan segera," katanya.

Motosikal Yamaha 125 milik Wanie yang dilarikan dua suspek.

Dalam pada itu, Wanie berkata polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut pada tengah hari Sabtu.

"Tiga pegawai dah datang tengok CCTV," katanya.

Dalam insiden itu, Wanie berkata dia bergegas keluar dari kaunter selepas terdengar ketukan di bahagian tepi stesen minyak yang menempatkan motosikalnya.

"Saya segera keluar lalu melihat dua lelaki memakai topi keledar tutup muka penuh berhampiran motosikal.

"Saya lihat seorang daripadanya sedang memotong mangga pada tayar belakang," katanya yang bertugas pada syif malam semasa kejadian berlaku.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Yamaha 125, rembat, stesen minyak, Wanie

Artikel Lain